Kecekapan MAIWP majukan umat Islam

.

OLEH: ROKIAH ISMAIL (rokiah@tvalhijrah.com)

Menoleh kegemilangan setengah abad penubuhan MAIWP

ILMU adalah salah satu daripada perkara teras yang boleh mengubah sosioekonomi dan pendidikan sesuatu masyarakat. Ilmu juga menjadi pembuka lorong rezeki untuk menyertai sektor pekerjaan sekaligus mengangkat ekonomi umat Islam.

Namun begitu, tidak semua orang bernasib baik kerana mempunyai kemampuan dan berpeluang untuk menuntut ilmu. Ini kerana lumrah kehidupan, ada yang kaya dan ramai juga yang miskin dan kurang berkemampuan.

Bagaimanapun Islam tidak meminggirkan golongan berkenaan dengan adanya kutipan zakat daripada golongan yang lebih berkemampuan kepada yang memerlukan. Selain menyalurkan terus sebagai bantuan kewangan, zakat juga digunakan untuk membantu golongan berkenaan dalam bidang pendidikan.

Peranan dalam memastikan ilmu sampai kepada masyarakat melalui sistem pendidikan ini antara usaha yang menjadi keutamaan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).  Organisasi ini tidak sahaja menyalurkan bantuan berbentuk kewangan, malah mengubah keadaan sosioekonomi umat Islam dengan memperkayakan mereka dengan ilmu agama dan juga teknikal.

Sepanjang setengah abad penubuhannya, MAIWP telah menjalankan peranannya dengan cemerlang dalam pembangunan Islam, ekonomi dan sosial khususnya di Wilayah Persekutuan – Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

Ini adalah satu sumbangan besar yang perlu dilihat sebagai kejayaan mengubah kehidupan golongan kurang kemampuan untuk sama-sama bersaing di padang yang terbuka. Sekalipun kepimpinan MAIWP bertukar ganti, akan tetapi matlamat yang asal dilaksanakan secara berterusan.

MAIWP memahami definisi umat yang berjaya dan perkara itu diterjemahkan dalam perancangan dan seterusnya perlaksanaan beberapa projek pendidikan dan sosial yang sudah pun memperlihatkan hasilnya. Ini membuktikan MAIWP bukan sahaja pusat kebajikan, tetapi juga mendokong gagasan menyediakan dan melahirkan generasi Islam yang berilmu.

MAIWP ditubuhkan pada 1 Februari 1974 serentak dengan penubuhan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.  Kuala Lumpur yang sebelumnya adalah ibu negara yang berada dalam negeri Selangor bertukar statusnya menjadi sebuah wilayah yang ditadbir oleh kerajaan Persekutuan.

Penubuhan MAIWP bertujuan menjaga hal ehwal agama Islam di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Kemudiannya tanggungjawab MAIWP bertambah besar apabila Labuan menjadi Wilayah Persekutuan pada 16 April 1984 seterusnya Putrajaya pada 1 Februari 2001.

MAIWP mula menceburi bidang kesihatan pada tahun 1984 dengan berdirinya Pusat Rawatan Islam di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur. Bermula dengan taraf sebagai pusat rawatan pesakit luar, ia berkembang maju kemudiannya sebagai sebuah hospital pakar.

Hospital Pusrawi milik MAIWP menjadi pilihan pelbagai kaum untuk mendapatkan rawatan kesihatan.

Kini MAIWP mempunyai sebuah hospital pakar, Hospital Pusrawi di Jalan Tun Razak Kuala Lumpur yang beroperasi sejak 16 Januari 2006. Hospital milik penuh anak syarikat MAIWP itu menawarkan perkhidmatan pakar selain mempunyai kemudahan 164 katil dan pusat homeodialisis.

Sememangnya bukan suatu yang mudah untuk menjalankan operasi sebuah hospital yang menawarkan rawatan pakar setanding dengan hospital lain yang sedia ada. Bagaimanapun dengan pencapaian cemerlang Pusat Rawatan Islam sebelum itu, MAIWP membuktikan Hospital Pusrawi bukan sahaja standing, malah lebih baik serta menekankan aspek patuh syariah.

Selain Hospital Pusrawi, MAIWP juga membuka Pusat Bersalin Berisiko Rendah di Presint 8 Putrajaya dengan kerjasama Kementerian Kesihatan dan Jabatan Perdana Menteri.

Cadangan mewujudkan Pusat Bersalin Berisiko Rendah itu tercetus daripada ketidakmampuan Hospital Putrajaya untuk menampung kes kelahiran yang semakin meningkat dan berlaku kesesakan di wad bersalin.

MAIWP menyambut cadangan Hospital Putrajaya untuk membuka sebuah pusat yang menyediakan kemudahan bersalin khusus kepada ibu-ibu yang berisiko rendah melahirkan anak. Dengan pembahagian ini, Hospital Putrajaya hanya memfokuskan kepada ibu mengandung yang berisiko tinggi dan sekaligus mengatasi masalah kesesakan di wad bersalin

Untuk tujuan itu MAIWP menyalurkan peruntukan zakat sebanyak RM3.26 juta bagi mengubahsuai pangsapuri untuk dijadikan pusat bersalin, selain menyediakan kemudahan yang selesa serta dilengkapi peralatan yang moden.

Kepimpinan MAIWP juga memperlihatkan perancangan jangka panjang dalam membentuk generasi muda Islam yang berilmu dalam bidang agama dan juga kemahiran hidup, khususnya dalam bidang sains dan teknologi.

Daripada perancangan yang tepat itu berdirilah Institut Kemahiran Baitulmal (IKB) pada 1991, Sekolah Menengah Agama MAIWP (SMA MAIWP) pada 2007 dan Sekolah Menengah Integrasi Sains Tahfiz (SMISTA).

Penubuhan IKB adalah salah satu daripada usaha MAIWP untuk membasmi kemiskinan dengan menyediakan generasi muda dengan ilmu kemahiran dalam bidang teknikal. Tujuannya supaya golongan sasaran itu dapat berdikari bersandarkan ilmu dan kemahiran yang diperoleh daripada institut berkenaan.

Majlis Wilayah Persekutuan Berselawat sempena Jubli Emas 50 tahun MAIWP & JAWI bertempat
di Masjid Wilayah Persekutuan.

Kemahiran adalah kata kunci dalam perlumbaan di sektor pekerjaan khusus yang menjurus bidang teknikal.  Ketiadaan kemahiran menjadi halangan utama generasi muda untuk menceburi bidang pekerjaan yang berkenaan. Maka, peluang yang diberikan oleh IKB menjadi pembuka jalan kepada generasi muda ke dalam dunia pekerjaan.

Tambahan pula kursus kemahiran yang diadakan di IKB mendapat pengiktirafan daripada Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB).

Sementara itu Sekolah Menengah Agama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (SMA MAIWP) mula beroperasi secara sementara pada 2007 di bangunan Sekolah Rendah Agama (SRA) Othmaniah, Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur.

Matlamat penubuhan sekolah itu adalah bagi membuka peluang kepada para pelajar lulusan Ujian Penilaian Sekolah Rendah Agama (UPSRA) melanjutkan pelajaran di peringkat menengah sebagai kesinambungan pendidikan agama di sekolah rendah agama di Wilayah Persekutuan.

Pada Jun 2013, SMA MAIWP telah berpindah ke premis tetap di Bandar Sri Permaisuri, Cheras, Kuala Lumpur dan bertaraf sekolah bantuan penuh kerajaan

Sekolah Menengah Integrasi Sains Tahfiz (SMISTA) pula mula beroperasi pada 3 Januari 2011 di Bandar Tun Razak, Cheras, dengan pengambilan pertama 55 orang pelajar. SMISTA merupakan sekolah agama integrasi sains dan tahfiz pertama di Wilayah Persekutuan, khususnya di Kuala Lumpur.

SMISTA yang mempunyai 296 orang pelajar dan 30 orang guru serta tujuh pekerja itu mendokong matlamat membentuk generasi Al-Quran serta membangunkan potensi diri secara menyeluruh selari dengan prinsip Al-Quran dan Sunnah.

MAIWP telah membuktikan iltizam yang tinggi untuk melahirkan generasi yang berilmu dan berakhlak. Daripada hasil yang diperlihatkan itu jelaslah bahawa pentingnya sistem ekonomi Islam digerakkan secara cekap untuk kemajuan umat Islam. MAIWP membuktikannya.

Gambar: Majlis Wilayah Persekutuan Berselawat sempena Jubli Emas 50 tahun MAIWP & JAWI bertempat
di Masjid Wilayah Persekutuan. (Sumber gambar: FB MAIWP)

(121)

Kecekapan MAIWP majukan umat Islam

About The Author
-

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>