Lima fasa akhir zaman, di manakah kita?

TANDA-tanda hari Kiamat dan fitnah akhir zaman itu saling berkait dan berantaian. Apabila suatu tanda telah berakhir, tanda lain pula akan bermula. Pemerhatian kepada tanda-tanda ini penting untuk menyiapkan diri dengan keperluan mental dan fizikal supaya iman dan amal terus dapat dipelihara.

Ustaz Jafri Abu Bakar Mahmoodi dalam Riwayat Akhir Zaman Musim 2, Episod 1 menyatakan para ulamak menyimpulkan bahawa susunan-susunan soalan yang ditanyakan oleh malaikat Jibril a.s kepada Rasulullah SAW berkenaan hari Kiamat dan tanda-tandanya itu menunjukkan betapa pentingnya persoalan-persoalan tersebut untuk dikaji umat Islam khususnya.

Perlu juga difahami secara jelas keadaan para Sahabat yang selalu bertanya kepada Rasulullah SAW tentang bilakah kiamat bukan kerana mereka berharap untuk berada pada masa dan ketika itu tetapi kerana takut sekiranya sempat berada pada zaman itu yang sangat besar ujian dan fitnahnya.

Rasulullah SAW juga mengambarkan kepada kita fasa-fasa akhir zaman semenjak zaman Nubuwah (zaman Baginda bersama-sama para sahabat) sehingga ke zaman kemunculan Imam Al-Mahdi dan Nabi Isa a.s memerintah dunia, seterusnya sehingga berlakunya Kiamat dalam hadith riwayat Imam Ahmad;

“Masa kenabian itu ada di tengah-tengah kalian, adanya atas kehendak Allah, kemudian Allah mengangkatnya apabila Dia menghendaki untuk mengangkatnya. Selanjutnya adalah masa Khilafah yang mengikuti jejak kenabian (Khilafah ’ala minhaj an-nubuwwah), adanya atas kehendak Allah, kemudian Allah mengangkatnya apabila Dia menghendaki untuk mengangkatnya. Selanjutnya masa kerajaan yang menggigit (Mulkan ’Adhan), adanya atas kehendak Allah, kemudian Allah mengangkatnya apabila Dia menghendaki untuk mengangkatnya. Setelah itu, masa kerajaan yang memaksa (Mulkan Jabariyyan), adanya atas kehendak Allah, kemudian Allah mengangkatnya apabila Dia menghendaki untuk mengangkatnya. Selanjutnya adalah masa Khilafah yang mengikuti jejak kenabian (Khilafah ’ala minhaj an-nubuwwah). Kemudian beliau (Nabi) diam,”

Fasa-fasa tersebut ialah

  1. Fasa Nubuwwah
  2. Fasa Khilafah ‘Ala Minhaj An-Nubuwwah
  3. Fasa Mulkan ‘Adhan (Kerajaan Menggigit)
  4. Fasa Mulkan Jabariyyan (Kerajaan Yang Memaksa)
  5. Fasa Khilafah ‘Ala Minhaj An-Nubuwwah
Rancangan Riwayat Akhir Zaman dapat diulang tonton melalui aplikasi AlHijrah Plus.

Fasa terakhir akan mengulang semula pemerintahan pada fasa kedua, iaiatu pemerintahan yang sangat indah yang akan berlaku pada akhir zaman. Selepas dari itu tiada lagi umat yang akan hidup selepas itu, menunjukkan akan berlakunya Kiamat

Kedua-dua fasa terawal tidak sempat umat kita zaman kini untuk melaluinya. Fasa Nubuwwah selama 30 tahun diikuti pemerintahan yang menggunakan sistem kekhalifahan sebagaimana hadith riwayat Al-Hakim yang menyebut “Khilafah Nubuwwah itu tiga puluh tahun, kemudian setelah itu terdapat kerajaan.”

Ini termasuklah pemerintahan di bawah Saidina Abu Bakar a.s selama dua tahun, diikuti Saidina Umar r.a selama 10 tahun, Saidina Uthman r.a selama 12 tahun dan Khalifah terakhir Saidina Ali a.s selama lima tahun.

Fasa ketiga dikenali sebagai pemerintahan kerajaan yang menggigit kerana umat pada zaman ini mahu beramal sebagaimana pada zaman Rasulullah SAW, namun pada waktu itu pintu fitnah telah terbuka sehingga apabila seseorang itu mahu beramal umpama mengigit dengan geraham mereka. Ini kerana pada waktu ini telah berlaku fitnah bunuh-membunuh melibatkan kelompok-kelompok besar.

Fasa keempat pula bermula dengan tumbangnya Khilafah Uthmaniyyah pada tahun 1924. Fasa yang lebih mencabar ini dipimpin oleh kerajaan yang memaksa, menekan umat, di mana umat Islam dipandang sebagai makanan yang dipatuk oleh burung-burung. Pada fasa ini juga tanda-tanda besar Kiamat mula muncul bagi menghadapi fasa kelima.

Sebagaimana fasa kedua, fasa kelima ini dunia akan berada dalam keadaan tenang dan aman dipimpin oleh Imam Mahdi dan Nabi Isa as, digambarkan tiada manusia yang layak menerima sedekah kerana kesenangan hidup, tiada jenayah berlaku dan binatang buas boleh bercampur gaul sesama mereka.

Menurut Ustaz Jafri, kita sekarang berada pada fasa keempat dan akan melalui fasa fitnah Dajjal. Tidak mustahil juga kita akan sempat berhadapan dengan Dajjal itu dan fitnah-fitnahnya, kata beliau.

Pada masa berlakunya zaman fitnah yang diumpamakan kegelapan, hanya ilmu menjadi cahaya untuk mengenali fitnah-fitnah dan beramal dengan pesanan Rasulullah SAW. Mengamalkan sepuluh ayat akhir dan sepuluh ayat awal Surah Al-Kahfi adalah salah satu amalan yang dapat membantu kita menjaga akidah.

Gambar hiasan: Rupa Dajjal janaan AI.

(442)

Lima fasa akhir zaman, di manakah kita?

About The Author
-

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>