Balu derita SLE, anak autisme buntu rumah bakal dilelong

KETIKA hatinya masih sarat dicengkam pilu kehilangan tempat bergantung pada Mei tahun lalu, wanita ini sekali lagi berdepan ujian berat apabila menerima notis rumahnya bakal dilelong pada Januari lalu. Rumah peninggalan arwah suami yang menjadi tempat beliau dan anaknya berteduh di Taman Lembah Permai, Sungai Petani, dibeli pada tahun 2004 ketika suaminya masih berkhidmat sebagai anggota tentera.

Notis lelongan itu diterima berikutan mempunyai tunggakan akibat suaminya tidak mampu melunaskan pinjaman selepas berhenti kerja pada tahun 2013 selepas menderita penyakit buah pinggang kronik.

Rohani kemudian mengambill alih tugas arwah suami mencari rezeki demi menyara keluarga setahun selepas itu. Beliau juga tidak mampu membayar pinjaman rumah disebabkan terpaksa berhenti kerja untuk menguruskan suami yang sering keluar masuk hospital dan anaknya, Muhammad Syamael Ajwad, 16, yang menghidap autisme. 

Rohani (dua dari kiri) dan Muhammad Syamael dikunjungi rakan arwah suaminya di kediaman mereka di Taman Lembah Permai, Sungai Petani, baru-baru ini.

Lebih memeritkan, selepas pemergian arwah suaminya, semua tanggungjawab kini perlu dipikul Rohani seorang diri. Dia yang menghidap penyakit Sistemik Lupus Eritematosus (SLE) sejak sekian lama, turut menderita penyakit gastrik, migrain dan asma selain tidak boleh melakukan kerja-kerja berat berikutan mengalami masalah pada bahagian sendi pangkal paha kesan terjatuh ketika bekerja, kira-kira lima tahun lalu.

Namun, dalam keadaan tidak berdaya menanggung kesakitan, Rohani tetap perlu menguruskan anaknya yang tidak mampu menguruskan diri sendiri memandangkan pergerakannya terbatas. Akibat penyakit yang dideritainya, Rohani tidak dapat bekerja selain perlu menumpukan sepenuh perhatian terhadap anaknya.

Beliau hanya mengharapkan bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk perbelanjaan harian dan membeli lampin pakai buang untuk anaknya. Biarpun doktor menyarankan beliau menjalani pembedahan untuk merawat masalah sendi, namun Rohani terpaksa melupakan hasrat itu kerana tiada siapa boleh menjaga Muhammad Syamael sekiranya dia dimasukkan ke hospital.

Untuk menderma sila layari ybim.org.my/suaraasnaf dan tekan Asnaf 83 atau terus menyumbang ke akaun YBIM (566010633490 – Maybank).

Gambar: Muhammad Syamael banyak menghabiskan masa bermain seorang diri di rumah memandangkan pergerakan ibunya terbatas akibat masalah kesihatan.

(4)

Balu derita SLE, anak autisme buntu rumah bakal dilelong

About The Author
-

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>