MEREKA yang banyak membaca dan mentadabbur Al-Quran akan menemukan banyak ayat yang membicarakan seputar hari Kiamat seperti tanda-tanda peristiwa dekatnya hari tersebut. Perbicaraan ini kemudiannya akan menyangkut juga dengan kupasan-kupasan tentang dunia akhir zaman yang sedang kita hadapi kini.
Tanda-tanda hari Kiamat juga merupakan satu perbicaraan yang mendapat perhatian utama Rasulullah SAW, menunjukkan betapa pentingnya memahami perkara ini untuk memastikan iman kita terus terpelihara sehingga akhir hayat; apatah lagi kepercayaan kepada hari Kiamat merupakan rukun Iman kelima.
Dalam rancangan Riwayat Akhir Zaman Musim Kedua, Episod 1, Ustaz Jafri Abu Bakar Mahmoodi menyentuh tentang sebuah hadith daripada Saidina Umar a.s yang menyebut tentang kehadiran malaikat Jibril a.s yang bertanyakan Rasulullah tentang Islam, iman dan ihsan serta hari Kiamat dan tanda-tandanya.
Tanda-tanda Kiamat yang disebut dalam hadith tersebut ialah apabila terjadinya hamba melahirkan tuannya sendiri dan zaman di mana pengembala kambing yang bertelanjang kaki mula berlumba-lumba membina bangunan pencakar langit.
Dalam penyampaian Jibril a.s tersebut dapat dirumuskan bahawa hari Kiamat merupakan antara perkara besar agama yang wajib diimani dan digali ilmunya kerana persoalan ini dibariskan sekali dalam perihal Islam, Iman dan ihsan.
Salah faham dalam memahami peri pentingnya ilmu berkaitan hari Kiamat atau istilah kini ilmu eskatologi ini sebaliknya akan menyebabkan kerugian pada hidup seorang hamba kerana mungkin akan terjebak dalam kelalaian dan kealpaan dunia semata-mata.
Ini kerana bagi mereka yang benar-benar beriman dan mengkaji hadith ini secara lanjut akan menemui pesanan-pesanan yang amat penting dalam pengembaraan seorang hamba menuju Khaliknya serta mendapat panduan dan harapan untuk sentiasa berada di jalan yang benar.
Hakikatnya ilmu berkait akhir zaman ini perlu menjadi keutamaan setiap insan untuk lebih bersedia menghadapi hari muka yang tidak terjangkau oleh kelima-lima pancaindera kita, apatah lagi apabila zaman fitnah yang melanda menyukarkan kita untuk membezakan antara jalan yang haq dan batil.
Jika kita kini pun telah merasai bagaimana sukarnya untuk mengekalkan akidah dan keimanan, bayangkanlah suasana yang akan ditempuhi oleh zuriat kita nanti di mana zaman mereka akan lebih hampir dengan hari Kiamat.
Oleh itu, ilmu akhir zaman dan perbincangan seputarnya haruslah dimekarkan dalam keluarga untuk membekalkan mereka dengan didikan dan ilmu yang selengkapnya agar mereka dapat menghadapi cabaran dan dugaan yang sangat besar nanti, bukan hanya mewariskan mereka dengan segudang harta.
Riwayat Akhir Zaman dapat diulang tonton di aplikasi peranti pintar AlHijrah Plus dengan carian Riwayat Akhir Zaman. Sila muat turun aplikasi ini dari App Store atau Google Play Store secara percuma.
Gambar hiasan: Bangunan pencakar langit hasil janaan AI.