“DIHALAU dan dibuang keluarga, ini adalah salah satu cabaran saudara baru kita selepas memeluk Islam.”
Kenyataan yang tercatat dalam laman Facebook Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) bertarikh 18 Oktober lalu adalah realiti yang banyak dilalui oleh saudara baru setelah mereka memilih berhijrah. Yang membezakan pengalaman pahit mereka sebagai ujian pertama bergelar Muslim adalah tahap cabaran bagi setiap mereka.
Ada yang hanya disisih ahli keluarga ataupun kawan-kawan secara emosi sahaja tetapi masih mendapat semua hak sebagai ahli keluarga, manakala ada pula mualaf yang secara langsung dibuang keluarga dan rakan-rakan sehingga buntu mencari arah kehidupan baharu.
Pengalaman seorang mualaf warga emas yang pernah hidup kaya dan berakhir dengan hidup sebagai gelandangan setelah dibuang keluarga menjadi bukti kenyataan pihak JAWI itu.
Muhammad Johari Yeoh Abdullah, 70 adalah pelopor yang mempopularkan tauhu Jepun di negara ini pada awal 80-an nekad melepaskan semua kesenangan dunia apabila keputusannya memeluk Islam mendapat tentangan adik-beradik dan anak-anaknya.
Menurut perkongsiannya kepada pihak Yayasan Budi Ihsan Malaysia suatu ketika dahulu, ujian hebat dalam kehidupannya bermula sebaik sahaja beliau memberi perkhabaran sudah bertukar agama kepada dua anaknya yang tinggal di Singapura dan Amerika Syarikat (AS). Walaupun berpelajaran tinggi dan bekerja sebagai jurutera, namun kedua-dua mereka yang mempunyai persepsi negatif terhadap Islam tidak bersetuju dengan tindakannya itu dan cuba memujuknya kembali kepada agama asal.
Tetap memilih Islam, Johari ambil keputusan keluar dari rumah dan tidur di dalam kereta untuk mengelakkan ketegangan berlarutan. Berbekalkan RM30 dalam poket sebaik keluar hospital setelah menjalani rawatan jantung, beliau terpaksa tidur di bawah jambatan lantaran tiada tempat tujuan.
Cuba mendapatkan tempat bermalam di sebuah pusat transit gelandangan, beliau tidak diterima kerana had umur maksimum di situ adalah 60 tahun. Tiada pilihan dan tidak mampu menyewa bilik, dengan keadaan lemah selepas pembedahan, beliau terpaksa tidur dalam cuaca sejuk dan hanya beralaskan kotak di bawah jambatan LRT berhampiran Sunway Putra Mall.
Pengalaman pahit yang ditempoh mualaf seperti Johari hanyalah secebis kisah dari realiti hidup yang berlegar dalam masyarakat.
Menyedari mehnah dan tribulasi mereka, JAWI bertindak menyediakan penginapan sementara di Kompleks Darul Hidayah, Sentul khas buat saudara baru yang tidak mempunyai tempat tinggal bagi meringankan beban mereka berdepan cabaran baharu dalam hidup.
“Kami menyediakan bimbingan seperti Kelas Tahsin al-Quran bagi saudara baru selain elaun setiap kali mengikuti kelas ini.
“Selain itu, mereka juga akan diberikan sumbangan pengIslaman sebanyak RM 3,000 serta kit pengIslaman termasuk Al-Quran, buku-buku, pakaian serta kelengkapan solat selepas pendaftaran.
JAWI turut menyediakan kelas pengajian buat saudara baru bagi peringkat asas, pertengahan dan lanjutan selama satu tahun enam bulan bagi setiap peringkat,” jelas pihak JAWI dalam laman Facebooknya.
Usaha ini bertujuan menjaga kebajikan dan kemaslahatan para mualaf agar terpandu iman dan arah hidup mereka.
Justeru itu amatlah wajar bagi setiap umat Islam cakna kepada persekitaran dan insan di sekeliling agar para mualaf yang tenggelam punca atau tiada maklumat tentang pihak yang dapat membantu mereka mendapat hak mereka melalui usaha pihak Jawi ini – dengan menghubungi pihak JAWI di talian 03-22749333.
Gambar: Bangunan Kompleks Darul Hidayah, Sentul (FB JAWI)