Imarahkan Pentas Marhaban mampu bendung hiburan hedonism, suburkan budaya hidup madani

SEMARAKNYA hiburan berbentuk hedonism di kaca televisyen mahupun di pentas-pentas terbuka mencetuskan gusar dalam jiwa-jiwa yang masih terisi dengan iman dan ketakwaan. Mengkritik rancangan atau persembahan sedemikian dalam arus masyarakat yang meminggirkan nilai rohani tanpa memberi alternatif bukanlah satu-satunya cara mencegah mungkar.

Mengimarahkan kebaikan dengan membawa rancangan hiburan Islamik yang membina rohani dan memupuk kecintaan kepada contoh ikutan yang benar, TV AlHijrah menampilkan Pentas Marhaban sebagai pilihan kepada masyarakat; sama ada muda mahupun tua.

Menarik minat dan menyatukan generasi ‘baby-boomers’ dengan ‘millenials’ mahupun Gen Z bukanlah perkara mudah jika tiada perantara yang sesuai lantaran jurang yang agak besar dalam perbezaan cara hidup dan minat kedua-dua golongan ini. Namun jika kena caranya, gabungan mereka akan berupaya mencipta kebaikan yang boleh dinikmati oleh kedua-dua golongan, malah memberi manfaat kepada orang lain juga.

Pentas Marhaban yang menghimpunkan anak muda seawal usia sembilan tahun hingga peserta dewasa berusia 80 tahun dan sedang bersiaran di TV AlHijrah sejak 18 November lalu bermatlamat menyemarakkan semula seni marhaban kepada kedua-dua golongan ini agar seni hiburan yang benar menjadi gaya hidup.

Baru sahaja selesai minggu keempat pada Sabtu lalu, rancangan yang mengajak masyarakat menghidupkan semula warisan seni Islam ini pada hakikatnya masih subur tunasnya di jiwa peminat hiburan bercitra Islam.

Tangkap layar komen-komen peminat Pentas Marhaban di laman Facebook TV AlHijrah.

Penyertaan kumpulan Intracksee dan kumpulan yang yang diwakili generasi muda bukan sahaja mampu menarik minat anak muda untuk mendalami dan mengenali dunia marhaban, berjanzi, rawi serta qasidah, tetapi juga mampu mencetuskan kesedaran akan perlunya mengimarahkan seni hiburan berlandaskan agama sebagai pilihan kepada hiburan melalaikan yang sedang banyak dimasyhurkan oleh pihak lain.

Dua generasi yang saling berentap secara sihat di atas Pentas Marhaban setiap Sabtu malam ini mendokong saranan agama untuk berlumba-lumba ke arah mengerjakan kebaikan; di mana setiap kumpulan bersaing sesama mereka untuk mempersembahkan kata-kata dan suara terbaik untuk junjungan mulia Nabi Muhammad SAW.

Kecintaan mereka terhadap Rasulullah terpamer dari usaha masing-masing dalam setiap minggu sehingga agak menyukarkan juri memilih yang terbaik antara mereka. Tak kira tua atau muda, masing-masing memperlihatkan kehebatan dengan cara tersendiri.

Sebagai contoh pada minggu kedua, para juri melalui waktu mencabar untuk memilih pemenang apabila kedua-dua kumpulan bersaing sengit dan masing-masing memenuhi kriteria pemilihan.

Kumpulan Intracksee yang diwakili golongan muda membuat inovasi dalam persembahan dan mempunyai ciri vocal yang menyentuh hati, manakala ‘otai’ marhaban dari kumpulan Al-Muhtadin pula  mempunyai kelebihan mengekalkan keaslian kumpulan marhaban dengan suara lunak dan padu serta ‘pitching’ yang tepat.

Pemilihan kumpulan Intracksee sebagai pemenang oleh juri-juri Pentas Marhaban mengundang ‘penjurian’ semula oleh warga maya di media sosial yang kelihatan mempunyai kriteria pemilihan sendiri dalam mempertahankan kumpulan yang diminati mereka.

Kumpulan yang akan berentap minggu depan.

‘Kegemparan sihat’ yang tercetus dari minggu tersebut memberi kelebihan kepada rancangan ini untuk terus ditonton dan dihayati, di mana jumlah penonton semakin melonjak naik dari minggu ke minggu.

Pada minggu pertama ia diperkenalkan di kaca televisyen, rancangan ini telah pun menunjukkan tanda positif di mana jumlah tontonan tertinggi pada bulan November adalah pada minggu rancangan ini ditayangkan.

Komen-komen positif peminat rancangan ini serta penonton setia TV AlHijrah yang menyokong usaha stesen televisyen ini mempelopori rancangan sebegini juga membuktikan masyarakat telah lama menunggu inisiatif menghidupkan seni warisan Islam yang mungkin luput oleh peredaran zaman yang semakin mementingkan nilai duniawi jika tidak dihidupkan kembali.

Antaranya komen dari pemilik akaun Facebook dengan nama Ain Annazirah yang meninggalkan kata-kata “Terbaik anak muda… marhaban ni biasanya orang berumur je, tapi bila ada pemuda yang mainkan, Insha Allah akan makin menarik minat orang ramai.”

Komen dari Paksu Eusoff yang berbunyi “… Ini bukan pertandingan tetapi ia membantu dalam menyampaikan dakwah kepada masyarakat Islam di Malaysia dan Indonesia dan seluruhnya” membuktikan penonton melihat rancangan ini sebagai satu medium dakwah yang berkesan.

Reaksi Zaki Ahmad pula menitip harapan dan terima kasih kepada stesen ini yang menjadi pelopor kepada rancangan yang menyemarakkan cinta kasih kepada Rasulullah ini.

“Terima kasih TV AlHijrah pelopor membawa marhaban dan berzanji. Semoga satu tarikan kepada generasi muda, satu warisan yang harus diketengahkan,” tulisnya.

Dengan kata lain, masyarakat sentiasa memberi kepercayaan kepada stesen berkonsepkan Islam ini untuk mempelopori rancangan patuh syariah dan sekaligus memupuk arus tontonan halal yang seharusnya dijadikan budaya hidup masyarakat madani.

Gambar: Tangkap layar komen-komen penonton Pentas Marhaban di media sosial.

(790)

Imarahkan Pentas Marhaban mampu bendung hiburan hedonism, suburkan budaya hidup madani

About The Author
-

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>