Diberhentikan kerja dan tidak dibayar gaji enam bulan, diminta keluar rumah – lelaki terpaksa kerja berat tanggung keluarga walaupun berisiko lumpuh

JIKA dilihat dari segi luaran, pasti tiada sesiapa yang akan menyangka rumah semi D yang didiami Radzuan Yasin, 46 bersama isteri Noraidah Mohd Jamil, 49; tiga anak tiri dan seorang ibu saudara yang uzur adalah atas ihsan seorang kenalan yang membenarkan mereka tinggal di situ secara percuma. 

Mereka sekeluarga terpaksa menumpang teduh di rumah itu sejak tahun lalu memandangkan Radzuan yang baharu diberhentikan kerja dan tidak dibayar gaji selama enam bulan tidak mampu menyediakan rumah untuk ahli keluarganya berlindung daripada panas dan hujan.

Ini memandangkan Radzuan gagal mencari rumah dalam masa yang singkat selepas diminta keluar dari rumah yang disediakan bekas majikan sebaik diberhentikan.

Radzuan tiada pendapatan tetap kerana tidak boleh bekerja memandangkan keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan lantaran menderita masalah ‘slipped disc’ kronik. Beliau sebelum ini menggunakan kerusi roda untuk bergerak, dapat berjalan semula sebaik menjalani pembedahan pada tahun 2018.

Radzuan dan isteri tidak dapat menahan sebak ketika menceritakan keadaan kesihatannya.

Namun doktor tidak membenarkan beliau bekerja berat kerana mungkin berisiko lumpuh sekiranya mengalami kecederaan sekali lagi. Namun beliau tidak mempunyai pilihan dan terpaksa membanting tulang empat kerat dengan kudrat yang tidak seberapa kerana perlu menanggung lima mulut yang perlu disuap.

Radzuan yang juga menghidap masalah jantung, usus berdarah dan menderita penyakit Hepatitis C tetap melakukan apa sahaja pekerjaan yang boleh mendatang rezeki sama ada memotong rumput atau membetulkan atap selain membantu memberi makan ikan peliharaan tuan rumah.

Dari situlah dia mendapat sedikit sumber kewangan menampung perbelanjaan keluarga memandangkan mereka tidak menerima sebarang bantuan kewangan daripada mana-mana pihak.

Untuk menderma sila layari https://ybim.org.my/suaraasnaf/ dan tekan Asnaf 49 atau  terus menyumbang ke akaun YBIM (566010633490 – Maybank).

Gambar: Noraidah menunjukkan bekas pembedahan yang dilakukan pada tahun 2018 berikutan masalah ‘slipped disc’ kronik yang dideritai suaminya.

(0)

Diberhentikan kerja dan tidak dibayar gaji enam bulan, diminta keluar rumah – lelaki terpaksa kerja berat tanggung keluarga walaupun berisiko lumpuh

About The Author
-

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>