Baju kurung terpakai pelengkap 1 Syawal ibu tunggal, anak

KETIKA umat Islam sibuk menyediakan pelbagai kelengkapan menjelang sambutan Aidilfitri, ibu tunggal ini hanya mengenakan baju kurung terpakai yang diperoleh secara percuma pada pagi 1 Syawal kerana tidak mampu membuat sebarang persiapan berikutan hilang punca pendapatan. Biarpun hanya mengenakan baju terpakai, beliau tidak malu kerana ia masih dalam keadaan baik dan amat berharga untuk dirinya.

Walaupun berdepan pelbagai ujian getir, Zuhaila Mat Isa, 46, amat bersyukur kerana beliau dan anak tunggalnya, Nur Kasih Iman Abdullah, 6, masih ada tempat berteduh  biarpun ‘mahligai’ mereka sebenarnya adalah bahagian dapur yang diubahsuai menjadi bilik sejak lima tahun lalu.

Membawa diri pulang ke negeri kelahiran selepas berdepan episod duka diceraikan bekas suami pada tahun 2016, Zuhaila mengambil keputusan tinggal di restoran itu memandangkan dia tidak mampu membayar sewa kerana tiada pekerjaan selepas berpindah dari Kuala Lumpur.

Enggan membebankan adik beradik, wanita tabah ini memilih tinggal di situ memandangkan ia terbiar sebaik arwah bapanya meninggal dunia.  Disebabkan tiada punca pendapatan, Zuhaila tidak mampu membuat sebarang ubah suai, sebaliknya hanya mengalihkan beberapa peralatan supaya ada ruang untuk mereka dua beranak tidur di dapur itu. Biarpun keadaan tidak selesa dan sesuai untuk membesarkan permata hatinya, namun ‘mahligai’ itu banyak berjasa dan melindungi mereka dua beranak daripada dibasahi hujan dan dibakar bahang mentari.

Zuhaila mencuba baju terpakai yang diambil di balai raya sebelum dipakai pada 1 Syawal lalu.

Biarpun bergelar ibu tunggal, Zuhaila tidak mahu menagih simpati dan meminta-minta apatah lagi menyusahkan orang lain. Untuk menampung hidup, beliau menjual nasi bujang, mi udang, nasi goreng dan beberapa menu lain di depan restoran. Memulakan perniagaan seawal jam 10 pagi sehingga lewat malam, pendapatan diperoleh tidak seberapa.

Berbekalkan RM500 yang diraih setiap bulan, beliau terpaksa berjimat cermat memandangkan wang diperoleh tidak cukup menampung perbelanjaan, tambah pula peningkatan kos sara hidup membuatkan masalah kewangan semakin menghimpit. Disebabkan itu, beliau sedaya upaya berjimat dalam menguruskan perbelanjaan bulanan dengan menjadikan sardin tin murah dan telur sebagai hidangan tetap mereka dua beranak.

Beban kewangan semakin menekan memandangkan Zuhaila terpaksa menghentikan perniagaannya sementara waktu sepanjang Ramadan memandangkan gerainya tidak dikunjungi pelanggan berikutan lambakan Bazar Ramadan. Disebabkan putus mata pencarian wanita ini tidak mampu membuat persiapan menyambut Aidilfitri malah terpaksa menggunakan cermin mata murah yang dibeli di kedai serbaneka untuk melakukan urusan harian akibat penyakit katarak yang dideritainya.

Namun disebabkan harga yang murah, penglihatannya tidak begitu jelas, tetapi sekurang-kurangnya ia membantu Zuhaila bergerak lincah menyediakan makanan untuk dijual. Lebih malang, selain masalah penglihatan kabur, penyakit tekanan darah rendah dan lelah yang dihidapi juga membataskan pergerakan wanita ini.

Untuk menderma sila layari ybim.org.my/suaraasnaf dan tekan Asnaf 86 atau terus menyumbang ke akaun YBIM (566010633490 – Maybank).

Gambar: Zuhaila bersama anaknya terpaksa tinggal di dapur restoran yang diubah suai menjadi bilik berikutan tidak mampu menyewa.

(3)

Baju kurung terpakai pelengkap 1 Syawal ibu tunggal, anak

About The Author
-

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>