Diberhentikan kerja secara mengejut tanpa sebarang pampasan, bekas jurugambar diuji suami dan anak sakit jantung

PERJALANAN hidup Noor Azlina Jaafar, 43, dan suaminya Muhammad Basir Abu Bakar, 42, berubah sepenuhnya apabila syarikat tempat mereka mencari rezeki yang beroperasi lebih 80 tahun ditutup, menyebabkan 800 kakitangan hilang pekerjaan dalam sekelip mata. 

Berkhidmat lebih 18 tahun sebagai jurugambar di sebuah syarikat penerbitan akhbar tertua negara, Noor Azlina selesa dengan gaji bulanan berjumlah hampir RM10,000. Pendapatan relatif lumayan itu juga membantu wanita ini dan suaminya yang bertugas sebagai wartawan meja jenayah membina kehidupan yang selesa untuk tiga anak mereka. 

Lebih malang, sudahlah pasangan ini tidak diberi pampasan, mereka juga diberhentikan secara mengejut dan diminta meninggalkan pejabat dalam masa hanya beberapa jam. Malah sebelum pemberhentian itu, sudah tiga bulan tidak menerima gaji.

Sebaik hilang pekerjaan Noor Azlina dan suami cuba bangkit dan membina hidup baharu dengan memulakan perniagaan burger diberi nama Burger Abah Mook pada September tahun lalu, sumbangan Pusat Pungutan Zakat-MAIWP menerusi program Bangkit Khaira PPZ-Ramly Burger.

Namun, sekali lagi pasangan suami isteri ini diuji apabila Muhammad Basir disahkan mengalami masalah  injap jantung menyempit tahun lalu dan keadaan kesihatannya semakin merudum awal tahun ini.

Noor Azlina membantu Nur Iman Damia menjawab soalan yang diberikan guru ketika mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR).

Keadaan kesihatan tidak menentu selain keluar masuk hospital setiap dua bulan dan pemeriksaan kesihatan yang semakin kerap membuatkan mereka mengambil keputusan menghentikan operasi Burger Abah Mook buat sementara waktu memandangkan Muhammad Basir tidak mampu lagi membalut walaupun hanya sebiji burger. 

Untuk menampung hidup, pasangan ini menjual pewangi kenderaan jenama Bliese dan menjadi agen kek Mama Sab selain bergantung harap kepada pengeluaran i-Sinar dan i-Citra.  

Selain diuji suami menderita penyakit jantung, pasangan ini turut berdepan ujian kesihatan anak kedua mereka, Nur Iman Damia, 9, yang menghidap masalah injap jantung bocor sejak dilahirkan. Namun, kanak-kanak ini tidak perlu menjalani rawatan atau makan ubat, cuma perlu menjalani pemeriksaan setahun sekali.

Tetapi ketika pemeriksaan pada Jun lalu, pakar mendapati jantung Nur Iman Damia bengkak dan ada kandungan air. Keputusan MRI mendapati kondisi injap jantung Damia yang bocor masih sama. Disebabkan itu, jantungnya membengkak dengan ketara.

Muhammad Basir dijangka menjalani pembedahan menukar injap dan ‘bypass’ dalam masa terdekat di Hospital Serdang dengan kos berjumlah lebih RM50,000.

Untuk menderma sila layari ybim.org.my/suaraasnaf dan tekan Asnaf 60 atau  terus menyumbang ke akaun YBIM (566010633490 – Maybank).

(6)

Diberhentikan kerja secara mengejut tanpa sebarang pampasan, bekas jurugambar diuji suami dan anak sakit jantung

About The Author
-

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>