Dajjal muncul sebagai penyelamat kebuluran

SEBELUM berlaku tanda-tanda besar kiamat, berlaku beberapa keadaan antaranya keringnya Sungai Furat (Euphrates) yang mengalir dari Turki, Syria dan Iraq sepanjang dua ribu kilometer.

Kajian semenjak tahun 2002 menunjukkan Sungai Furat mengalami kekeringan yang begitu ketara dan berterusan dari masa ke semasa. Kawasan yang akan mengering itu adalah di Iraq di mana selepas ia kering akan muncul segunung ‘emas’.

Orang ramai akan berebut dan sanggup berbunuhan untuk berebut gunung emas ini. Rasulullah SAW mengingatkan supaya jangan hampir ke tempat tersebut atau terlibat dalam perebutan harta itu kerana antara 100 orang yang berebut, hanya seorang akan terselamat.

Bumi mulai kering oleh kerana pada tiga tahun berturut-turut hujan mula berkurang; iaitu pada tahun pertama sebanyak satu pertiga daripada tahun sebelumnya, dua pertiga pada tahun berikutnya dan tiada hujan langsung pada tahun ketiga.

Tasik dan sungai mulai mengering, empangan mula tidak berfungsi. Keadaan ini menyebabkan teknologi tidak dapat berfungsi, kenderaan tidak dapat bergerak, rumah tiada bekalan elektrik, makanan dan minuman akan dicatu. Manusia hidup dalam huru-hara dan sengsara.

Pada masa ini Dajjal mula memunculkan diri sebagai penyelamat dengan menawarkan penyelesaian-penyelesaian kepada keadaan ini. Umpama turunnya hujan di tengah gurun, ramai yang terpaksa mengaku Dajjal itu Tuhan untuk mendapatkan semula segala bentuk kenikmatan dan keperluan untuk anak isteri.

Akidah akan tergadai secara besar-besaran oleh fitnah Dajjal ini. Kawasan yang penduduknya mengaku Dajjal sebagai Tuhan akan disirami hujan dan subur tanahnya, manakala yang menolak dakyah Dajjal akan ditimpakan kesengsaraan seperti kebuluran.

Keringnya Tasik Tabariyyah ataupun dikenali sebagai The Sea of Galilee, yang terletak di Palestin dan menjadi punca air penduduk di kawasan itu juga menandakan kemunculan Dajjal telah hampir.

Pada tahun 2015, The Times of Israel menyatakan pada bulan Februari 2015, kadar air di Tasik Galilee telah mengering di bawah paras bahaya. Petani di sekitar kawasan tersebut berhadapan dengan kejatuhan dan kerosakan tanaman oleh masalah ini. Mereka berusaha untuk meningkatkan paras air namun gagal.

Riwayat Akhir Zaman boleh ditonton di aplikasi AlHijrah Plus.

Manakala kebun tamar di Baisan milik orang Palestin terdahulu pula yang berhampiran Tasik Tabariyyah telah dimusnahkan dan menggantikan dengan tanaman-tanaman yang lain.

Sungai Furat telah kering, Tasik Tabariyyah pun juga telah kering dan hujan pula semakin berkurangan. Allah telah menunjukkan tanda-tandanya supaya umat Islam bersedia dan tidak leka dengan dunia.

Mereka yang tidak mengkaji tanda-tanda kemunculan Dajjal akan tergolong dalam kalangan mereka yang terpinga-pinga seperti keldai dengan kemunculannya, malah lebih buruk lagi mungkin menjadi pengikutnya tanpa sedar.

Mukmin yang bijaksana akan menyediakan payung iman untuk berteduh dari panasnya fitnah Dajjal.

Gambar hiasan: Mereka yang tidak mengaku Dajjal sebagai Tuhan akan ditimpakan kemarau sehingga menyebabkan kebuluran.

(106)

Dajjal muncul sebagai penyelamat kebuluran

About The Author
-

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>