Hati seorang ibu, air mata mengalir deras sebagai jawapan

OLEH: PROFESOR ZAINUR RASHID ZAINUDDIN

BAYANGKAN ada seorang ibu tua yang tinggal keseorangan di sebuah rumah yang daif, kecil dan terletak jauh di pedalaman. Ya, keseorangan tanpa anak-anak dan cucu. Keseorangan menghabiskan sisa hari tua.

Ketika korban tempohari, petugas Yayasan Ikhlas berpeluang bertemu seorang ibu yang sudah berusia. Beliau tinggal di sebuah kampung yang dikelilingi oleh bukit bukau dengan jarak perjalanan sekitar tiga jam dari bandar.

Ibu ini hampir setiap hari duduk termenung di beranda rumah sambil menyaksikan anak-anak jiran bermain di hadapan rumahnya. Rumah yang diduduki oleh ibu tua ini kelihatan uzur, biar pun katanya beliau berumur 66 tahun. Kini, beliau tinggal seorang diri kerana suaminya telah lama meninggal dunia dan anaknya tinggal berjauhan.

Ibu ini pekerjaannya dahulu adalah menanam siguk (tembakau), setelah diuji dengan masalah kesihatan dan penyakit beliau langsung tidak dapat bekerja sepenuhnya. Hingga kini beliau tidak mempunyai sebarang pendapatan, melainkan dengan ihsan jiran dan ketua kampung yang prihatin.

Apabila ditanya berapa kerap anaknya balik rumah menemuinya, beliau tidak menjawab apa-apa melainkan kelihatan air matanya yang mengalir deras. Kami cuba menenangkannya, biar pun menghadapi sedikit kesukaran dalam berkomunikasi.

Petugas Yayasan Ikhlas sedang menziarahi ibu tunggal di rumahnya.

Sedikit sumbangan wang ringgit dan daging korban diserahkan untuk dinikmati beliau. Beliau menangis sekali lagi, tanpa kami memahami apakah maksud yang cuba disampaikan. Suasana menjadi hening seketika dan kami yang hadir menahan sebak.

Ibu ini tinggal keseorangan, ditambah pula dengan sakit dialami pastinya beliau sangat memerlukan bantuan. Walaupun begitu, ibu ini ternyata lebih banyak menyimpan perasaan di hati kecilnya.

Perjalanan untuk ke rumah ibu ini melalui kawasan pergunungan. Laluan ke kampung ini pula

terpaksa melalui jalan yang sangat mencabar, naik turun bukit dan belukar serta selekoh tajam yang hanya sesuai dilalui dengan menggunakan kenderaan 4WD.

Rombongan kami sedikit terkejut apabila melihat sebuah lori kecil terjatuh ke dalam gaung, namun pemandunya selamat.

Ayuh bersama kami mendanai kenderaan 4WD untuk kegunaan di pedalaman Sabah. Pastinya kenderaan ini sangat membantu kami menyalurkan bantuan untuk para asnaf di tempat-tempat yang jauh di pedalaman.

Untuk menyumbang sila layari https://sedekahsini.com/4×4/ atau terus menyumbang ke akaun Maybank – 5628 3463 6228.

Profesor Zainur Rashid Zainuddin adalah Pengerusi Yayasan Ikhlas

Gambar: Profesor Dr Zainur Rashid sedang menyantuni seorang ibu tunggal ketika menziarahi di pedalaman Sabah

(12)

Hati seorang ibu, air mata mengalir deras sebagai jawapan

About The Author
-

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>