“Assalamualaikum. Ni Yayasan Ikhlas ya? Makcik nak buat korban.”

KISAH semalam bermula beberapa hari lalu. Kami mendapat panggilan daripada ibu pejabat Yayasan Ikhlas yang meminta bantuan kami untuk menyantuni seorang makcik yang ingin melaksanakan korban. 

Team, kita dapat panggilan daripada seorang makcik. Dia perlukan pertolongan untuk laksanakan korban. Cuma makcik ini berada di Bedong, Kedah. Jadi, kami cadangkan team cawangan Alor Setar bantu makcik ni sebab hangpa paling dekat dengan makcik ini,” ujar Hafiz sedikit berseloroh dalam loghat Kedah 

Alhamdulillah, semalam kami berjaya laksanakan hajat makcik ini yang lebih mesra dikenali sebagai Makcik Mun. Perjalanan daripada pejabat Yayasan Ikhlas Alor Setar ke Bedong mengambil masa kira-kira sejam setengah.

Sampainya kami di sana, kelihatan Makcik Mun sudah pun siap sedia menunggu di tepi jalan. Rupanya Makcik Mun yang kelihatan berpakaian rapi, atau orang kami kata ‘segak’ dengan berjubah dan bertudung ungu mahu meminta bantuan kami membawanya ke Tabung Haji untuk mengeluarkan duit.

Jelasnya lagi, dia sudah lama memasang niat untuk buat korban tapi asyik tertangguh.

“Walaupun makcik ada banyak ini saja simpanan, makcik nak habiskanlah untuk bekalan akhirat nanti. Makcik rasa makcik pun tak lama dah…” Lirih suara beliau bercerita. Ditambah lagi, Makcik Mun tak berapa mahir berurusan dalam talian.

“Kemudahan internet pula tiada jadi makcik selalu terlepas nak buat korban. Alhamdulillah, Makcik selalu tengok TV AlHijrah ada banyak program wakaf dan korban. Makcik pun telefon Yayasan Ikhlas,” katanya lagi sambil ditunjuknya pada kami video yang dirakamnya di telefon bimbit.

Kedudukan rumah Makcik Mun yang jauh terperosok ke dalam kawasan semak.

Sememangnya banyak lagi niat Makcik Mun yang tak dapat ditunaikan dek kerana banyak kekangan akan tetapi hati kami tetap lega dapat hulurkan sedikit pertolongan untuk merealisasikan niat makcik Mun melaksanakan ibadah korban.

Usai urusan di Tabung Haji, dalam perjalanan pulang kami singgah sebentar di Farmasi Merbok Jaya, kami bekalkan Makcik Mun susu Ensure Gold kerana katanya beliau sudah lama berhenti minum kerana terlalu mahal dan tak mampu. 

Kali ini kami teruskan perjalanan ke rumah Makcik Mun. MasyaAllah, rupa-rupanya jalan masuk ke rumahnya sangat terpencil dan jauh dari jalan utama.

“Makcik jalan seorang sahaja tadi? Ya Allah kasihan makcik. Awat tak tunggu di rumah sahaja?” Tanya Amin, salah seorang petugas Yayasan Ikhlas Alor Setar.

Mata kami melilau melihat pokok-pokok dan semak samun sedikit tinggi. Jalan yang dilalui pula sedikit sunyi. Keadaan sekeliling rumahnya hanya hutan dan tiada jiran yang tinggal berdekatan. Kami yang turun menyantuni menahan perasaan sayu.

Apa yang buat kami lebih tersentuh ialah Makcik Mun tinggal keseorangan. Tiada anak atau keluarga yang menemani. Beliau yang telah pun berusia 79 tahun adalah seorang ibu tunggal. Dan banyak lagi kisah-kisah perit yang diceritakan beliau sepanjang perjalanan bersama kami. Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul.

Sepulangnya kami dari rumah Makcik Mun, kami bermuhasabah, bagaimana seorang makcik yang kehidupannya susah, tinggal jauh di pelosok kampung, setiap bulan pula hanya mengharap bantuan wang zakat, tetapi tetap berazam untuk laksanakan ibadah korban kerana mengharap ganjaran yang Allah telah janjikan.

Makcik, moga Allah izin bertemu kembali. Terima kasih Allah, hantar Makcik Mun pada kami. Semoga Allah kurniakan ganjaran dan pahala yang berlipat kali ganda pada Makcik Mun.

Fuzai Syahir adalah Pengurus Yayasan Ikhlas Cawangan Alor Setar. 

Gambar: Makcik Mun ketika ditemui petugas Yayasan Ikhlas di rumahnya.

(16)

“Assalamualaikum. Ni Yayasan Ikhlas ya? Makcik nak buat korban.”

About The Author
-

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>