October 7, 2024 11:27 PM
LOGO-HBIT

Kaabah diruntuhkan lelaki berbetis kecil, berkepala botak sebelum tiba hari Kiamat

PADA zaman pemerintahan Nabi Isa a.s., umat manusia berada dalam keadaan tenang dan damai. Baginda sempat melakukan ibadah haji dan apabila wafat dimakamkan bersebelahan makam Rasulullah SAW di Madinah.

Namun selepas kewafatan Baginda, umat kembali berada dalam keadaan kacau-bilau. Allah menyelamatkan orang mukmin dengan mendatangkan angin lembut selembut sutera yang mematikan mereka keseluruhannya.     

Terdapat dua riwayat tentang arah angin yang datang itu. Riwayat pertama menyebut ia datang dari arah Yaman manakala riwayat kedua menyatakan ia datang dari arah Syam. Walaupun manusia cuba lari darinya, angin ini tetap dapat menyentuh mereka.

“Diceritakan ia datang dalam keadaan yang begitu lembut, Nabi menggambarkan selembut sutera dan masuk ke celah ketiak orang mukmin dan mematikan mereka. Lalu yang tinggal hanyalah orang kafir,” jelas Ustaz Jafri Abubakar Mahmoodi dalam rancangan Riwayat Akhir Zaman Musim 1 Episod 11 yang disiarkan di aplikasi AlHijrah Plus.

Mereka yang kafir itu sering berkelahi dan berbunuh-bunuhan antara satu sama lain, hidup dalam permusuhan dan bergelumang dalam maksiat. Rasulullah SAW menggambarkan situasi pada waktu itu di mana lelaki meniduri wanita-wanita seperti keldai di jalanan, memburu harta untuk kemewahan hidup. Mereka inilah yang akan menyaksikan hari berlakunya kiamat.

Ustaz Jafri Abubakar Mahmoodi mengendalikan rancangan Riwayat Akhir Zaman yang disiarkan di aplikasi AlHijrah Plus.

Kaabah akan dirobohkan oleh orang yang berbetis kecil dari Habsyah, dia merampas perhiasan dan melepaskan kiswahnya. Lelaki yang dipanggil Zu Suwaiqatain (yang mempunyai dua betis kecil) ini digambarkan bertubuh kecil, botak, tulang persendiannya bengkok; menghayun kapaknya ke dinding Kaabah.

Diceritakan oleh Ka’ab bin Ahbar r.a, apabila munculnya lelaki ini dengan tujuan meruntuhkan Kaabah, Nabi Isa a.s menghantar 700 atau 800 bala tentera untuk menghalang lelaki ini. Pada ketika inilah datangnya angin sejuk yang mematikan kesemua orang mukmin itu.

Ini membuktikan bahawa Kaabah hanya boleh diruntuhkan apabila tiada lagi orang mukmin di atas muka bumi dan tiada lagi orang melakukan ibadah haji, mahupun menyebut kalimah tauhid. Allah tidak mengizinkan orang beriman menyaksikan saat yang menyedihkan itu berlaku.

Begitu juga mukmin akan diselamatkan Allah dari menempuh huru-hara hari Kiamat di mana berlakunya keadaan matahari terpadam, langit terbelah, bumi bergoncangan sehingga perempuan melahirkan anak tanpa sedar, anak-anak kecil ditumbuhi uban kerana ketakutan dengan dahsyatnya Kiamat.

Gambar: Ilustrasi lelaki berbetis kecil dari Habsyah yang akan meruntuhkan Kaabah pada akhir zaman nanti.