“INI kali ke-20 rumah saya terlibat banjir,” luah Encik Azizol ketika ditemu bual oleh pasukan Civil Defence Emergency Response Team (CDERT) dari Yayasan Ikhlas pada 12 November 2022 yang lepas.
Dalam kesibukan membersihkan rumah mangsa banjir, sempatlah petugas Yayasan Ikhlas berbual
sambil buat kerja pembersihan.
“Paling teruk berlaku pada hujung tahun 2021 dan awal tahun 2022, hingga saya terpaksa berlari naik atas bumbung untuk selamatkan diri,” ceritanya lagi.
Namun Azizol yang berniaga pasar malam mengucapkan syukur kerana barangan jualan mereka tidak terjejas akibat banjir yang ditimpa kali ini.
Banjir yang berlaku di Meru, Klang dikenalpasti berpunca dari hujan lebat lebih dua jam dan lepasan
air dari empangan berhampiran. Dapat diperhatikan juga kedudukan rumah mereka yang berada di
kawasan rendah turut menjadi faktor penyumbang kepada keterlibatan dengan banjir kilat.
Misi pembersihan pasca banjir pada hari tersebut telah disertai oleh lima orang kakitangan Yayasan
Ikhlas dan dua orang Sukarelawan dari Team Ikhlas iaitu saudara Alif dan Amirul. Penyertaan mereka pada hari itu sangat dihargai kerana mereka telah mengorbankan masa cuti hujung minggu untuk menyertai misi bantuan ini.
Walaupun kebanyakan rumah di kawasan ini telah siap dicuci setelah air surut, Azizol dan keluarga mengalami sedikit kesukaran kerana terlalu banyak perabot dan perkakas yang perlu dialihkan termasuk barang jualan sebelum kerja pembersihan dilakukan.
Kehadiran Yayasan Ikhlas dalam Misi Bantuan Bencana seperti ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban dan mempercepatkan kerja pembersihan.
Bagi anda yang ingin menyumbang untuk Misi Bantuan Bencana sila layari misibantuan.com atau terus menyumbang ke akaun Maybank – 5628 3463 6228 (Rujukan: Bantuan Bencana) atau hubungi talian 019-611 5954.
Gambar: Para petugas Yayasan Ikhlas sedang membersihkan rumah terlibat banjir.