Harga juadah bazar Ramadan melambung, kedua-dua pihak harus ada sifat timbang rasa

BANYAK rungutan warga maya mengenai harga sebahagian besar juadah di bazar Ramadan tahun ini. Peniaga memberi alasan mereka terpaksa menanggung kenaikan harga barangan mentah yang semakin melonjak dan terpaksa menetapkan harga baharu juadah.

Ada benarnya alasan peniaga, bukan sahaja pada bulan Ramadan, malah sebelumnya juga kita sudah menyaksikan kenaikan harga barangan dan bahan mentah yang cukup gusar apabila difikirkan. Adat berniaga mestilah mahu untung walaupun sedikit. Sebagai pembeli pula, hanya ada dua pilihan mendepani keadaan ini; sama ada terus membeli juadah di mana kadangkala bukan setakat mahal malah tidak sedap atau memasak sendiri untuk jimat belanja.

Dalam hal ini, pesanan dari Baginda Rasulullah SAW kepada para peniaga dan pembeli wajarlah diteliti. Baginda mendidik para peniaga muslim agar bersikap jujur dan amanah.

Menurut Dr Ahmad Sanusi Azmi, Timbalan Dekan Fakulti Pengajian Quran Sunnah USIM dalam saluran Telegramnya, Rasulullah SAW mengingatkan bahawa peniaga yang berjaya adalah peniaga yang bertakwa. Sabda Rasulullah yang bermaksud:

“Sesungguhnya para peniaga akan dibangkitkan pada hari kiamat nanti dalam keadaan “fujjar” (pelaku dosa) melainkan mereka yang bertakwa, melakukan kebaikan dan bersikap benar.” (HR al-Tirmizi)

Penjual dan pembeli harus ada sifat timbang rasa dalam berurus niaga bagi mengelakkan sebarang ketidak puasan hati. (Gambar hiasan: aimanabdullah.com)

Baginda menjawab kepada para sahabat yang tertanya-tanya kenapa para peniaga dibangkitkan dalam keadaan pelaku dosa bahawa ini kerana sebahagian daripada mereka ini apabila berkata-kata, mereka menipu.

Sebaliknya Rasulullah turut mengingatkan bahawa sekiranya mereka bersikap jujur, rezeki mereka akan dipermudahkan.

“Sifat amanah akan menjemput rezeki manakala sifat khianat (menipu) akan membawa kefakiran. (Musnad Firdaus al-Dailami)

Justeru itu pembeli seharusnya menyemak dahulu harga, berbincang dengan peniaga sebelum melakukan transaksi dan menegur mereka sekiranya tidak berpuas hati terhadap sesuatu urus niaga. Menularkan ketidakpuasan hati atas urusniaga yang sudah disepakati amatlah tidak wajar.

Panduan yang digariskan Rasulullah SAW ini terpakai kepada kedua-dua pihak kerana urusan jual beli sudah semestinya melibatkan bukan hanya sepihak. Sabda Baginda yang bermaksud:  “Mudah-mudahan Allah merahmati seorang lelaki yang ketika dia berniaga dia bertimbang-rasa dan ketika dia membeli (sebagai seorang pembeli), dia juga bertimbang-rasa. (HR al-Bukhari)

Mengenakan harga yang melampau tinggi kepada pembeli dengan harapan mengaut keuntungan berlebihan sangatlah tidak wajar, manakala mengharapkan harga murah dalam keadaan penjual tiada keuntungan langsung pun menunjukkan seseorang itu tiada sifat timbang rasa. Timbang rasa itu pula lahir dari hati yang ada belas ihsan sesama manusia.

Gambar hiasan: Kuantiti makanan yang kadangkala tidak sepadan dengan harga juga menjadi rungutan pembeli bazar Ramadan. (FB: Suraya Shaharudin)

(5)

Harga juadah bazar Ramadan melambung, kedua-dua pihak harus ada sifat timbang rasa

About The Author
-

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>