July 27, 2024 10:38 AM
LOGO-HBIT

Dabbatul Ardh tandakan wajah orang kafir dan beriman

PADA akhir zaman nanti, banyak berlaku perkara mencarik adat dan kejadian yang di luar kotak pemikiran manusia seperti terbitnya matahari dari sebelah barat serta munculnya binatang dari bumi yang boleh bercakap iaitu Dabbatul Ardh.

Dabbatul Ardh ialah binatang melata yang berbulu, berkaki empat yang keluar dari bumi sebahagian Lembah Tihamah atau di satu desa berdekatan dengan Mekah dan boleh bercakap dengan manusia. Ada pendapat lain mengatakan tempat keluarnya di belahan Bukit Safa, dekat dengan Kaabah dan ada riwayat menceritakan keluarnya di perkampungan bernama Jiyad yang hampir dengan Masjidil Haram.

Abdul Razzaq meriwayatkan daripada Qatadah bahawa Ibnu Abbas berkata, “Ia adalah binatang melata yang berbulu halus dan mempunyai empat kaki, keluar dari sebahagian lembah Tihamah.”

Dabbatul Ardh muncul seiring dengan keadaan di mana matahari naik dari sebelah barat, sama ada sebelum atau selepas kejadian itu dan munculnya pada waktu Dhuha.

Menurut Ustaz Jafri Abubakar Mahmoodi dalam rancangan Riwayat Akhir Zaman Musim 1 Episod 10, munculnya Dabbatul Ardh di Jiyad dengan tiga teriakan. Teriakan pertama ketika ia mengadap ke arah Syam, di mana ia memunculkan sebahagian dirinya. Kemudian ia memandang pula ke arah Yaman dan berteriak sekali lagi lalu memunculkan sebahagian lagi dirinya. Ia kemudian mengadap ke arah timur dan berteriak kali ketiga lalu memunculkan keseluruhan dirinya.

Kisah tentang Dabbatul Ardh dapat ditonton dalam rancangan Riwayat Akhir Zaman di aplikasi AlHijrah Plus.

“Kemunculannya menimbulkan kehairanan manusia kerana rupanya yang pelik. Binatang ini akan menemui setiap manusia yang ada di dunia pada waktu tersebut dan tiada siapa pun yang dapat melepaskan diri dari pertemuan dengannya,” jelas Ustaz Jafri.

Daripada Abu Hurairah, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Bersegeralah dalam beramal sebelum datang enam perkara: Terbitnya matahari dari barat, asap, Dajjal, Al-Dabah, perkara khusus daripada kalangan kamu (kematian) dan urusan umum (Kiamat).” (Hadis riwayat Muslim)

“Dan apabila sampai masa berlakunya hukuman atas manusia, Kami keluarkan untuk mereka sejenis binatang dari bumi, yang akan menyatakan kepada mereka, bahawa manusia telah tidak meyakini ayat-ayat keterangan dan pengajaran Kami.” (Surah An-Naml, ayat 82)

Tugasnya ialah memperingatkan mereka tentang sikap manusia yang suka mengabaikan peringatan Allah. Ia membawa bersamanya barang mulia iaitu tongkat Nabi Musa dan cincin Nabi Sulaiman.

“Dabbatul Ardh akan mengangkat tongkat atau cincin Nabi Musa dan meletakkannya di wajahnya, lantas wajahnya berubah menjadi bercahaya dan terang, bersih dan cantik menandakan ia beriman kepada Allah.

Apabila melihat lelaki bersolat, ia menempelak lelaki itu dengan bertanya “Baru hari ini kamu mahu solat?” Kemudian lelaki itu akan meletakkan tanda di dahi lelaki itu dan serta-merta wajah lelaki itu berubah menjadi hitam; yang menunjukkan sebenarnya dia itu kafir,” kata Ustaz Jafri.

Menurut Ustaz Jafri, persoalan yang timbul daripada tindakan Dabbatul Ardh itu ialah berkemungkinan situasi umat pada masa itu ialah mereka berasa mereka itu beriman sedangkan mereka itu sebenarnya tergolong dalam kalangan kafir; atau memang mereka kafir tetapi sengaja mahu bersolat pada waktu itu.

Manusia pada waktu itu akan tergolong kepada dua kelompok; satu kelompok berwajah putih bersih dan keduanya berwajah hitam kerana kekufurannya. Panggilan kepada golongan tersebut juga hanya dua iaitu ‘si mukmin’ dan ‘si kafir’.

Mereka bermuamalah sebagaimana biasa dan terdapat juga keadaan di mana satu keluarga terdiri daripada kedua-dua jenis kelompok ini. Ini kerana iman umat akhir zaman sangat sukar dijaga sehingga Rasulullah SAW mengibaratkan mudahnya iman keluar dari dada umat pada masa itu seumpama anak panah keluar dari busurnya.

Ramai daripada mereka melakukan perkara-perkara yang boleh mencabut akidah dan iman mereka dalam keadaan mereka tidak menyedarinya.

Justeru itu Ustaz Jafri mengingatkan umat Islam supaya bersedia dan sentiasa memelihara diri dan ahli keluarga daripada perkara yang boleh menggugat akidah dari segi lisan, perbuatan dan iktikad dalam hati untuk memperkasakan iman dalam menempuh ketidaktentuan fitnah akhir zaman ini.

Gambar: Ilustrasi Dabbatul Ardh menurut sifat yang digambarkan oleh Al-Quran dan hadith.