October 7, 2024 11:30 PM
LOGO-HBIT

Keberanian Nabi Khidir berdepan Dajjal buka mata umat kenali Dajjal sebenar

KISAH Nabi Khidir a.s yang namanya disebut dalam Surah Al-Kahfi sentiasa menjadi perbincangan dalam kalangan alim ulamak. Tarikh lahirnya tidak jelas dan persoalan sama ada Baginda masih hidup atau telah wafat juga menjadi tanda tanya.

Dalam Surah Al-Kahfi, kisahnya diceritakan ketika peristiwa Nabi Musa a.s dan Yusha’ bin Nun berjumpa dengan Nabi Khidir untuk menuntut ilmu. Baginda merupakan guru kepada Nabi Musa dan merupakan seorang yang cukup dikagumi oleh Nabi Musa atas kelebihan yang Allah kurniakan serta kehebatan ilmu makrifatnya.

Ustaz Jafri Abu Bakar Mahmoodi dalam rancangan Riwayat Akhir Zaman Musim 1 Episod 6 menceritakan, kisah pencarian Nabi Khidir oleh Nabi Musa bermula ketika mana Nabi Musa sedang berbicara dengan kaumnya dengan mengatakan bahawa akulah yang paling tinggi ilmunya. Lalu Allah mewahyukan Nabi Musa bahawa terdapat seorang hamba Allah yang pengetahuannya lagi tinggi dari Nabi Musa iaitu Nabi Khidir.

Justeru itu Nabi Musa mengembara bersama seorang rakannya sebagai peneman. Melalui wahyu yang disampaikan oleh Allah SWT, Nabi Musa diminta untuk pergi ke tempat pertemuan dua laut dan disitulah dia akan dapat berjumpa dengan nabi Khidir a.s.

Allah berfirman yang bermaksud; “Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Nabi Musa berkata kepada temannya: “Aku tidak akan berhenti berjalan sehingga aku sampai di tempat pertemuan dua laut itu atau aku berjalan terus bertahun-tahun.”(Surah Al-Kahfi-60)

Nabi Musa diberi panduan oleh Allah untuk membawa seekor ikan yang telah mati sepanjang perjalanan ke tempat yang dimaksudkan. Apabila sampai ke tempat yang difikirkan Nabi Musa sebagaimana dimaksudkan, Nabi Musa meminta penemannya mengeluarkan ikan tersebut. Yusha’ memaklumkan ikan tersebut telah pun hidup dan melompat ke dalam air di suatu tempat sebelumnya.

Mendengar penjelasan temannya, Nabi Musa berpatah balik ke tempat ikan yang terjatuh tersebut dan akhirnya bertemu dengan seorang lelaki yang sedang tidur terbaring dengan kain ditutup ke mukanya.

Nabi Musa meminta izin untuk menuntut ilmu dengan lelaki yang dikatakan tinggi ilmunya itu. Nabi Khidir meletakkan syarat jika ingin belajar dengannya. Nabi Musa diminta bersabar dengan tindakan Nabi Khidir dan dilarang bertanya ketika melihat keanehan-keanehan yang akan terjadi di sepanjang perjalanan. Nabi Musa mempersetujui akan mempersetujui syarat tersebut.

Rancangan Riwayat Akhir Zaman boleh ditonton di aplikasi AlHijrah Plus.

Ujian pertama yang dilalui Nabi Musa sewaktu mengikuti perjalanan Nabi Khidir ialah ketika Nabi Khidir membocorkan sebuah perahu yang telah mereka tumpangi dan hal itu telah mencetuskan persoalan dari Nabi Musa.

Nabi Khidir telah menyatakan bahawa Nabi Musa tidak akan sabar di dalam perjalanan mereka, tetapi Nabi Musa memohon maaf dan mereka kembali meneruskan perjalanan.

Seterusnya Nabi Musa hilang kesabaran terhadap tindakan Nabi Khidir apabila Baginda membunuh seorang anak muda yang ditemui. Begitu juga apabila Nabi Khidir tidak meminta upah untuk kerja-kerjanya membaiki tembok yang hampir roboh dalam perjalanan mereka ke satu bandar di mana tiada seorang pun penduduknya menjamu mereka.

Kerana sikap tidak sabar Nabi Musa itu akhirnya Nabi Khidir berkata kepada Nabi Musa yang bermaksud; “Inilah masanya perpisahan antaraku denganmu, aku akan terangkan kepadamu maksud (kejadian-kejadian yang dimusykilkan) yang engkau tidak dapat bersabar mengenainya. (Surah Al-Kahfi: 78)

Nabi Khidir kemudiannya menjelaskan tujuannya terhadap persoalan yang ditimbulkan oleh Nabi Musa setiap satunya. Tindakan sengaja melubangi perahu yang telah menumpangkan mereka itu disebabkan terdapat seorang raja di seberang yang memerintah agar setiap perahu yang elok dan cantik akan dirampas yang mana akan menyebabkan penduduk kampung akan kehilangan perahu yang merupakan sumber utama pengangkutan untuk mencari rezeki.

Seterusnya tindakan membunuh seorang pemuda disebabkan anak tersebut merupakan seorang anak yang nakal yang kelak dewasa nanti akan menyakiti orang tuanya. Lalu dibunuhnya atas perintah Allah yang mana akan terganti kelak zuriat yang lebih baik kepada pasangan tersebut.

Manakala tindakan membangunkan tembok yang hampir roboh itu hal demikian kerana terdapat di bawahnya harta anak yatim yang harus dijaga dengan baik. Demikianlah Nabi Khidir menjelaskan setiap satu persoalan Nabi Musa itu.

“Begitulah ilmu istimewa yang Allah kurniakan kepada nabi Khidir, yang disebut dalam Surah Al-Kahfi sebagai ilmu laduni, ilmu yang Allah kurniakan,” jelas Ustaz Jafri.

Ulamak berbahas dalam menentukan siapakah Nabi Khidir, antaranya nama sebenar Nabi Khidir. Nama yang telah disepakati oleh kebanyakan ulamak ialah Balya bin Mulkan, dan diberi gelaran Khidir itu dengan maksud hijau.

Ini bersempena kemuliaannya di mana apabila tempat yang dikunjungi Nabi Khidir buminya akan subur dan menghijau.

Selain nama, status Nabi Khidir sama ada telah wafat atau masih hidup juga dibahaskan. Pendapat majoriti ulamak mengatakan Nabi Khidir masih hidup, antaranya Imam Nawawi. Terdapat cerita-cerita tentang perbincangan dan pertemuan antara ahli sufi dan Nabi Khidir dibincangkan sebagai bukti Baginda masih hidup.

“Imam As-Tha’labi menyebutkan bahawa Nabi Khidir a.s akan terus hidup sehingga ke akhir zaman pada ketika Al-Quran sudah diangkat.

“Dan antara perkara yang disebut ulamak Nabi Khidir mungkin akan bertemu dengan Dajjal,” kata Ustaz Jafri.

Dalam Kitab An-Nihayah Fil Fitan Wal Malahim, Imam Ibnu Kathir memetik kisah ini, pada suatu hari Rasulullah SAW bercerita kepada sahabat apabila munculnya sahabat. Dajjal akan pergi ke semua tempat kecuali dua tempat iaitu Makkah dan Madinah. Apabila sampai di Madinah keluar seorang lelaki soleh dan berhadapan Dajjal dan berkata kepada Dajjal bahawa “Aku bersaksi engkaulah Dajjal yang sebenar-benarnya.”

Dajjal membunuh lelaki itu dan menghidupkannya kembali. Apabila hidup semula lelaki itu berkata, “Bertambahlah iman aku bahawa engkaulah Dajjal yang sebenar-benarnya.”

Ulamak mengatakan lelaki dalam peristiwa itu nanti ialah Nabi Khidir.

Pengajaran dari kisah Nabi Khidir yang dapat disaring ialah bagaimana Allah meninggikan darjat orang berilmu. Dalam usaha menuntut ilmu perlulah menjaga adabnya kerana orang yang beradab dalam menuntut ilmu akan diangkat darjatnya di sisi Allah SWT. Nabi Musa meminta izin terlebih dahulu dengan Nabi Khidir sebelum menuntut ilmu.

Selain itu kerja menuntut ilmu perlulah dengan sungguh-sungguh. Ini dipaparkan apabila Nabi Musa begitu bersungguh-bersungguh mencari Nabi Khidir setelah diwahyukan Allah semata-mata untuk menimba ilmu.

Kita juga hendaklah mempunyai sikap menghormati setiap keputusan serta berlapang dada dengan pandangan orang lain sebagaimana Nabi Musa akhirnya menghormati keputusan Nabi Khidir untuk menamatkan perjalanan antara mereka berdua kerana Nabi Musa telah beberapa kali melanggar syarat yang telah dipersetujuinya.

Akhir sekali, panduan yang dapat diambil ialah kita hendaklah bersikap sabar dengan guru atau orang yang lebih tua ketika menuntut ilmu kerana setiap perkara yang terjadi pasti ada hikmah di sebaliknya yang tidak tercapai dek akal kita pada waktu itu.

Gambar hiasan: Ilustrasi Dajjal mengikut sifat yang dinyatakan para ulamak.