Kupasan matlamat tidak menghalalkan cara dalam drama Pelita Buluh

OLEH: KHAIRUNISA ZUL KURAINI

“PELITA BULUH” merupakan sebuah telefilem menyayat hati diterajui barisan pelakon hebat seperti Syafie Naswip, Sharol Nizam, Aida Aris, Azhan Rani dan ramai lagi. Drama terbitan dengan kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ini mengisahkan kehidupan Iqbal, seorang anak yang berdendam dengan bapanya iaitu Borhan yang terlibat dalam kegiatan rasuah sehingga dipenjarakan.

Ia mengetengahkan pelbagai watak dan perwatakan yang menarik. Secara umumnya, telefilem ini berlatarbelakangkan elemen keluarga di mana Syafie Naswip, seorang pelakon yang terlibat dalam dunia lakonan sejak kecil dan pernah memenangi serta tercalon dalam pelbagai anugerah memegang watak anak kepada Borhan dan Zurain lakonan Sharol Nizam dan Aida Aris.

Lakonan yang meyakinkan daripada pelakon-pelakon yang terlibat dalam drama ini bukan sahaja mampu memberi kefahaman kepada penonton mengenai jalan cerita malah membantu mereka menghayatinya dengan lebih baik.

Hal ini demikian kerana lakonan yang dipersembahkan seolah-olah bersifat realistik dan setiap watak yang dipaparkan juga dapat menghidupkan jalan cerita serta memberi kesan emosi kepada penonton. Plot cerita yang digunakan juga adalah berbeza daripada kebanyakan drama lain di mana unsur rasuah dijadikan sebagai inti utama dalam cerita tersebut.

Permulaan drama ini telah memaparkan babak antara Iqbal dan Zara yang menyentuh isu berkaitan pemindahan organ yang pernah dilakukan serta sebab Iqbal tidak pulang beraya selama dua tahun. Hal tersebut berjaya menimbulkan tanda tanya serta rasa teruja kepada penonton tentang jalan cerita tersebut. Penggunaan babak imbas kembali atau “flashback” juga mampu merungkaikan segala persoalan dengan baik dan menarik.

Watak bapa dalam Pelita Buluh terlibat rasuah untuk mengubat anaknya.

Selari dengan visi AlHijrah iaitu menjadi peneraju penyampaian nilai-nilai Islam, drama ini bukan sahaja mampu menjadi hiburan malah memberi mesej yang baik kepada para penonton. Antara nilai yang terdapat dalam drama ini ialah amalan memaafkan orang lain sepertimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Iman yang paling utama adalah sabar dan memaafkan”(Hadis riwayat Bukhari).

Hal ini selari dengan tindakan Zurain, ibu kepada Iqbal yang sering menasihati anaknya itu untuk memaafkan bapanya. Selain nilai hormat kepada ibu bapa, telefilem ini juga memaparkan bagaimana sesuatu matlamat itu tidak mampu menghalalkan cara. Setiap manusia mempunyai impian, namun langkah untuk mengecapinya perlulah sejajar dengan ajaran Islam.

Kesimpulannya, telefilem ini bukan sahaja dapat menghiburkan penonton malah menjadi medan dakwah kepada masyarakat. Isu rasuah, derhaka terhadap ibu bapa dan sebagainya bukanlah suatu isu baharu bahkan menjadi polemik yang kerap kali dipaparkan di pelbagai media.

Amanah merupakan sesuatu yang perlu dijaga dan keluarga adalah pemangkin kepada kesejahteraan anak-anak seperti dialog yang dilontarkan oleh Zara iaitu “Sedangkan awak lari ke mana pun, awak tetap bawa bayang-bayang sendiri.” Begitu jugalah diri manusia yang tidak lari dari tanggungjawab dan nilai-nilai yang perlu dipelihara.

Gambar: Klip dari salah satu adegan dalam telefilem Pelita Buluh yang disiarkan di Alhijrah Plus.

* Penulis adalah Pemenang Hadiah Ketiga Pertandingan Menulis Review Rancangan Alhijrah Plus.

(33)

Kupasan matlamat tidak menghalalkan cara dalam drama Pelita Buluh

About The Author
-

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>