October 7, 2024 11:06 PM
LOGO-HBIT

Langgar secara sengaja lima sekeluarga, tembak cara PUBG – hanya kerana mereka beragama Islam

SEMAKIN luas capaian maklumat dan ilmu melalui teknologi komunikasi tidak menjamin keharmonian antara kepelbagaian agama dan bangsa. Umat Islam terus menjadi sasaran ekstremis Islamofobia, walhal pelbagai kemurnian penganut agama Islam boleh sahaja diperolehi dari pelbagai sumber.

Ketidakpuasan hati dan dendam yang didasari nafsu tanpa sebab munasabah terus menghantui fikiran pengganas muda seperti Nathaniel Veltmen dan suatu ketika dahulu, Brenton Tarrant dan Alexandre Bissonnette membunuh sewenang-wenangnya orang Islam.

Mungkin inilah yang dikatakan ujian kebenaran sesuatu agama itu adalah penentangan yang diterima. Semakin tinggi kedudukan agama itu, semakin besar ujiannya. Kedudukan Islam sebagai agama yang tertinggi dan tiada agama yang mengatasinya menyebabkan penganut agama lain yang kurang waras tidak dapat menerima keistimewaan yang tiada pada mereka.

Kajian yang dilakukan ke atas sembilan buah agama terbesar iaitu Kristian, Yahudi, Islam, Buddha, Evangelikal, Katholik, Mormon, Hindu dan Atheis di Amerika pada 2017, menunjukkan bahawa Islam berada pada kadar melebihi 60 peratus dari segi persepsi negatif oleh Barat menjadi contoh kedengkian ini yang dimomok dengan perkataan “Islamofobia”.

Tragedi berdarah yang menimpa empat sekeluarga muslim di Ontario, Kanada Ahad lalu membuktikan jenayah anti-Islam masih bermaharajalela. Veltmen yang berusia 20 tahun ternyata memang merancang untuk melanggar keluarga ini dengan sebuah trak sehingga menyebabkan kematian mereka.

Veltmen tidak pernah fikir nasib seorang kanak-kanak lelaki kecil berusia sembilan tahun ini bakal hadapi akibat kerja gilanya itu. Walaupun dilaporkan selamat dan sedang dirawat di hospital akibat kecederaan teruk, masa depan kanak-kanak itu amat pedih untuk ditempuh apabila kehilangan empat insan yang dikasihi sekaligus.

Veltmen hanya mengikut kata nafsu sewaktu membunuh, tetapi kanak-kanak itu punya alasan besar sekiranya ingin membalas dendam suatu hari nanti. Kita tidak mahu putaran dendam ini berterusan. Apatah lagi Islam tidak pernah mengajar umatnya membalas dendam.

Begitu juga dengan insiden tembakan terancang oleh Brenton Tarrant yang mensasarkan jemaah solat Jumaat di Masjid Al-Noor, Christchurch, Selandia Baru pada 15 Mac 2019. Rantaian tragedi hitam yang berlaku kepada umat Islam khususnya adalah penodaan terhadap kemanusiaan dan keamanan sejagat umumnya.

Tarrant menembak para jemaah masjid seolah-olah sedang bermain PUBG, dengan bangganya menewaskan satu persatu musuh yang berada di depannya. 51 nyawa manusia tiada harga baginya.

Sejarah rantaian tembakan di masjid yang mengorbankan jiwa ini sudah lama terentang di depan kita. Umat Islam juga tidak pernah lupa tragedi seorang lelaki menembak mati enam orang di Masjid Quebec, Kanada pada tahun 2017.

Luka pada jiwa umat Islam bagai dicurah cuka mengenangkan nasib yang sering menjadi mangsa kebencian agama dan kaum. Pada masa yang sama pula dituduh pengganas, penjenayah dan sering diasosiasikan dengan pemecah belah dan pelbagai watak negatif.

Kebencian yang ada dalam diri kedua-dua pengganas ini adalah jenayah jiwa yang tidak boleh dimaafkan apabila ia diterjemahkan dalam tindakan yang meragut nyawa manusia. Ia hanya tergamak dilakukan oleh mereka yang jauh dari agama atau ekstremis agama yang mungkin dimanipulasi oleh pihak berkepentingan, mereka yang dapat meraih untung dari huru-hara yang berlaku.

Ini kerana tiada agama yang membenarkan sebarang bentuk keganasan dilakukan, tidak kira atas alasan apa sekalipun.

Gambar: Empat orang dari kanan adalah mangsa yang maut dilanggar di Ontario, Kanada Ahad lalu, manakala kanak-kanak di kiri sekali merupakan satu-satunya mangsa yang terselamat dalam kejadian itu. (FB: Tamer Halaseh)