WALAUPUN pelbagai pihak menyatakan bantahan terhadap penganjuran konsert secara langsung Coldplay yang akan berlangsung pada 22 November ini di Stadium Nasional Bukit Jalil, setakat ini kelihatan tiada tanda-tanda ia akan dibatalkan.
Usaha membawa kumpulan yang terkenal sebagai pendokong seks songsang dan pernah mengibarkan bendera LGBT dalam sebuah konsert di London suatu ketika dahulu, dan terkini di Tokyo dilihat sebagai mencabar maruah Malaysia sebagai sebuah negara Islam.
Hiburan hedonism ini amat bertentangan dengan nilai-nilai Islam dan budaya Melayu serta bercanggah dengan konsep Malaysia Madani yang sedang diperjuangkan pemimpin, di mana budaya tinggi antara teras utama pembinaan bangsa berperadaban.
Ulasan salah seorang bekas peminat kumpulan ini wajar diambil perhatian oleh masyarakat untuk mengambil sikap dalam menerima kehadiran dan menyanjungi ahli kumpulan yang jelas mempunyai agenda di sebalik konsert yang bakal diadakan itu.
Menurut bekas peminat tersebut melalui laman Facebooknya bertarikh 17 November, beliau yang mula meminati Coldplay sejak dari lepasan sekolah menengah lagi berasa agak kecewa dengan seluruh ahli Coldplay sewaktu menghadiri persembahan kumpulan itu di Tokyo Dome, Tokyo pada 7 November lepas.
Perbuatan Chris Martin, vokalis Coldplay yang telah mengibarkan bendera pelangi yang melambangkan LGBT selepas separuh dari waktu konsert membuatkan lelaki itu berasa agak terkejut dan kecewa.
“Kata-kata Chris Martin ketika itu, kita adalah sama semua. Tiada yang lebib tiada yang kurang. Maksudnya dia mengiktirafkan golongan ini.
“Kecewa. Persembahan sangat menarik, tetapi sokongan terhadap golongan api neraka secara terang-terangan. Ini mungkin kali terakhir untuk aku mendengar Coldplay,” luah lelaki itu.
Beliau juga berharap perbuatan itu tidak diulang dalam persembahan di Malaysia sebagai tanda hormat kepada rakyat Malaysia.
“Aku mengutuk secara keras bagi sesiapa yang menyokong LGBT ini,” tegasnya lagi.
Penganjuran konsert itu juga disifatkan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Profesor Madya Dr Luqman Abdullah sebagai program melalaikan dan tidak memberi manfaat kepada masyarakat di negara ini.
Beliau juga menasihatkan orang ramai tidak memberi sokongan kepada penganjuran konsert berkenaan dan turut menasihatkan penganjur untuk tidak meneruskan penganjurannya.
“Bagi masyarakat Islam, perlu difahami hiburan dalam Islam ada batasan yang perlu dipatuhi dan mana-mana jenis hiburan terkeluar daripada batasan ini adalah bertentangan dengan hukum syarak,” kata beliau dalam laman Facebooknya Jumaat lalu.
Gambar: Aksi Chris Martin ketika mengibarkan bendera pelangi dalam persembahannya di Tokyo.