Berada dalam ‘pelukan’ TV AlHijrah, penumpang ETS digalakkan hayati kebesaran Pencipta  

MEMERHATI sawah yang menghijau atau padi yang sedang menguning saujana mata memandang, kelompok awan nan biru dan danau hijau yang terhidang sepanjang jalan bukan sahaja mampu menimbulkan ketenangan jiwa, malah mencetus takjub seseorang. Rasa tenang bercampur takjub ini seterusnya menyemarak rasa syukur kepada Pencipta segala keindahan itu.

Pemandangan indah bersilih ganti yang dapat dinikmati dari kaca tingkap ETS itu hanyalah sedikit dari kebesaran Allah untuk dihayati oleh hamba-Nya. Banyak lagi keindahan yang terungkap melalui penceritaan dalam Surah Ar-Rahman sekiranya ditaakul, dapat menambah rasa pengabdian pada Yang Maha Esa. Segala kesyukuran ini kemudiannya diterjemah melalui segala amal tindak ke dalam bentuk ibadah dalam kehidupan seharian dengan adanya niat kerana-Nya.

Meneruskan agenda mengisi jiwa umat dengan ilmu dan ajaran agama melalui rancangan bermanfaat, TV AlHijrah giat mengembangkan penjenamaannya agar nama stesen berkonsepkan Islam ini terus tersemat di hati penonton.

Justeru itu, TV AlHijrah menyambut mentari tahun baharu 2024 dengan meuar-uarkan hala tuju serta mendekatkan rancangan-rancangan pilihan kepada para penonton setia yang banyak mendokong perjuangan selama ini melalui paparan rancangan tersebut di ETS.

Rekaan grafik TV AlHijrah pada gerabak tren ETS ini diakui pihak KTMB paling menarik setakat ini.

Ini kerana jarak perjalanan dari dua titik arah dan jenis pengangkutan berteknologi tinggi ini kelihatan agak sinonim dengan perjalanan TV AlHijrah yang menyediakan rancangan yang banyak mendekatkan masyarakat kepada tafakur dan taakul kebesaran Allah dan tugas yang diamanahkan-Nya.

Mengguna pakai sistem penyiaran berteknologi definisi tinggi (HD) dan kini melebarkan ruang penyiaran ke aplikasi peranti pintar melalui AlHijrah Plus yang telah dimuat turun oleh lebib 100 ribu pengguna, TV AlHijrah melaju atas landasannya yang tersendiri di tengah-tengah medan dunia penyiaran tanah air.

Dalam usia lebih 13 tahun berada dalam persaingan sengit penyiaran negara, stesen ini terus mengukuhkan jenamanya dan berjaya menarik bebola mata penonton kepada rancangan malar segar Cinta llmu, Assalamualaikum, Berita AlHijrah, Reflections dan kapsul-kapsul menjelang Maghrib yang sentiasa mendapat tontontan tertinggi.

“Yang bersaudara sesama muslim, kita ajak singgah ke saluran 114 untuk menambah ilmu dan ibadah. Yang belum menjadi saudara seagama, kita harapkan terbukanya pintu hati bagi mencari kebenaran Tauhid, untuk kembali kepada agama fitrahnya,” luah Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah tentang harapannya terhadap sambutan penonton terhadap iklan dan penjenamaan TV AlHijrah di kenderaan ETS itu.  

Sebagaimana perjalanan yang ditempoh bermula dengan satu langkah dari titik daksina ke paksina dengan kemudahan ETS, TV AlHijrah mahu penumpang tren laju tersebut menghayati keindahan kebesaran Allah dan menjadikan agama sebagai satu cara hidup mendepani hari muka.

Antara paparan iklan rancangan TV AlHijrah dalam tren ETS.

Suatu kembara yang panjang, apatah lagi bersama anak-anak kecil atau ahli keluarga yang agak renta yang dibawa bersama adalah suatu perjuangan yang memerlukan kesabaran. Jika pada masa dahulu, permusafiran jarak antara selatan ke utara ini memakan masa sehari suntuk dengan berkereta atau bas, kini dengan kemudahan ETS para musafir boleh menikmati makan tengahari di Ipoh atau lebih jauh lagi ke utara.

Begitulah kemudahan yang Allah berikan kepada hamba yang memanfaatkan teknologi dengan baik. Ia memberi keuntungan kepada kita jika digunakan pada jalan yang betul dan benar; dan yang paling tepat untuk membawa manusia kepada Pencipta.

Sepanjang tempoh kembara selama lima jam yang menghubungkan utara dan selatan, banyak ciptaan Allah yang boleh membuka minda yang tajam.

Maka amatlah rugi sekiranya kisah permusafiran itu diisi dengan hal sia-sia atau kurang mendatang faedah kepada persinggahan seterusnya – persinggahan Barzakh.

Perkara inilah yang menjadi titik tolak perjuangan TV AlHijrah selama ini – membawa umat dari persinggahan satu ke persingahan dua dengan selamatnya kerana sebagai Mukmin, berjaya di dunia dan Akhirat adalah cita-citanya; pulang kepada Ilahi dalam fitrah itu destinasi akhir kita.

(207)

Berada dalam ‘pelukan’ TV AlHijrah, penumpang ETS digalakkan hayati kebesaran Pencipta  

| Gaya Hidup, Semasa | 0 Comments
About The Author
-

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>