October 7, 2024 10:00 PM
LOGO-HBIT

Menjadi insan pemaaf, sentiasa lakukan kebaikan ciri-ciri golongan muhsinin

KITA sentiasa diingatkan untuk menjadi umat yang bermanfaat bagi orang lain sebagaimana pesanan Rasulullah SAW yang bermaksud, “Sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat bagi orang lain.”

Manfaat itu sudah tentulah berupa kebaikan yang akan menyenangkan jiwa, atau menggembirakan si penerima atau boleh sahaja sesuatu yang memudahkan hidup orang lain; asalkan ia menjadi manfaat dalam acuan kebenaran agama.

Untuk menjadi insan bermanfaat, seseorang perlulah mendidik hati agar cinta melakukan kebaikan dan istiqamah terhadap kerja-kerja kebaikan itu. Allah telah menjanjikan rahmat kepada orang yang sentiasa melakukan amal kebaikan dan bersifat dengan sifat orang yang muhsinin. Firman Allah dalam surah Al-A’raf, ayat 56 yang bermaksud:

 “Sesungguhnya rahmat Allah itu dekat kepada orang-orang yang muhsinin.”

Allah menggunakan perkataan rahmat Allah itu sangat dekat dengan orang muhsinin, iaitu mereka yang melakukan kebaikan benar-benar ikhlas kerana Allah.

Ciri-ciri golongan muhsinin ini antaranya mereka yang gemar menyumbangkan harta di jalan Allah, sebagaimana digariskan oleh Firman-Nya dalam surah Al-Baqarah, ayat 196 yang bermaksud:

“Dan belanjakanlah (apa yang ada pada kamu) kerana (menegakkan) agama Allah, dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan (dengan bersikap bakhil); dan baikilah perbuatan kamu; kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang muhsinin.”

Sifat suka memaafkan orang lain juga antara ciri-ciri golongan muhsinin. Allah berfirman dalam Surah Ali Imran, ayat 134 yang bermaksud, “Dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik.”

Ciri utama golongan muhsinin pula ialah mereka yang bertakwa dan dekat jiwanya dengan Allah. Firman Allah dalam surah Al-Maidah, ayat 93 yang bermaksud, “Kemudian mereka tetap bertakwa dan berbuat kebajikan; kerana Allah mengasihi orang-orang muhsinin.”

Melakukan kebaikan boleh sahaja secara individu mahupun secara berjemaah. (Gambar hiasan)

Tidak dinafikan masih ramai kita saksikan mereka yang suka berbuat kebajikan, tidak kira secara individu atau melalui organisasi tertentu dalam masyarakat, namun tidak kurang pula yang mengambil manfaat darinya untuk kepentingan diri sendiri.

Kebaikan yang nampak di mata sebegini belum tentu melayakkan mereka untuk tergolong dalam kalangan muhsinin kerana hanya hati yang tulus ikhlas dan niat yang murni sahaja membezakan status kebaikan itu, sama ada ia menjadi fatamorgana di padang pasir atau saham akhirat yang membantu kita nanti.

Justeru itu perbetulkan niat dan lazimkan diri melakukan kebaikan yang boleh dimulakan dengan orang di sekeliling kita seperti membantu mereka yang sedang ditimpa kesusahan sedaya yang termampu dan sentiasa juga doakan semoga amal yang dilakukan itu diterima Allah dan dikategorikan dalam amalan orang muhsinin.