Ibu derita sakit buah pinggang kronik diuji anak hidap penyakit saraf, suami pula terpaksa berhenti kerja bantu urus anak

UJIAN ibu muda ini yang menanggung derita penyakit buah pinggang kronik tahap empat tambah berat apabila anaknya yang berusia 19 bulan disahkan menghidap penyakit saraf. Siti Noramziah Ramli, 24, disahkan menghidap penyakit batu karang ketika berusia tiga tahun dan terpaksa melakukan pembedahan pertama untuk membuang batu karang ketika usia sama.

Beliau terpaksa menjalani pembedahan kali kedua untuk membuang batu karang pada Disember 2019, namun ia terpaksa ditangguhkan dahulu memandangkan ketika itu sedang hamil. Akibat terpaksa menangguhkan pembedahan itu, keadaan Noramziah bertambah teruk sehingga menyebabkan beliau hilang selera dan muntah setiap kali makan dan minum.

Beliau kemudian dirujuk ke Hospital Raja Perempuan Zainab II Kota Bharu dan disahkan menghidap masalah buah pinggang tahap empat akibat penyakit batu karang yang dihidapi. Penyakit itu menyebabkan buah pinggang kanannya mengecut. Memandangkan buah pinggangnya gagal berfungsi untuk membuang toksik dan kumbahan, Noramziah yang ketika itu sedang hamil lima bulan terpaksa menjalani rawatan haemodalisis setiap hari sehingga  melahirkan zuriat pada Jun tahun lalu. 

Hati Noramziah luluh apabila mengetahui penyakit yang dihidapinya itu turut menjejaskan bayinya. Walaupun dilahirkan secara normal dengan berat sekitar 1.2 kilogram, Mohammad Wafie Muzakki Mohammad Khairul Azhar, mengalami masalah saraf pada bahagian otak sekaligus menjadi faktor yang menyebabkan perkembangannya lambat berbanding kanak-kanak normal. Malah, bayi malang ini juga kerap diserang sawan.

Mohammad Khairul Azhar membantu menukar plaster dileher Siti Noramziah yang ditebuk untuk menjalani rawatan haemodalisis.

Dalam tempoh sebulan, hampir tiga atau empat kali Mohammad Wafie diserang sawan sehingga menyebabkan beliau terpaksa makan lapan jenis ubat untuk penyakitnya itu. Disebabkan masalah dialaminya, Mohammad Wafie Muzakki hanya terlantar selain masih belum bertutur (speech delay) atau berjalan seperti kanak-kanak seusianya. Malah, bayi ini terpaksa bergantung sepenuhnya kepada susu formula selain makanan lembut disebabkan dia tidak mampu untuk menelan makanan lain. 

Masalah buah pinggang kronik yang dialami Noramziah menyebabkan suaminya, Mohammad Khairul Azhar Rosly, 21 yang sebelum ini berkhidmat dalam askar wataniah terpaksa mengambil keputusan untuk berhenti sejak setahun lalu, memandangkan Noramziah tidak mampu menguruskan anak tunggal mereka yang memerlukan perhatian hampir setiap masa seorang diri.

Mohammad Khairul Azhar kini mengambil upah sebagai ‘dropship’ perniagaan baju terpakai secara dalam talian dengan pendapatan tidak menentu bergantung kepada hasil jualan iaitu sekitar RM200 sebulan untuk menyara keluarganya. Namun, ia tidak mencukupi memandangkan mereka perlu menyediakan sekurang-kurangnya RM1,000 untuk membeli keperluan Mohammad Wafie termasuk lampin pakai buang, susu, selain kos ulang-alik ke hospital setiap kali menjalani rawatan hemodialisis dan menghadiri temujanji hospital. 

Namun sejak sebulan lalu, Mohammad Khairul Azhar mengambil inisiatif melakukan kerja tambahan dengan membantu abangnya Mohd Khairul Amin, 25 menjala ikan pada setiap Jumaat dengan pendapatan sekitar RM40 untuk menambah pendapatan keluarga biarpun terpaksa membawa anak mereka setiap kali keluar menjala di sekitar Salor dan Pasir Mas, kerana tidak mampu untuk membayar upah pengasuh.

Untuk menderma sila layari ybim.org.my/suaraasnaf dan tekan Asnaf 77 atau terus menyumbang ke akaun YBIM (566010633490 – Maybank).

Gambar: Mohammad Wafie Muzakki mengalami masalah saraf pada bahagian otak berikutan Siti Noramziah yang menghidap penyakit buah pinggang tahap empat perlu menjalani rawatan haemodalisis ketika hamil

(2)

Ibu derita sakit buah pinggang kronik diuji anak hidap penyakit saraf, suami pula terpaksa berhenti kerja bantu urus anak

About The Author
-

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>