Bapa jual rumah pusaka, risau anak terlalu lembut hati bantu orang

OLEH: MOHAMAD FAREEZ HAIQAL YAHAYA

TELEFILEM Tidak Terputus Tasbih Itu yang diterbitkan pada tahun 2011 memaparkan coretan hidup Jasman, (Razali Hussain) yang merupakan anak sulung kepada Dato’ Jasni (Dato’ Rahim Razali) dan Datin Hanum (Aznah Hamid). Jasman, seorang pengurus besar di syarikat bapanya, Gold Holding, merupakan individu yang disegani warga syarikat.

Adik-beradiknya, Jasrina (Jue Aziz) dan Jasmir (Hafiez Hairuddin) turut melihat Jasman sebagai suri teladan dalam keluarga mereka. Mereka bertiga ialah harapan Dato’ Jasni untuk meneruskan legasi dan mengembangkan empayar syarikat pembinaannya. Sayangnya, sifat Jasman yang terlalu prihatin dan lembut hati menimbulkan kegusaran dalam hati bapanya.

Dato’ Jasni mula khuatir akan keadaan syarikat yang dibina hasil titik peluhnya sendiri apabila putera sulungnya itu menggunakan dana syarikat untuk hal-hal kebajikan. Usahawan terkemuka itu turut bertambah runsing akibat sikap Jasman yang gemar pulang ke kampung untuk menziarah rumah pusaka ibu bapa Dato’ Jasni.

Pada saat ketegangan antara Jasman dan bapanya mulai memuncak, dia memutuskan untuk menetap sementara di kampung sementara menunggu keadaan kembali reda. Di kampung halaman, Jasman mengenali Ziman (Nasir Bilal Khan), yang disapanya mesra sebagai Pak Man. Kehadiran Pak Man mula mengubah Jasman untuk mencari tujuan sebenar dalam kehidupan.

Masa yang diluangkan bersama Pak Man di kampung membawa satu demi satu petunjuk kepada Jasman berkaitan hal-hal yang mengganggu kotak fikirannya. Hubungan Jasman dengan bapanya yang kian mengeruh serta kehadiran Pak Man di rumah pusaka itu tanpa sedar akan membuka peluang untuk menyambung semula tali persaudaraan yang bertahun-tahun lamanya terabai dan mengubah hidup keluarganya.

Pak Man membungkus pakaiannya untuk keluar dari rumah yang akan dijual oleh pemiliknya yang juga merupakan abangnya. (Gambar: Tangkap layar adegan dalam Tidak Terputus Tasbih Itu di AlHijrah Plus)

Dengan latar masa bulan Ramadan, telefilem ini mengetengahkan tema tentang impian hidup manusia. Harta yang melimpah ruah mampu mengubah pendirian dan ketetapan hati seseorang terhadap tujuan sebenar hidup yang dianugerahkan Ilahi. Kendatipun, setiap manusia mampu untuk membuat pilihan dengan waras dengan penilaian yang teliti dan keikhlasan hati dalam mencari jalan yang sebenar ke arah kebaikan. Kepentingan ilmu agama sebagai panduan hidup juga diangkat sebagai mesej yang mustahak untuk disampaikan kepada penonton.

Dalam pada masa yang sama, telefilem ini menitikberatkan elemen hubungan kekeluargaan. Hubungan
kekeluargaan sudah tentu akan diuji dengan pelbagai pancaroba. Sebagai manusia, kita bertanggungjawab supaya bertolak ansur dan berusaha untuk menjaga hubungan silaturahmi. Ahli keluarga sewajarnya bersikap jujur dan telus agar segala isu dalam rumah tangga dapat diselesaikan dengan cara yang baik.

Telefilem arahan Izzman Hafiz Izzauddin ini berupaya membawa penonton melalui suatu perjalanan yang penuh emosi dan pengajaran. Barisan pelakon yang hebat, terutamanya pelakon-pelakon utama mampu mencetuskan perasaan kagum, marah, hiba dan insaf dalam kalbu penonton. Sudah pasti, setiap karya mempunyai sisi yang kurang sempurna.

Prestasi pelakon sampingan dilihat agak suram pada beberapa babak serta peleraian yang sedikit terburu-buru. Namun, kelompangan ini berjaya dilitupi dengan keunikan plot keseluruhan dan nilai-nilai murni yang mengikat jiwa penonton untuk mendalami kisah yang dipotretkan.

Konklusinya, telefilem Tidak Terputus Tasbih Itu merupakan karya tempatan yang berkualiti tinggi dan sesuai dijadikan tontonan umum sebagai wadah untuk menyebarkan nilai-nilai murni dalam masyarakat.

Gambar: Rahim Razali memegang watak Dato’ Jasni dalam telefilem Tidak Terputus Tasbih Itu.

* Penulis adalah peserta Pertandingan Menulis Review Rancangan AlHijrah Plus.

(11)

Bapa jual rumah pusaka, risau anak terlalu lembut hati bantu orang

About The Author
-

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>