July 27, 2024 12:38 PM
LOGO-HBIT

Juru kamera TV AlHijrah guna rantaian tali selamatkan mangsa lemas

MENYELAMATKAN mangsa lemas memerlukan pengorbanan yang didorong rasa kemanusiaan yang tinggi dan niat ikhlas. Ini kerana risiko yang besar kepada individu yang menyelamatkan mangsa, apatah lagi jika mangsa mahupun penyelamat berada dalam keadaan panik.

Sifat tenang dan panjang akal seorang juru kamera TV AlHijrah, Kamarul Syahar ketika menyelamatkan seorang mangsa lemas di pantai Bagan Lalang, Sabtu lepas wajar dipuji dan dijadikan panduan sekiranya sesuatu tragedi berlaku kepada kita.

Idea yang diperah dalam saat-saat cemas berhadapan mangsa yang sedang menggapai-gapai tangan di laut diguna pakai dalam kerja-kerja menyelamat sehingga tiada yang terkorban, sama ada mangsa atau penyelamat.

“Ketika kami sedang sibuk merakam saat matahari terbenam, terdengar jeritan seorang lelaki meminta tolong, mengatakan ada orang lemas. Saya kebetulan berada paling hampir dengan kawasan kejadian.

 “Saya fikir kalau saya terus terjun dan selamatkan mangsa, saya tak tahu keadaan mangsa macam mana. Mungkin dalam keadaan dia panik, keadaan saya pula bahaya,” jelas Syasya.

Kamarul Syahar (Syasya) sedang mengemas peralatan penggambaran di stor penyimpanan bangunan Pusat Penyiaran Digital TV AlHijrah.

Syasha bersama-sama rakan sekerja sedang menjalani penggambaran untuk sebuah rancangan yang bakal disiarkan di TV AlHIjrah di sekitar pantai Bagan Lalang ketika dua orang remaja tersebut terjatuh ke dalam muara laut akibat tergelincir dari kawasan bertambak yang dipenuhi guni yang licin di situ.

“Saya tengok mangsa sedang terkapai-kapai. Krew lain berada pada jarak lebih kurang 100 meter dari tempat kejadian, ada juga sekumpulan rombongan pengantin di kawasan itu tetapi agak jauh juga.

“Saya buat rantai dan minta kawan mangsa lemas yang sudah basah turun ke dalam air, dan saya pegang rantai yang memegang dia betul-betul. Saya panggil seorang lagi untuk pegang saya yang masih kering supaya tidak turut tergelincir. Ini memudahkan rakan mangsa menarik mangsa,” cerita Kamarul yang lebih dikenali sebagai Syasya dalam kalangan rakan sekerja.

Menurut Syasya, pada mulanya kedua-dua remaja tersebut tergelincir, tapi seorang darinya dapat menyelamatkan diri. Dialah yang menjerit minta pertolongan untuk menyelamatkan rakannya.

“Pengantin lelaki yang ada di situ pun mahu terjun menyelamatkan mangsa tetapi dilarang orang ramai,” kata Syasya.

Bagi Syasya untuk menyelamatkan mangsa, seseorang itu perlulah cepat bertindak dan tidak panik supaya usaha murni tidak berakhir dengan tragedi lain pula.

Ujaran beliau banyak benarnya. Dalam usaha menyelamat, banyak juga kes penyelamat terkorban dalam tugas.

Tragedi yang pernah berlaku awal Oktober 2018 di mana enam anggota bomba mati lemas dibawa arus deras dalam operasi mencari dan menyelamat mangsa lemas di sebuah lombong di Taman Putra Perdana, Puchong menjadi rujukan untuk menambah baik kerja-kerja menyelamat.

Begitu juga kejadian anggota bomba, Mohd Diya yang lemas kerana tersangkut dalam aliran deras air banjir di Kampung Sungai Putat, Melaka pada 20 Oktober 2021 juga membuktikan kerja-kerja menyelamat sangat berisiko. Sedikit kesilapan sahaja mungkin mengorbankan mangsa, juga mereka yang menyelamat.

Gambar: Syasya yang bertugas sebagai juru kamera di TV AlHijrah sedang menyusun peralatan penggambaran.