October 7, 2024 11:12 PM
LOGO-HBIT

Guna kaedah dakwah santai dan kontemporari untuk perluas sasaran, TV AlHijrah jamin kekal relevan sebagai media dakwah

MENYEBARKAN dakwah adalah tanggungjawab yang perlu dijadikan salah satu cara hidup setiap orang Islam, sama ada ia dilakukan dalam bentuk individu, berjemaah ataupun melalui institusi tertentu.

TV AlHijrah sebagai sebuah media berbentuk audiovisual mengambil peluang yang sangat besar ini untuk mendekati masyarakat melalui siaran rancangan yang sudah pun dirangka khas menepati usaha dakwah dan menerapkan tarbiah fitrah kepada penonton sasaran.

Mempunyai kedudukan tersendiri sebagai pemain industri, stesen berkonsepkan Islam ini mempunyai penonton setia tersendiri yang memang istiqamah memilih rancangan Islamik sebagai pengisian rohani dan sumber ilmu mereka.

Manakala pada masa sama stesen ini juga sedang mengorak langkah mencapai penonton di luar bidang supaya dakwah yang disampaikan mencapah kepada penonton yang berbeza strata dan latar.

Menyedari kehidupan setiap Muslim itu sepatutnya berlandaskan atas kesedaran untuk mengamalkan Islam sebagai cara hidup, peranan utama media seperti TV AlHijrah adalah menyebarkan syiarnya di samping mendidik masyarakat dengan nilai-nilai Islam yang sebenar supaya dapat terus menyuluh setiap perubahan zaman.

Untuk menjayakan matlamat dan objektif ini, gerak kerja para Nabi dan Rasul sebagai pendakwah perlulah difahami seluas-luasnya dan bukan ditempurungkan kaedahnya dengan hanya secara konvensional.

Sebaliknya usaha dakwah ini perlu mengguna pakai segala kaedah dan teknologi yang sesuai dan terkini supaya kerja-kerja dakwah tidak ketinggalan. Untuk memanfaatkan kaedah terbaharu dalam berdakwah pula para pendakwah pula seharusnya terlebih dahulu membuat persediaan pengisian jiwa dan minda dengan ilmu dakwah yang mantap dan cekap.

Menjawab kepada soalan tentang fokus rancangan TV AlHijrah sempena musim haji dalam sesi Sidang Media Aidiladha Jemputan Haji stesyen ini di Hotel Tamu & Suites KL petang tadi, Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris berkata  stesen ini memang mengambil kira keperluan untuk terus berubah sesuai dengan kehendak penonton.

Ini termasuklah keperluan memanfaatkan platform media sosial yang lebih dekat kepada masyarakat masa kini seperti TikTok, di mana suatu rundingan telah dilakukan bersama TikTok sebagai rakan sinergi sebagai saluran kandungan-kandungan berkonsepkan Islam.

Ini bagi memperluaskan sasaran dakwah kepada golongan muda yang lebih cenderung kepada bahan bahan tontonan di media sosial berbanding televisyen yang menjadi pilihan golongan lebih berusia.

Beliau juga berkata usaha yang disepakati bersama TikTok ini akan menjadi satu jaringan yang memacu kedua-duanya menyediakan maklumat dan rancangan kepada penonton sasaran, sekaligus dapat memacu penjenamaan TV AlHijrah serta memenuhi kehendak penonton dari golongan ini memahami ibadah haji.

“Usaha ini akan menjadikan TV AlHijrah terus kekal relevan (dalam dakwah),” ujar Namanzee.

Beliau juga berkata usaha yang disepakati bersama TikTok ini akan menjadi satu jaringan yang memacu kedua-duanya menyediakan maklumat dan rancangan kepada penonton sasaran, sekaligus dapat memacu penjenamaan TV AlHijrah serta memenuhi kehendak penonton dari golongan ini memahami ibadah haji.

Selain itu, petugas-petugas media pula seharusnya mengambil tindakan prokatif mempersiapkan diri dengan ilmu dalam pelbagai bidang yang mencernakan kualiti unggul ulul al-bab serta menambah kefahaman dan kemahiran dalam hal-hal seputar konteks pemikiran semasa (fikrah al-mu’asirah) supaya dakwah yang disampaikan bertepatan dengan penyelesaian masalah ummah.

Walaupun di Malaysia kita mempunyai banyak stesen televisyen yang sendat pelbagai rancangan untuk setiap lapisan masyarakat, hakikatnya kita masih ketandusan program yang bukan sahaja bercorak agama tetapi menggali pemikiran dan falsafah hidup Islam dan memberi saranan terhadap gaya hidup bersendikan akhlak dan ajaran agama.

Di sinilah TV AlHijrah mampu kekal relevan sebagai media dakwah yang unggul dan berdaya saing kerana pengaruh besar budaya menonton televisyen dan kandungannya dialih dari menepati budaya pop pada nilai-nilai Islam. Sebarang kerjasama untuk variasi pelantar dakwah pula sentiasa dijalinkan supaya usaha dakwah secara santai dan kontemporari dapat diteruskan kepada sasaran berbeza.

Ini termasuklah menggunakan semua sumber daya usaha umat Islam secara kolektif untuk memperkasakan iltizam dan meningkatkan tindakan kerja-kerja dakwah. Pengunaan teknologi terkini seperti penglibatan kecerdasan buatan (AI) seharusnya menjadi nilai tambah kepada keberkesanan penyebaran dakwah kepada khalayak yang lebih ramai.

Dengan kemahiran menilai sesuatu fenomena dan sebab akibat sesuatu ledakan teknologi kepada kemaslahatan ummah, stesen ini tidak mustahil menjadi pemandu kepada dan hub halal dan rujukan kandungan kepada media lain dalam menghadapi cabaran dan gugatan serangan revolusi industri ke-empat sekiranya tidak teruja berenang di lautan sama dengan televisyen lain.

Ini kerana fenomena kesedaran masyarakat yang mencari isi kandungan televisyen yang lain daripada sedia ada di mana majoritinya berbentuk program hiburan dan drama picisan semakin memuncak setelah kita ‘diinsafkan’ dugaan pandemik dan turun naik ekonomi dunia yang membimbangkan.

Tugas mengisi kelompangan dan memberi pilihan kepada masyarakat yang mencari lain daripada yang sedia ada di banyak stesen ini adalah satu cadangan jualan unik (USP) yang boleh memposisikan TV AlHijrah sebagai ‘mufti’ media sekiranya terdapat sebarang pertikaian hukum dan isu berkaitan penyiaran, sama ada secara lokal mahupun antarabangsa.

Keterujaan masyarakat terhadap penggunaan teknologi AI sebagai contoh, ia memerlukan kefahaman mendalam terhadap usul fikah dan ilmu berkaitan teknologi juga untuk merungkai sebarang permasalah berkaitannya.

Antara peranan dan langkah prokatif TV AlHijrah untuk memastikan stesen ini mahupun masyarakat tidak melanggar prinsip-prinsip agama dalam bereksperimen dengan teknologi ini ialah dengan mewujudkan garis panduan dan etika Islam dalam penggunaan teknologi kecerdasan buatan.

Namanzee ketika ditemubual selepas sesi perbincangan bersama TikTok Malaysia hari ini.

Televisyen Islam memainkan peranan penting dalam penyebaran dakwah Islam. Ia boleh menjadi medium yang berkesan untuk menyampaikan pesanan-pesanan agama kepada masyarakat umum. Selain itu, stesen televisyen Islam juga boleh membantu dalam memperkenalkan nilai-nilai Islam kepada orang ramai dan membantu dalam memperbaiki persepsi masyarakat terhadap agama Islam.

Justeru itu, bagi mewujudkan gerak kerja dakwah yang lebih berkesan pada era zaman media sosial ini dan pelbagai aplikasi ini, pendakwah perlu juga memahami perwatakan warga maya (sasaran dakwah) yang tentunya berbeza dengan masyarakat biasa.

Hal ini kerana ia berkaitan dengan salah satu sifat yang seharusnya telah ada dalam jiwa seseorang pendakwah yang ingin terlibat dalam dakwah, iaitu sifat sensitiviti dan kesanggupan untuk berubah sesuai zaman selagi ia tidak melangkaui batas ditetapkan agama.

Untuk memastikan kejayaan sesuatu dakwah, amatlah disarankan agar pendakwah peka terhadap masyarakat yang sentiasa berubah kepada kebaikan. Sekiranya dakwah tidak disesuaikan dengan suasana perubahan, maka dengan sendirinya aktiviti dakwah menjadi mundur.

TV AlHijrah sebagai pendakwah perlu memastikan petugas dakwah termasuklah petugas di stesen sendiri sentiasa kaya ilmu, jujur dan berdisiplin serta amanah dan cekap. Ini kerana masyarakat yang telah lama terdidik dengan gajet dan teknologi ini tidak cukup dididik hanya dengan aspek ritualistik sahaja, tetapi perlu digabung jalinkan dengan pembangunan sains dan teknologi juga.

Contoh teladan seperti Dr Yusuf al-Qaradawi yang dikatakan sebagai pendakwah yang optimis dengan kemampuan Islam berkembang dengan menggunakan media massa sebaik mungkin juga tidak mengetepikan peranan teknologi dalam dakwah di mana beliau dikatakan muncul hampir setiap minggu dalam program TV satelit al-Jazeera al-Syariah wa al-Hayah dan juga penaung laman web Islamonline.net yang berpangkalan di Qatar.

Justeru itu, TV AlHijrah yang bakal menyambut ulangtahun penubuhannya pada Julai nanti dijangka mampu terus menjadi saluran pilihan masyarakat yang dahagakan ilmu pengetahuan sekiranya ia tetap mengguna pakai tiga kaedah dalam menyebarkan dakwah iaitu al-hikmah, al-mau’izah al-hasanah (nasihat yang baik) dan al-mujadalah billati hiya ahsan (berbahas atau berbincang dengan cara yang lebih baik) dalam rancangan-rancangan siarannya sama ada melalui media televisyen mahupun aplikasi telefon pintarnya, AlHijrah Plus.

Kita mahu qudwah hasanah yang ditinggalkan kepada kita oleh Rasulullah s.a.w. dalam kerja dakwah Baginda diteruskan oleh stesen ini secara jayanya, dan pesan Baginda “Sampaikanlah dariku walau hanya satu ayat” itu dapat kita laksanakan sesuai dengan kemajuan zaman yang sedang kita depani.

Gambar: Namanzee berinteraksi dengan robot Namun semasa merasmikan Sidang Media Aidiladha Jemputan Haji di Kuala Lumpur hari ini.