Islamkah Simon?

SEORANG bapa yang baik pasti mahukan yang terbaik untuk kehidupan anaknya; namun yang terbaik itu sangat relatif sifatnya. Kehidupan yang baik bagi seorang yang miskin mungkin kekayaan, manakala bagi yang sudah kaya mungkin kehidupan yang bahagia itulah yang membawa maksud kehidupan yang terbaik.

Simon berharap anak perempuannya berjodoh dengan lelaki yang berharta. Bagi Simon apabila berharta, si suami dapat membahagiakan anaknya. Itu pandangan klise sebahagian besar masyarakat, bukan hanya Simon seorang.

Maka apabila anak tunggalnya memilih pemuda Islam yang bukan hartawan untuk dijadikan suami, Simon berasa anaknya telah salah memilih jalan hidup. Segala kesalan hati Simon diluahkan sewaktu Alina menghantar anaknya Haikal untuk dijaga Simon kerana terpaksa bekerja.

Namun Simon sedikit berbeza dengan watak kebanyakan ibu bapa yang menghadapi situasi penikahan silang budaya dan agama. Simon tidak membantah Alina mengahwini Faizal kerana perbezaan agama, tetapi kerana baginya Faizal bukan kaya.

Kaya dan bahagia adalah sinonim bagi Simon. Mahukan yang terbaik untuk Alina, Simon sangat berharap Alina mencari pasangan yang boleh membantu hidup mereka, atau setidak-tidaknya menjadikan Alina senang.

Semua prasangka dan salah faham erti kebahagiaan yang melekat di minda ayahnya ditepis Alina dengan pengakuan tulus bahawa hidupnya beroleh kebahagiaan yang tidak boleh dibeli dengan wang ringgit setelah berkahwin dengan Faizal.

Simon berbual dengan anaknya Alina pada saat-saat akhir Haikal cucunya berada di rumahnya.

Jawapan Alina menjentik perasaan kasih sayang seorang ayah, sekaligus mengubah pemahaman kebahagiaan yang selama ini difahami Simon. Apalagi yang diharapkan seorang ayah selain kebahagiaan anaknya, apatah lagi Alina telah pun kehilangan suami tercinta.

Hidup bersendirian setelah Alina tidak pulang-pulang kerana takut kemarahan ayahnya menjadikan mereka membina persepsi sendiri. Simon menyangka suami Alina, sekaligus Islam itu sendiri tidak membenarkan mereka hidup mesra seperti dulu.

Sikap dan akhlak yang diwarnakan secara baik oleh Alina sewaktu menjelaskan saranan Faizal untuk pulang menyantuni Simon membongkar perdu salah faham Simon terhadap peranan suami Alina dalam hubungan mereka anak-beranak.

Drama ini sangat jauh dengan gambaran drama klise yang selalunya menggambarkan watak antagonis pasangan kahwin silang agama yang lain. Simon tidak mengecam agama Alina, manakala Faizal pula cukup faham erti tanggungjawab dan hubungan silaturrahim antara anak dan bapa serta masyarakat berlainan agama.

Peranan masyarakat yang harmoni yang menjadi persekitaran juga menyumbang peranan yang besar dalam mewujudkan rasa saling hormat-menghormati sesama manusia tanpa mengira perbezaan agama, ras dan budaya.

Unsur-unsur Keluarga Malaysia tanpa syarahan didaktik disampaikan secara sangat kreatif dalam drama ini. Ia mengalir tenang dengan gabungan kekuatan watak Alina yang lembut tutur bicara namun tegas dalam memelihara ajaran agamanya, watak Simon yang pada lahirnya kelihatan garang namun terpantul kasih sayang yang kuat dalam mimik mukanya serta muamalah masyarakat yang kelihatan asli tanpa dipaksa-paksa. Bancuhan watak-watak ini menjadikan penonton terasa bahagia melihat keharmonian hidup Keluarga Malaysia dalam drama ini.

Pada akhirnya, kebahagiaan, keindahan hidup harmoni dan sebuah pemahaman tentang kasih sayang berlandaskan agama membawa Simon ke suatu dunia yang seni, iaitu seni mengenal Tuhannya. Ia dinyatakan secara simbolik di dalam sebuah lukisan pada akhir drama. Islamkah Simon?

Gambar: Simon bersama Haikal berbual di sebuah padang bola.

(2)

Islamkah Simon?

About The Author
-

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>