July 27, 2024 11:12 AM
LOGO-HBIT

Baitul Maqdis kembali makmur janji Allah

KEMAKMURAN Baitul Maqdis berlaku pada zaman pemerintahan Imam Al-Mahdi bersama sekuel peperangan yang dahsyat. Baitul Maqdis menjadi tumpuan dunia sehingga hilangnya kemasyhuran kota Madinah yang ditinggalkan penduduknya.

Daripada Mu’az bin Jabal r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Makmurnya Baitul Maqdis adalah kehancuran Yathrib (Madinah) dan hancurnya Yathrib adalah terjadinya perang yang kejam, terjadinya perang yang kejam (yang banyak memakan korban) adalah penaklukan Konstantinopel dan penaklukan Konstantinopel adalah keluarnya Dajjal.”

Penting dan istimewanya pembebasan kota Konstantinopel kerana ia tanda kemenangan tentera Imam Al-Mahdi dan kemakmuran umat Islam di bawah kepimpinan pemerintahan Baginda.

Menurut Ustaz Jafri Abu Bakar Mahmoodi dalam rancangan Ayat Riwayat Musim 1, Episod 9, tidak akan terjadi hari Kiamat sehingga Konstantinopel diserang oleh 70 ribu orang daripada Bani Ishaq. Ketika sampai di sana, mereka memasukinya dan mereka tidak berperang dengan senjata dan tidak melepaskan satu panah pun.

Mereka hanya berseru kalimah Lailaha Illallah Wallahu Akbar, maka jatuhlah salah satu bahagian dari kota itu. Kota ini dapat ditawan tanpa pertumpahan darah.

Ayat Riwayat Musim 1 dapat ditonton di aplikasi AlHijrah Plus.

Imam Ibnu Katsir menyatakan bahawa Bani Ishaq ini adalah kalangan orang Rom ataupun orang Eropah yang akan memeluk Islam dan bersama-sama berjuang bersama tentera Islam lain.

Tentera Islam akan bergerak dari satu tempat ke satu tempat dan akan berlaku satu perhimpunan dan pertemuan dengan tentera musuh di satu tempat bernama Baula. Mereka kemudiannya akan berperang dengan tentera Asfar (tentera Rom).

Apabila Nabi Isa a.s wafat setelah memerintah sekitar tujuh tahun, manusia kembali terumbang-ambing dan kacau bilau. Kemudian datanglah angin yang mematikan semua orang beriman. Mereka yang tinggal terdiri daripada orang-orang yang tidak beriman kepada Allah. Mereka tidak mampu mengucapkan kalimah Allah apatah lagi untuk beramal soleh.

Pada masa itu kota Madinah telah ditinggalkan, manakala Kaabah telah dihancurkan. Tiada lagi manusia memakmurkan kedua-dua tanah suci itu.

Daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Mereka akan meninggalkan kota Madinah ketika kota itu dalam keadaan sebaik-baiknya, tidak dipenuhi apa pun melainkan binatang-binatang liar, yang beliau maksud adalah binatang-binatang buas dan burung liar.”

Gambar hiasan: Tentera Al-Mahdi akan menguasai semula Baitul Maqdis sebagaimana janji Allah.