July 27, 2024 10:35 AM
LOGO-HBIT

Bangsa Rom bertempur dengan tentera Al-Mahdi dalam Malhamah Kubra

APABILA bersatunya orang Islam seluruhnya di bawah satu panji pimpinan Imam Al-Mahdi dan berbaiah dengannya, mereka bersiap sedia untuk berdepan peperangan-peperangan yang telah dijangkakan sebagaimana yang telah disebutkan Baginda Rasulullah SAW.

Persediaan mental dan fizikal umat Islam pada ketika itu berada pada keadaan paling optimum kerana fitnah yang akan berlaku selepas peperangan ini sangatlah dahsyat sehingga menyebabkan Rasulullah menceritakan betapa ramainya manusia yang menjadi tentera Imam Al-Mahdi menjadi murtad kesan dari peperangan ini.

Menurut Ustaz Jafri Abu Bakar Mahmoodi dalam rancangan Riwayat Akhir Zaman Musim 1, Episod 8 yang disiarkan di aplikasi AlHijrah Plus, pada peringkat awal tentera Al-Mahdi membuat kerjasama dan pakatan perdamaian dengan orang Romawi (kini satu kelompok yang tinggal di Byzantine) dari kalangan Nasrani untuk memerangi musuh. Mengikut ulamak mereka ialah kelompok Kristian yang berasal dari negara Eropah.

Daripada Zu Makhmar, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud; “Kamu sekalian akan berdamai dengan orang Romawi dengan perdamaian yang sentosa, dan kamu bersama mereka akan mengalahkan musuh yang ada di belakang mereka, lalu kamu selamat dan mendapat harta rampasan perang. (Hadith Riwayat Imam Ahmad).

“Namun selepas mendapat kemenangan ada antara tentera Rom yang mengangkat salib dan menyatakan kerana salib itu mereka mendapat kemenangan. Perbuatan ini sudah tentu menimbulkan sakit hati tentera Islam dan mereka menegur kelancangan tentera Rom. Akibatnya mereka dibunuh.

Kebiadaban tentera Rom mencetuskan peperangan yang amat dahsyat antara pihak Rom dan tentera Islam.  Disebutkan oleh Auf in Malik dalam Sahih Bukhari, jumlah tentera yang datang ini mewakili 80 bendera dan di bawah setiap bendera terdapat 12 ribu tentera,” jelas Ustaz Jafri.

Rancangan Riwayat Akhir Zaman dapat ditonton dalam aplikasi AlHijrah Plus.

Abdullah bin Mas’ud menceritakan bahawa orang Rom akan berhimpun dalam jumlah yang terlalu besar di Syam (Syria), dalam sebuah riwayat menyebutkan Al-A’maq atau Dabiq. Jumlah itu menimbulkan kegerunan dalam hati sebahagian tentera Imam Al-Mahdi sehingga menyebabkan mereka murtad.

Tatkala mendengar perhimpunan tentera Rom ini, tentera Imam Al-Mahdi bergerak ke utara untuk berdepan dengan mereka. Apabila tercetusnya perang, satu pertiga tentera Islam lari dari medan perang. Riwayat menyebutkan mereka yang meninggalkan medan perang ini tidak akan diampunkan dosa mereka.

Peperangan ini berlangsung sekitar empat hari dari waktu pagi dan dihentikan ketika malam. Pada hari pertama peperangan tiada kemenangan di mana-mana pihak. Menurut pendapat Ustaz Jafri, berkemungkinan peperangan terpaksa dihentikan menjelang malam kerana pada zaman itu mungkin segala teknologi telah musnah yang membolehkan peperangan dapat diteruskan pada malam hari.

Keadaan ini berulang sehingga hari keempat. Satu pertiga daripada jumlah tentera Imam Al-Mahdi pula syahid dalam peperangan tersebut, manakala baki tentera meneruskan perjuangan. Rasulullah SAW berkata kelompok inilah yang akan membebaskan Kostantinopel sebagaimana janji Allah.

Burung-burung yang melintasi wilayah pertempuran itu pun mati oleh dahsyatnya perang tersebut. Namun Allah belum memberi kemenangan kepada mereka.

Pada hari terakhir, tentera Islam hanya tinggal sedikit. Dengan baki tentera yang ada, mereka menyerbu musuh dengan bersungguh-sungguh dengan nekad beroleh kemenangan atau mati syahid. Nisbah kematian ialah satu orang selamat daripada seratus yang terkorban.

Dalam sebuah riwayat yang lain, sepuluh tentera berkuda terbaik dihantar. Dengan mukjizat dari Allah, mereka ini dikenali Rasulullah SAW walaupun tidak hidup sezaman dengan Baginda. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Sungguh, aku mengetahui nama-nama mereka, nama ayah mereka dan warna kuda-kuda mereka. Mereka adalah pasukan berkuda yang terbaik di muka bumi pada saat itu.”

Ketika mereka sedang mengagih harta rampasan perang, terdapat suatu berita tentang kemunculan Dajjal yang sedang menyerang di kampung-kampung. Para tentera pulang ke tempat masing-masing untuk melindungi keluarga mereka.

Apabila sampai di Baitul Maqdis, mereka dapati berita tersebut adalah palsu dan datang dari syaitan. Ketiadaan tentera Islam digunakan tentera Rom untuk merampas semula Rom. Tentera Islam yang tidak sempat pulang diseksa dan dibunuh mereka tidak tersisa.

Menyedari tipu daya ini, tentera Islam bangkit dan menyerang semula tentera Rom dan akhirnya dapat mengalahkan mereka untuk kali kedua.

Gambar hiasan: Pertempuran sengit antara tentera Al-Mahdi dan tentera Rom berakhir dengan kemenangan di pihak Islam.