Disindir tinggal di rumah kecil, pelukis peruntuk lebih separuh pendapatan untuk kerja-kerja selamat kucing

DUNIA ini dihuni oleh empat golongan manusia; insan yang Allah berikan ilmu dan harta, mereka yang Allah berikan ilmu namun tidak diberikan harta, golongan yang Allah berikan harta namun tidak diberikan ilmu, dan golongan yang tidak Allah berikan harta serta juga ilmu.

Golongan pertama yang menggunakan harta dan ilmunya untuk menyambung silaturahmi serta menunaikan hak Allah akan mendapat kedudukan yang paling baik di sisi Allah, manakala mereka yang berharta tetapi tidak berilmu serta tidak menggunakan hartanya sebagaimana diajarkan agama meletakkan mereka dalam kedudukan yang jelek di sisi Allah.

Harta yang banyak tanpa panduan ilmu dan agama akan menjuruskan seseorang itu kepada kehidupan yang sia-sia dan tidak membawa kebaikan kepada orang lain, sedangkan pesan Rasulullah SAW menyebut, “Sebaik-baik manusia adalah orang paling bermanfaat bagi orang lain.”

Prinsip hidup pemilik akaun laman Facebook Siti Kamariah ini sewajarnya menjadi renungan kita dalam memahami erti kaya sebenar sebagaimana yang digariskan agama; iaitu kekayaan yang dimanfaatkan untuk tujuan yang lebih besar, bukan sekadar memenuhi nafsu dan kehendak diri sendiri sahaja.

Sebahagian kucing yang telah dimandikan sedang berehat di kawasan rumah Siti Kamariah. (Gambar ehsan Siti Kamariah)

Menurut Siti Kamariah Ahmad Subki yang juga seorang pelukis dan pemilik galeri Artistically Siti, beliau dan suaminya, Noor Amin Ahmad menterjemahkan kekayaan mereka bukan hanya kerana kekayaan material, tetapi kerana mereka memperuntukkan 70% daripada pendapatan mereka untuk memberi.

“Sebagai contoh kita membelanjakan sejumlah RM6000 sebulan untuk menyelamat haiwan. Alhamdulillah.

“Keputusan kami untuk menjaga lebih 60 ekor kucing yang diselamatkan dan memberi makan kucing terbiar adalah satu pilihan hidup dalam keadaan sedar, bukan didorong niat untuk menarik perhatian atau menanggung risiko terlibat hutang,” jelas beliau.

Menurut Siti lagi, sebahagian besar masa mereka diperuntukkan untuk membantu orang lain, memberi makan kucing dan kerja-kerja menyelamatkan haiwan berbanding keutamaan menjaga halaman, melipat pakaian atau membeli-belah sebagaimana keutamaan sebilangan besar insan lain.

“Kami bukanlah jenis yang berbangga-bangga dengan rumah,” tegas beliau lagi, sekaligus menjawab lontaran kata-kata segelintir manusia yang mempersoalkan kenapa beliau tinggal di rumah teres yang kecil, memandu kereta lama dan hanya memiliki galeri yang kecil.

Siti Kamariah bersama hasil lukisannya ketika menyertai Malaysia Auto Show 2023 di Maeps, Serdang.

Ini kerana beliau lebih memberi keutamaan kepada perasaan belas kasihan sesama makhluk berbanding pandangan pertama orang lain terhadap kehidupan mereka.

“Kegembiraan yang kami dapat hasil memberi kehidupan yang positif jauh melebihi keinginan untuk menarik perhatian. Kami memahami komitmen kewangan yang terlibat, tetapi kami sanggup berkorban untuk perkara yang benar-benar penting,” jelas Siti.

Justeru itu beliau mengingatkan agar masyarakat jangan mudah menilai seseorang atau tindakan seseorang sebelum memahami prioriti hidup seseorang itu. Ini kerana sesuatu keputusan kehidupan itu dibina atas impian individu terbabit; dan bagi Siti kehidupan yang dijalaninya itu adalah hasil impiannya untuk mencipta dunia yang lebih baik.

Gambar: Suami Siti Kamariah, Noor Amin Ahmad sewaktu melawat Bustana Kucing Perlis di mana sejumlah dana dari mereka berdua juga diperuntukkan ke sana.

(215)

Disindir tinggal di rumah kecil, pelukis peruntuk lebih separuh pendapatan untuk kerja-kerja selamat kucing

About The Author
-

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>