Kurang pendedahan tentang disleksia, murid dilabel lembam dan disisih

OLEH: NUR SYUKRINA TAJUDDIN

PADA era teknologi kini, penulisan poskad dianggap sebagai suatu aktiviti yang lapuk dan janggal. Aktiviti yang semakin dilupakan ini mempunyai nilai sentimental yang tinggi dan menyimpan pelbagai kenangan serta memori.

Tajuk ‘Poskad dari Switzerland’ memberikan gambaran awal kepada penonton bahawa telefilem ini berkisahkan tentang seseorang yang berada di Switzerland mengirimkan poskad kepada yang dirinduinya. Tanpa disangka, pengirim kepada poskad tersebut merupakan seorang yang menghidapi masalah disleksia.

Secara ringkasnya, kisah ini menceritakan tentang Inayah, seorang kanak-kanak perempuan yang mengalami masalah disleksia. Kanak-kanak disleksia kebiasaannya menghadapi kesukaran untuk membaca, menulis, memahami dan mengeja.

Pada mulanya, tiada seorang pun yang dapat mengesan masalah pembelajaran yang dihadapi oleh Inayah. Guru-gurunya sering mengeluh kerana Inayah kerap ponteng kelas khususnya semasa kelas
Bahasa Melayu. Ditambah dengan masalah keluarga, Inayah merasakan dirinya keseorangan dan tidak didengari.

Satu-satunya individu yang cuba untuk memahami Inayah ialah Cikgu Maryam, guru baharu di sekolah tersebut. Setelah menganalisis dan melaksanakan pemerhatian, sememangnya didapati bahawa Inayah merupakan kanak-kanak disleksia. Sebagai contoh, dia menyebut perkataan ‘bapa’ dengan sebutan ‘paba’.

Setelah yakin bahawa Inayah menghadapi masalah disleksia, Cikgu Maryam berusaha sedaya upaya untuk
menolong muridnya itu supaya mahir membaca dan menulis. Akhirnya, Inayah menjadi seorang penyelidik yang berjaya hasil daripada didikan dan galakan daripada Cikgu Maryam.

Cikgu Maryam (lakonan Vanidah Imran) bertanya rakan sekelas Inayah (lakonan Puteri Balqis), murid disleksia yang sering hilang dari kelas.

Telefilem ini dapat membuka mata semua pihak sama ada guru, ibu bapa mahupun masyarakat berkaitan masalah pembelajaran seperti disleksia. Murid disleksia sering dilihat sebagai murid ‘bodoh’ dan ‘lembab’ kerana cara otak mereka berfungsi sedikit berbeza dengan murid-murid yang lain. Akibat kurang kesedaran, murid-murid ini diketepikan dan disisihkan oleh masyarakat.

Secara tidak langsung, telefilem ini telah memberikan pendedahan kepada masyarakat bahawa kanak-kanak disleksia ini juga boleh berjaya jika dididik dengan kaedah yang betul dan sesuai. Perkara yang paling signifikan untuk meningkatkan potensi mereka ialah motivasi daripada orang sekeliling.

Selain itu, telefilem ini juga memberikan idea kepada guru-guru untuk mengajar kanak-kanak disleksia. Dalam telefilem ini, Cikgu Maryam menggunakan pelbagai kaedah pengajaran yang dilihat berkesan untuk meningkatkan kefahaman Inayah. Sebagai contoh, beliau menggunakan kad imbasan huruf yang besar untuk memberikan visual yang lebih jelas dan nyata kepada Inayah.

Selain itu, Cikgu Maryam juga sentiasa membaca perkataan yang sama berulang kali bagi membolehkan Inayah memproses dan mengingati perkataan yang dipelajari. Oleh itu, guru-guru yang berhadapan dengan situasi ini juga akan terinspirasi untuk mengaplikasikan teknik yang sama dalam realiti sebenar.

Secara keseluruhan, saya amat berpuas hati dengan telefilem ini dan berharap lebih ramai rakyat Malaysia menonton dan menghayati mesej yang ingin disampaikan. Telefilem ‘Poskad dari Switzerland’ ini sangat berbaloi dan wajar ditonton oleh semua lapisan masyarakat. Mesej-mesej yang disampaikan sedikit sebanyak mampu mengubah perspektif kita mengenai masalah pembelajaran disleksia. Oleh itu, saya memberikan rating 4.5/5 kepada telefilem ini.

Gambar: Inayah bersembunyi di dalam tandas sewaktu pertukaran waktu kelas. (Klip dari salah satu adegan dalam telefilem Poskad dari Switzerland yang disiarkan di Alhijrah Plus)

* Penulis adalah Pemenang Hadiah Sagu hati Pertandingan Menulis Review Rancangan Alhijrah Plus.

(18)

Kurang pendedahan tentang disleksia, murid dilabel lembam dan disisih

About The Author
-

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>