Melancong sambil ‘tebuk’ ayat, Qawiy ajak anak muda mesrai Al-Quran

MENJADI pemuda soleh pada zaman penuh cabaran teknologi tanpa sempadan perlulah teras yang kukuh. Lincah di media sosial atau mahir pelbagai aplikasi terkini tanpa tahu arah tuju dan dangkal memanfaatkannya hanya menjerumuskan anak muda ke jurang kebinasaan dan dunia sia-sia.

Peluang hari ini banyak terbuka kepada anak muda membongkar potensi diri kerana ledakan teknologi ini sesuai dengan keupayaan fizikal serta dunia mereka dibesarkan. Bagi golongan ‘baby boomers’, peluang untuk mengguna pakai teknologi ini agak terhad kerana mereka bukan lahir pada zaman tersebut.

Namun dalam hiruk pikuk dan kemeriahan pelbagai aplikasi dan hidangan bersumberkan kecerdasan buatan (AI) ini, anak muda ibarat bermain pisau; silap pertimbangan akan menjadi pembunuh dan sebaliknya. Mereka yang benar-benar berkompaskan iman dan matlamat menjadi khalifah sahaja akan menggunakan teknologi untuk melorongkan manusia ke jalan Tuhan.

Qawiy juga membawa penonton ‘berkunjung’ ke tempat-tempat makan viral di sekitar Selangor sambil mendekati orang awam untuk sesi ‘tebuk’ bacaan Al-Quran.

Memanfaatkan ruang media sosial, pempengaruh Abdul Qawiy Abd Rashit, 26 tahun mengajak umat Islam terutama mereka yang sebaya mendekatkan diri dengan Al-Quran secara santai melalui rancangan berkonsepkan travelog Qawiy Wuz Here siaran Alhijrah Plus, aplikasi telefon bimbit milik stesen penyiaran berkonsepkan Islam, TV AlHijrah.

Berpandukan pesanan agama supaya berdakwah mengikut tahap akal dan kecenderungan mad’u (orang yang didakwah), para penonton diajak memesrai Al-Quran dengan cara menyambung bacaan ayat-ayat tertentu yang dialunkan oleh Qawiy. Setiap responden yang berjaya menyambung bacaan yang ‘ditebuk’ Qawiy akan dihadiahkan wang tunai sebagai penghargaan kepada mereka.

Untuk menarik minat anak muda mengikuti rancangan ini yang berjumlah 13 episod kesemuanya, penerbit, Abdul Hanan Abdul Rahman turut menyelitkan pengalaman percutian bersama Qawiy di tempat terpilih serta menjelajah tempat makan tular di sekitar Selangor.

Sebanyak tiga episod rancangan ini telah tersedia di aplikasi Alhijrah Plus untuk tontonan.

Ini bagi membantu penonton memberi nilai tambah kepada percutian mereka iaitu melancong dan mentadabbur alam ciptaan Allah, sekaligus menjadikan percutian mereka bermanfaat dunia dan Akhirat.

Secara tidak langsung, anak muda yang mengikuti rancangan ini mempunyai satu kesedaran bahawa dalam apa sahaja aktiviti dilakukan, jiwa sebagai hamba Allah dan tanggungjawab sebagai khalifah makhluk itu harus dibawa ke mana sahaja.

Kepetahan berbicara Qawiy serta gabungan kemahiran serta keindahan alunan Kalamullah yang terbit dari mulut Qawiy menusuk ke hati. Kelebihan yang ada pada Qawiy ini mewakili generasi muda yang bakal menerajui negara sepatutnya dimanfaatkan sebaik mungkin untuk menjala anak-anak muda yang masih tersihir dalam lautan populariti dan kealpaan media sosial dan pelbagai aplikasi melalaikan.

Qawiy Wuz Here dapat ditonton melalui Alhijrah Plus bermula 28 Januari 2023 dengan memuat turun aplikasi ini melalui Apple Store dan Google Play Store secara percuma.

Gambar: Qawiy akan memilih orang awam secara rawak untuk menyambung bacaan Al-Quran yang dialunkan olehnya.

(77)

Melancong sambil ‘tebuk’ ayat, Qawiy ajak anak muda mesrai Al-Quran

About The Author
-

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>