Bapa terlibat rasuah untuk rawat anak sakit cetus dendam anak dalam Pelita Buluh

OLEH: SITI NURSYUHADA JUNID

TELEFILEM Pelita Buluh merupakan sebuah telefilem yang memberi pelbagai mesej dan pengajaran kepada para penonton. Pemilihan tajuk Pelita Buluh menunjukkan budaya atau adat masyarakat Melayu yang tinggal di kampung apabila musim perayaan.

Pelita Buluh akan dipasang di kawasan kampung bagi memberi kemeriahan dan kegembiraan kepada kanak-kanak. Selain itu, pemilihan barisan pelakon dalam telefilem ini sangat sesuai dengan watak yang diberikan. Para pelakon dapat menjiwai watak dengan sangat baik sehingga memberi kesan kepada penonton telefilem ini.

Pelakon wanita juga menutup aurat dengan sempurna dan tanpa ada adegan berpegangan dengan pelakon lelaki. Hal ini menunjukkan, telefilem ini mementingkan hukum agama Islam dan sesuai untuk ditayangkan di saluran TV AlHijrah.

Mesej dan pengajaran yang ingin disampaikan dalam telefilem ini adalah pengorbanan dan kasih sayang seorang ayah yang sanggup untuk melakukan perkara yang tidak baik demi menyelamatkan anaknya. Namun, mengambil rasuah adalah perbuatan yang berdosa dan memudaratkan diri sendiri.

Tindakan ayah yang bersetuju untuk mengambil rasuah demi membiayai kos perubatan anaknya yang sakit memberikan gambaran yang tidak baik kepada penonton. Para penonton dapat mengambil pengajaran daripada situasi atau adegan ini supaya dapat berfikir secara rasional dan tidak melakukan perkara yang haram walaupun berada dalam keadaan yang terdesak.

Syafie Naswip memegang watak anak tunggal yang mengalami masalah buah pinggang dalam telefilem Pelita Buluh. (Gambar petikan Pelita Buluh)

Seterusnya, pengajaran yang dapat diambil dari telefilem ini adalah bertaubat dan menyesali terhadap perbuatan dosa yang telah dilakukan. Tindakan berani ayah yang menyerah diri dan mengaku mengambil rasuah patut dipuji. Adegan ini menunjukkan sesiapa sahaja yang bersalah patut bertaubat dan menerima hukuman yang setimpal dengan perbuatan yang dilakukan.

Walau bagaimanapun, anaknya masih menyimpan dendam sehingga membuat keputusan tidak mahu berjumpa dengan ayahnya walaupun ayahnya telah menerima hukuman. Dendam seorang anak kepada ayahnya di dalam telefilem ini seperti peribahasa “Nyamuk mati gatal tak lepas” yang membawa maksud menaruh dendam kepada orang yang berbuat jahat, meskipun yang jahat itu sudah dihukum.

Adegan kesetiaan seorang isteri terhadap suaminya juga patut dipuji. Walaupun suaminya telah melakukan kesalahan yang besar, isteri sanggup memaafkan dan setia bersama suaminya. Isteri dan suaminya juga sabar menunggu kepulangan anaknya ke kampung serta memasang dan menyalakan Pelita Buluh yang menjadi kesukaan anaknya sejak kecil lagi pada setiap Hari Raya. Pada akhirnya, anak menyedari kesalahan dirinya setelah mendengar nasihat dari kawannya dan memohon maaf terhadap ayahnya.

Mesej yang dapat disampaikan melalui adegan ini adalah, kita hendaklah bersifat pemaaf walaupun sukar dan lupakan perkara yang telah berlaku.

Kesimpulannya, orang ramai patut menonton telefilem ini kerana pelbagai iktibar dapat diperoleh apabila menonton telefilem yang penuh dengan pengajaran. Walaupun adegan dalam telefilem ini banyak menayangkan adegan kilas balik, namun ia tidak mencacatkan urutan kronologi cerita dan memberi kefahaman kepada para penonton.

Semoga TV AlHijrah dapat menayangkan lagi pelbagai jenis telefilem atau drama yang memberikan
pelbagai mesej dan pengajaran yang positif kepada para penonton pada masa yang akan datang.

Gambar: Salah satu adegan dalam telefilem Pelita Buluh yang disiarkan di Alhijrah Plus.

* Penulis adalah Pemenang Hadiah Kedua Pertandingan Menulis Review Rancangan Alhijrah Plus.

(17)

Bapa terlibat rasuah untuk rawat anak sakit cetus dendam anak dalam Pelita Buluh

About The Author
-

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>