BERMULA pukul 6.55 petang ini, 30 Oktober, Diari Pentas Marhaban akan mula menemui penonton di kaca televisyen. Kerja-kerja belakang tabir, sesi uji bakat yang telah berlangsung dan suara hati para peserta serta mereka yang terlibat dalam rancangan realiti televisyen ini akan dipertontonkan kepada umum setiap hari.
Diterbitkan dengan matlamat memenuhi metodologi dakwah yang lebih kreatif, bersesuaian dengan konsep manusia berperadaban dan berjaya serta selari dengan perkembangan zaman, rancangan realiti televisyen Pentas Marhaban juga mesra penonton dan cuba memenuhi tuntutan syarak.
“Ini secara jelasnya akan mewujudkan masyarakat yang lebih seimbang dari aspek spiritual dan fizikal,” jelas Namanzee pada Sidang Media Pentas Marhaban di Kuala Lumpur Rabu lepas.
Pentas Marhaban adalah rancangan hiburan berlandaskan agama untuk mempromosi ikatan cinta sesama insan didasari cinta kepada Rasulullah SAW, menyeru penyatuan di mana alunan suara berseni disampaikan dalam berkumpulan.
Menjadi perintis seni warisan turun-temurun yang perlu dilestari agar terus mesra dengan jiwa anak muda ini, Pentas Marhaban dijangka mendapat sambutan anak muda dan dewasa. Hal ini kerana berdasarkan rekod yang dipegang stesen televisyen berkonsepkan Islam ini, dua rancangan realiti televisyen sebelum ini iaitu Hijrahkan Laguku dan Akademi Qurra’ menunjukkan sambutan penonton yang sangat memberangsangkan.
Pencapaian keseluruhan (screen view) sebanyak 1.7 juta penonton untuk rancangan Hijrahkan Laguku yang disiarkan pada tahun 2021 dan Akademi Qurra’ pada tahun 2022 dengan pencapaian keseluruhan (screen view) sebanyak 4.4 juta penonton mendorong TV AlHijrah untuk terus konsisten menghidangkan rancangan hiburan kekeluargaan Islamik.
Justeru itu, TV AlHijrah berkeyakinan bahawa Pentas Marhaban yang diterbitkan secara kreatif, bersifat malar segar, sesuai dengan selera dan penerimaan masyarakat mampu melahirkan masyarakat penonton yang tidak mudah melupakan budaya tradisi berjiwakan tauhid dan cintakan keindahan.
Pentas Marhaban dengan slogan Hiburan Tradisi Nurani akan disiarkan secara langsung selama lapan minggu dari Studio Penyiaran Digital TV AlHijrah, pada setiap Sabtu, jam 9 malam mulai 11 November akan datang ini.
Gambar: Sesi pemilihan peserta ujibakat Pentas Marhaban oleh panel juri pada 19 Oktober lalu di TV AlHijrah.