October 7, 2024 11:27 PM
LOGO-HBIT

Ditidurkan selama 42 hari selepas terima dos pertama, lelaki ini sembuh semula walaupun masih tidak boleh berjalan, syukur ada isteri setia

TIDAK mengenal mangsa sama ada sudah lengkap vaksin atau tidak pernah menerima vaksin, Covid-19 membaham mangsanya secara diam. Inilah yang berlaku kepada pesakit Covid-19 yang baharu sahaja menerima dos pertama vaksin dua hari sebelumnya.

Bukan hanya setakat Azlan yang didapati positif Covid-19, isteri dan anak-anaknya juga turut menerima nasib sama.

Lebih malang, bukan tahap satu atau dua, tetapi keadaan beliau yang semakin teruk menyebabkan beliau terpaksa ditidurkan selama 42 hari, lapor Baitulmal MAIWP dalam laman Facebooknya Ahad lalu.

Berpantang maut sebelum ajal, dengan kebesaran dan izin Allah, Azlan akhirnya kembali sembuh walaupun masih tidak boleh berjalan dan mencari rezeki untuk keluarga.

Azlan yang masih belum boleh berjalan dan mencari rezeki setelah sembuh dari Covid-19 menerima kunjungan Skuad Asnaf Baitulmal MAIWP di kediamannya. (FB Baitulmal MAIWP)

Walaupun diuji sedemikian rupa, beliau bersyukur kerana dikurniakan seorang isteri yang redha dan setia disisi, membuatkan beliau berazam kembali sembuh dan dapat mencari rezeki untuk keluarga.

Skuad Asnaf Baitulmal yang turun menziarahi beliau juga telah menyerahkan borang bantuan Perubatan, Bantuan Peralatan Kesihatan dan Bantuan Menyelesaikan Hutang bagi membantu keluarga Azlan meneruskan kehidupan dalam keadaan teruji sebegini.

Hanya bantuan dan kuasa Allah yang boleh memberi kesihatan dan afiat atas segala musibah, justeru itu penyerahan dan tawakkal hamba kepada-Nya mestilah sentiasa dipertingkatkan dari masa ke semasa.

Gambar: Azlan melalui pengalaman ditidurkan selama 42 hari kerana keadaannya bertambah teruk akibat Covid-19. (FB Baitulmal MAIWP)