October 7, 2024 11:33 PM
LOGO-HBIT

Baki manusia menjelang Kiamat gila dunia dan suka berzina sebelum dihalau api Yaman

PERISTIWA terakhir dalam rantaian garis masa menuju akhir zaman sebelum dunia mengalami kehancuran seluruhnya ialah kemunculan api dari Yaman yang akan menghalau manusia dari tempatnya.

Penceritaan Rasulullah SAW ini disampaikan melalui dua riwayat; satu riwayat menyebut kemunculan api dari Yaman ini adalah dari Aden, manakala riwayat kedua menyebut ia dari Hadramaut.

Menurut Ustaz Jafri Abubakar Mahmoodi dalam rancangan Riwayat Akhir Zaman Musim 1 Episod 13, salah seorang cendekiawan Yahudi menguji kenabian Rasulullah SAW dengan tiga soalan yang hanya mampu dijawab oleh seorang nabi. Salah satu soalan itu ialah tanda kiamat yang mula mula sekali akan muncul. Maka Rasulullah menjawab tanda itu ialah api yang menghalau manusia dari tempat perhimpunan umat yang disebut sebagai Syam.

Jawapan Rasulullah SAW yang diperolehi dari Jibril a.s ini membenarkan perkara kemunculan api tersebut menandakan permulaan kehancuran bumi pada akhir zaman yang akan mengiringi permulaan kepada kiamat besar. Waktu kejadian itu, mereka yang masih hidup di muka bumi adalah dari golongan yang jahat. Mereka terusir dari negeri mereka, dihalau oleh api bersama kera dan babi; manakala yang tertinggal pula akan mati dijilat api.

Peristiwa ini dapat disaksikan golongan yang berbaki selepas diwafatkan seluruh orang mukmin lain dengan angin sejuk sebelumnya, iaitu mereka yang tinggal dalam kekufuran, sering bermusuh dan berbunuhan sesama mereka. Pada masa ini juga tiada lagi urusan akhirat kerana semuanya mementingkan urusan duniawi.

Kehidupan mereka ini sentiasa mendapat habuan dan kekayaan dunia yang tiada tara. Mereka juga hidup dalam maksiat di mana keadaan lelaki meniduri wanita sebagaimana keldai menjadi kebiasaan.

Riwayat Akhir Zaman dapat ditonton di aplikasi AlHijrah Plus.

Pada masa inilah berlakunya kemunculan api yang menghalau golongan berbaki ini ke tempat perhimpunan di Syam. Tiga kelompok ini ialah mereka yang hidup dalam keadaan bersenang-senang, masih mempunyai makanan dan pakaian dan menikmati kehidupan.

Golongan kedua pula menunggang kenderaan, sama ada berkongsi kenderaan di mana seekor unta dinaiki bertiga hingga sepuluh secara bergilir-gilir dalam perjalanan. Ini berikutan tiada kenaikan yang cukup ekoran kematian binatang tunggangan oleh wabak yang menyerang pada masa itu. Keperluan untuk mendapatkan binatangan tunggangan sangat terdesak sehingga mereka sanggup menjual kebun hanya untuk memiliki binatang yang tua renta.

Manakala golongan ketiga pula berjalan dengan wajah mereka dan dihalau dengan api; apabila mereka berehat atau tidur, api ini berada di sisi mereka; dan apabila berjalan pula api mengikuti mereka.

Para sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah, bagaimana cara mereka berjalan dengan wajahnya?” Rasulullah menjawab: “Sesungguhnya Allah yang telah membuat mereka berjalan dengan kakinya, sanggup pula membuat mereka berjalan dengan wajahnya. Adapun mereka, sesungguhnya dengan wajahnya, mereka berupaya menghindari setiap gundukan tanah dan duri.”

Manusia akan bergerak beramai-ramai ke arah suatu tempat yang ditentukan iaitu di Syam, lebih tepat lagi Baitul Maqdis yang digambarkan sebagai mahsyar dunia.  Golongan ini ialah mereka yang paling akhir berada di muka bumi menjelang Kiamat dan telah melalui zaman munculnya Dajjal, Yakjuj Makjuj, Nabi Isa AS dan peristiwa dahsyat di akhir zaman, namun masih juga tidak beriman.

Gambar: Petikan video dari Episod 13 Musim 1 rancangan Riwayat Akhir Zaman di aplikasi AlHijrah Plus.