Ibu bapa ‘ghaib’ setelah beliau dilahirkan, remaja dipelihara nenek kini hilang tempat bergantung, tinggal sendirian di bilik sewa

SEJAK kecil lagi perjalanan hidup remaja lelaki ini dipenuhi ranjau kepahitan. Ibu bapanya hilang tanpa khabar berita sejak beliau mengenal dunia. Bermula detik itu, beliau dipelihara nenek tercinta.

Zul, remaja yang masih berada di bangku persekolahan kini kehilangan pula neneknya, tempat beliau menumpang kasih sayang selama ini.

Semenjak pemergian almarhumah neneknya, Zul nekad keluar rumah, sebuah unit kediaman kos rendah yang didiami bersama neneknya selama ini memandangkan keluarga bapa saudaranya turut tinggal di rumah yang sama.

Zul sanggup menyewa sebuah bilik kecil di kawasan berdekatan kerana mahu memberikan tumpuan kepada pelajaran di peringkat tingkatan enam yang baru didudukinya sejak beberapa bulan lalu, selain tidak mahu menyusahkan bapa dan ibu saudaranya.

Zul sanggup menyewa sebuah bilik kecil di kawasan berdekatan rumah neneknya kerana mahu memberikan tumpuan kepada pelajaran di peringkat tingkatan enam yang baru didudukinya sejak beberapa bulan lalu, (Gambar FB Baitulmal MAIWP)

Remaja cekal ini bernasib baik apabila seorang guru di tempat beliau bersekolah telah berbesar hati menanggung kadar sewa biliknya sejak pada awal perpindahan beliau ke situ. Sungguhpun begitu, Zul tidak mahu berpeluk tubuh dengan mengharapkan bantuan dan ehsan orang lain semata-mata untuk beliau meneruskan hidupnya.

Beliau mahu berdikari dengan bekerja sambilan di sebuah kedai serbaneka 24 jam selepas selesai sesi persekolahan atau kelas berlangsung.

Kecekalan hidup Zul mendapat perhatian pihak Baitulmal MAIWP yang menyantuni remaja ini melalui bantuan yang sesuai sementara menunggu beliau tamat persekolahan kelak.

Dalam banyak-banyak berita tentang betapa manja dan bergantungnya remaja kini kepada keluarga dalam segenap segi, Zul tampil dengan cerita yang positif sisinya. Zul membuktikan kematangan itu bukan hanya bergantung pada usia, tetapi pengalaman hidup yang penuh warna dalam mencorak pemikiran seseorang itu.

Gambar: Zul yang kini tinggal sendirian di bilik sewa diziarahi pihak Baitulmal MAIWP. (FB Baitulmal MAIWP)

Ibu bapa ‘ghaib’ setelah beliau dilahirkan, remaja dipelihara nenek kini hilang tempat bergantung, tinggal sendirian di bilik sewa

| Semasa, Tumpang Bahu |