Makan bekal di sekolah, ibu bapa sumber utama semai sikap tolak ansur dan hormat ibadat orang lain

BERTOLAK ansur dan saling memahami serta menghormati dalam kalangan rakyat pelbagai kaum, agama dan budaya menjadi petua terbaik untuk melestarikan keharmonian dan menguruskan perbezaan dalam persamaan.

Memang tidak dinafikan hal-hal yang berkaitan agama dan kaum mudah mencetuskan salah faham sekiranya tidak diuruskan dengan baik. Semua ahli masyarakat mempunyai tanggungjawab untuk membentuk kefahaman kepada generasi yang masih muda.

Semua kaum dan agama perlu memahami ritual atau amalan rakan atau sahabat handai dalam kehidupan beragama masing-masing. Sebagai ahli masyarakat yang berada dalam kepelbagaian dari sudut kaum dan agama, kefahaman tentang kaum lain adalah kunci untuk membuka pintu sifat tolak ansur. Kefahaman dan sikap bertolak ansur itu pula perlu diturunkan daripada generasi kepada generasi.

Oleh sebab itulah hantaran (posting) jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei di Instagram beliau pada tahun 2021 dirasakan terus relevan sekalipun ditulis secara yang sangat santai dan diselitkan kelucuan tentang pengalamannya sebagai seorang ayah berdepan anak berusia lapan tahun pada bulan Ramadan.

Hantaran itu mengenai pengalaman Chong Wei membimbing anaknya supaya memahami ibadat puasa oleh rakan-rakan beragama Islam di sekolahnya. Anaknya mengadu tidak puas hati kerana tidak boleh makan di depan kawan-kawan yang beragama Islam.

Pengalaman Chong Wei berdepan anak yang sedikit memberontak dan menuntut penjelasan itu tentu dialami juga oleh ibu bapa yang lain. Perkara seperti itu berlaku kepada semua, hanya yang membezakannya adalah melihat dengan serius atau sebaliknya.

Chong Wei menceritakan tentang anaknya disuruh oleh guru supaya tidak makan bekal yang dibawa di depan kawan-kawan beragama Islam. Sebagai kanak-kanak, sudah tentu tidak tercapai akal fikirannya tentang hal-hal yang di luar lingkaran hidupnya serta yang tersirat pesanannya.

Beliau mengakui kelemahannya kerana tidak menerangkan terlebih dulu tentang ibadat berpuasa dalam kalangan orang Islam. Disebabkan itu, anaknya tidak memahami bahawa makan bekal itu adalah suatu yang dianggap tidak menghormati rakan-rakannya yang sedang berpuasa.

Anak-anak perlu dididik dari kecil untuk saling menghormati budaya dan penganut agama lain. (Gambar hiasan)

Chong Wei akhirnya berjaya memahamkan tentang tolak ansur dan menghormati penganut agama lain kepada anaknya. Beliau menggunakan contoh semasa perayaan Tahun Baru Cina, orang Melayu bertolak ansur dan faham dengan amalan membakar mercun.

Maka tiba giliran anaknya pula untuk memahami rakan-rakan beragama Islam pada bulan Ramadan, iaitu tidak elok makan di depan rakan-rakan sebagai tanda menghormati mereka. Chong Wei berjaya memberikan pencerahan kepada kanak-kanak yang belum memahami realiti sosial masyarakat majmuk negara ini.

Pengalaman menarik dan agak lucu Chong Wei itu sebenarnya membawa suatu yang amat bermakna dalam konteks kehidupan masyarakat pelbagai kaum dan agama. Peranan untuk menzahirkan masyarakat majmuk yang hidup sejahtera terletak di bahu kedua-dua ibu bapa, orang terdekat anak-anak dan wakil generasi yang lebih tua.

Sememangnya peringkat kanak-kanaklah masa yang paling sesuai untuk diberi kefahaman tentang hidup bersama dalam lingkaran kepelbagaian daripada sudut agama dan juga kaum.

Definisi ‘menghormati’ itu sebenarnya suatu yang sangat penting kerana daripada rasa hormat itulah timbul sikap untuk bertolak ansur tentang keperluan masing-masing pada ketika tertentu.

Sikap saling menghormati itu pula suatu yang tidak boleh diajar, malah tidak ada silibus mengenainya. Sebaliknya sikap itu wujud daripada kefahaman terhadap sesuatu melibatkan ahli masyarakat lain yang berbeza dari sudut kaum dan agama.

Tanggungjawab inilah yang seharusnya dilaksanakan oleh ibu bapa sejak dari awal lagi supaya mutu tolak ansur itu terus meningkat dalam kalangan masyarakat Malaysia dan akhirnya menyumbang kepada kemajuan masyarakat madani yang lebih cepat.

Dalam perkara ini Chong Wei adalah salah satu contoh yang baik untuk diteladani.

Gambar: Datuk Lee Chong Wei dan isterinya sering mengingatkan anak-anaknya untuk menghormati dan bertolak ansur dalam kehidupan silang budaya di Malaysia. (Instagram Datuk Lee Chong Wei)

(574)

Makan bekal di sekolah, ibu bapa sumber utama semai sikap tolak ansur dan hormat ibadat orang lain

About The Author
-

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>