Labbaikallah peluang mantapkan ilmu berkaitan haji, jemputan Allah bila-bila masa tiba

“KITA tidak melihat Kaabah itu pada tahun 2023, tetapi kita melihat Kaabah itu pada serratus tahun yang lalu, pada zaman Nabi, asal Kaabah dibina bagaimana, sejarah Nabi Ibrahim a.s, Nabi Ismail a.s.,” kata penerbit rancangan Labbaikallah, Syafinah Othman di Radio Ikim pagi ini.

Rancangan Labbaikallah yang mula bersiaran semalam sehingga 2 Julai nanti telah masuk musim ke-11 siarannya di TV AlHijrah sentiasa menjadi rancangan yang ditunggu-tunggu penonton setia untuk mendalami ilmu berkaitan ibadah haji secara khusus serta memperlengkapkan diri dengan persediaan yang perlu sebagai jemaah haji pada mereka yang menjadi tetamu Allah.

Bagi ‘alumni’ haji pula Labbaikallah adalah sesi imbau kembali pengalaman mereka sewaktu di sana, manakala bagi yang belum mendapat peluang ini menjadikan Labbaikallah sebagai penyuntik semangat mereka untuk terus berdoa dan berharap agar diterima sebagai tetamu Allah suatu masa nanti.

Selain mengangkat perbincangan seputar apa yang berlaku dalam ibadah haji seperti Hari Arafah, sejarah Kaabah serta perkongsian pengalaman mereka yang pernah dan sedang melakukan haji, kupasan tentang kaitan ibadah ini dengan hari Akhirat menjadi topik utama dalam rancangan ini.

Gabungan persembahan tilawah Al-Quran dan hadith untuk tadabbur dan refleksi diri seperti kepentingan beribadat pada sepuluh hari terawal bulan Zulhijjah juga dititik beratkan supaya penonton yang tidak berpeluang ke sana turut menghayati dan mengimarahkan bulan ini dengan melakukan ibadah yang digalakkan.

Rancangan Labbaikallah boleh juga ditonton di FB Live TV AlHijrah dan aplikasi AlHijrah Plus.

Menurut pengacara rancangan ini, Ustaz Mohamad Zarifi Mohamad Daud, Labbaikalllah adalah peluang untuk mereka yang belum mendapat jemputan memantapkan ilmu berkaitan haji sekiranya Allah melorongkan peluang kepada mereka suatu hari nanti.

Keupayaan para pentadabbur yang mempunyai kepekaan dan pengalaman dalam ibadat ini seperti Ustaz Zul Ramli dan barisan pentadabbur lain berkongsi cerita melalui contoh yang dekat pada hati menonton pula berupaya mendekatkan mereka kepada kecintaan dan kerinduan untuk mengerjakan rukun Islam kelima ini.

Perkongsian dari alumni haji ini melalui tiga elemen; melihat, mendengar dan merasa ini bertujuan menjentik rasa dan menyuntik mahu penonton yang belum menunaikan haji untuk menyuburkan rasa cinta pada Baitullah, seterusnya membungakan cita-cita untuk menunaikan rukun Islam kelima ini.

Pendekatan teaterikal yang diguna pakai dalam rancangan pada tahun ini juga memberi sedikit kelainan berbanding tahun sebelumnya, di mana usaha gigih dari pasukan grafik dan sokongan teknikal sangat diperlukan untuk memberi nilai tambah pada rancangan ini.

Program yang bersifat kekeluargaan, sesuai untuk tontotan seluruh anggota keluarga ini tepat untuk mereka yang cintakan ilmu, apatah lagi bagi mereka yang ingin memperbaiki kehidupan hari demi hari.

Mulai bersiaran setiap hari pada pukul 9 hingga 10 malam, program Labbaikallah kali ini akan mengundang barisan ustaz jemputan iaitu Ustaz Jafri, Ustaz Rozi, Ustaz Zarifi, Ustaz Zul Ramli, Ustaz Hanafiah, Ustazah Muzayyanah dan Ustazah Fatimah Syarha dan Ustaz Fazrul sebagai pentadabbur serta qari Ustaz Tarmizi dan Tilmiz Fahmi.

Ia juga boleh ditonton secara langsung di laman Facebook TV AlHijrah dan aplikasi AlHijrah Plus.

Gambar hiasan: Pemandangan waktu malam di Mekah (Gambar ihsan Farrah Yuhanis)

(249)

Labbaikallah peluang mantapkan ilmu berkaitan haji, jemputan Allah bila-bila masa tiba

| Semasa | 4 Comments
About The Author
-

4 Comments

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>