Isu Tabung Haji dan beras jadi tumpuan penonton TV AlHijrah

SALAH satu amalan media arus perdana ialah menyampaikan berita yang sahih dan benar, tidak terlalu memihak kepada sesetengah pihak supaya nilai maklumat yang sampai kepada penonton adalah kebenaran dan keadilan.

TV AlHijrah sebagai penyampai maklumat dan ilmu kepada masyarakat juga bertanggungjawab memberi alternatif kandungan yang boleh membentuk masyarakat untuk memilih kandungan yang bermanfaat untuk diri, sama ada pengisian berbentuk ilmu atau maklumat terkini melalui berita.

Keseimbangan menyuntik ilmu dan menyediakan hiburan yang terdidik kepada penonton menjadi kekuatan utama stesen berkonsepkan Islam ini sehingga diterima baik oleh masyarakat – kerana itulah fungsi penubuhannya.

Dalam keasyikan manusia berinteraksi di alam maya yang yang dilimpahi berita yang diperoleh melalui pelbagai saluran seperti surat khabar, majalah dan lebih-lebih lagi media sosial, masyarakat boleh sahaja terdedah kepada berita palsu, isu-isu semasa yang bersifat picisan dan sensasi, gosip dan hujah yang membawa kepada adu domba serta pertelingkahan.

Justeru itu, kejayaan menarik minat masyarakat untuk kembali memfokuskan bola mata mereka kepada perkara baik dan bermanfaat sewajarnya memberi kobaran semangat kepada media elektronik untuk terus mengambil peranan melorongkan masyarakat kepada kandungan yang boleh memberi nilai tambah kepada kehidupan mereka.

Terus maju dengan kandungan bernilai Islamik dan berkisar berita yang dekat dengan masyarakat, TV AlHijrah melompat dua tangga ke atas dalam Kedudukan Saluran Melayu (Malay Channel Ranking) berbanding bulan Ogos dengan jumlah syer yang meningkat sebanyak 19 peratus.

Petikan klip video rancangan Berita AlHijrah 29 September 2023 yang mengupas isu Tabung Haji.

Penonton bertumpu ke saluran TV AlHijrah menjelang Maghrib untuk menonton rancangan bercorak keagamaan dan ibadah. Hal ini dibuktikan dengan ‘rating’ tertinggi pada slot pukul 7.00 hingga 7.30 malam terutamanya pada malam Khamis di mana program Tawajjuh disiarkan.

Selain Tawajuh, rancangan alunan zikir dan bacaan ayat Al-Quran juga banyak mengisi tempoh waktu tersebut di mana dalam budaya orang Islam, waktu menjelang Maghrib sangat sesuai untuk menyuburkan rohani sambil menunggu ketibaan solat Maghrib.

Manakala pada waktu awal pagi penonton sangat aktif menonton TV AlHijrah bagi mengikuti perkembangan yang berlaku dalam dan luar negara melalui kupasan tajuk-tajuk terkini dari rancangan Assalamualaikum.

Hal ini dibuktikan apabila rancangan bual bicara pagi lebih dua jam ini yang bermula pukul 7.30 pagi mencatatkan peningkatan ‘rating’ yang sangat ketara bagi September lalu.

Data bersumberkan Nielsen Media Research itu juga memaparkan Berita AlHijrah yang berdurasi setengah jam dan bersiaran pada pukul 8.00 malam semakin menunjukkan kemajuan apabila naik satu tangga ke kedudukan keempat dalam senarai Kedudukan Berita (News Ranking) televisyen negara.
Berita seputar Tabung Haji (TH) mendapat perhatian tinggi dalam kalangan penonton, sekaligus menyumbang kepada perubahan positif kedudukan. Peningkatan ini boleh dibaca sebagai minat yang tinggi penonton terhadap berita berkenaan kepentingan kepada masyarakat Islam.

Bukan saja untuk mengerjakan ibadah haji, berita tentang TH adalah maklumat yang sangat bermakna kepada mereka untuk mengikuti perkembangan tempat pelaburan dan simpanan wang umat Islam.

Selain itu, berita sebegini menambahkan keyakinan mereka untuk terus menyimpan di TH kerana konsep pelaburannya yang patuh syariah. TH bagi mereka bukan hanya sekadar isu ekonomi yang perlu diikuti, tetapi adalah masa depan umat Islam.

Selain berita TH, isu beras yang diangkat selama dua hari berturut-turut pada 19 dan 20 September juga berjaya menangkap perhatian penonton. Dekat di hati penonton, ia memberi sumbangan kedua tertinggi dalam menaikkan ‘rating’ berita TV AlHijrah.

Isu beras adalah isu kepenggunaan. Ia menjadi tumpuan kerana beras adalah bahan makanan asasi yang merentasi semua lapisan masyarakat. Statistik ini boleh dianalisa sebagai reaksi masyarakat yang mulai cakna terhadap perkara-perkara yang memberi kesan secara langsung kepada mereka. Buktinya kenaikan barangan lain yang bukan asasi tidak menarik perhatian seperti beras.

Di samping itu, sebagai penyalur kepada berita seputar dunia Islam juga, TV AlHijrah terus aktif menyorot keadaan yang berlaku di Palestin untuk rujukan masyarakat. Kempen #PalestinKembali yang bertujuan menyokong usaha pejuang Palestin kembali ke tanah air mereka dengan mulia dan bermaruah menjadi agenda utama bulan Oktober ini.

Terus maju dengan kandungan yang berupaya menyentuh jiwa penonton, bermutu dan bernuansa kerohanian serta kupasan berita yang dekat dengan hati masyarakat adalah kekuatan utama Stesen ini. Peningkatan yang dicapai pula adalah indikasi kepada keadaan masyarakat – mereka kini lebih cenderung untuk berubah kepada yang lebih baik.

Menilai pencapaian secara berkala ini adalah satu usaha menambah baik kualiti siaran; dengan kata lain sentiasa memaksimakan kesan dakwah kepada masyarakat. Ini kerana kejayaan sesebuah dakwah yang diwakili TV AlHijrah bermakna kejayaan kepada mengubah hala tuju manusia.

Gambar: Tangkap layar klip video Berita AlHijrah yang mengupas isu beras mendapat perhatian penonton.

(179)

Isu Tabung Haji dan beras jadi tumpuan penonton TV AlHijrah

About The Author
-

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>