July 27, 2024 12:10 PM
LOGO-HBIT

Najis kucing bawa sengketa jiran, pemilik binatang peliharaan boleh diseret ke mahkamah

TERPAKSA membersihkan najis kucing yang baharu saja digilis tayar kereta di kawasan halaman rumah boleh membuatkan sesiapa sahaja hilang sabar. Apatah lagi kejadian itu berlaku sewaktu anda sedang terkejar-kejar ke pejabat atau menghadiri suatu majlis penting.

Sekali dua berlaku mungkin anda boleh sabar, namun kalau sudah menjadi rutin harian, setinggi manapun kesabaran itu akan rata juga akhirnya.

Pasti terkeluar juga rungutan tidak senang terhadap situasi tersebut, apatah lagi sekiranya sudah beberapa kali anda menegur jiran secara baik supaya menjaga kucing peliharaan mereka supaya tidak menggangu anda.

Situasi yang dilalui pengguna TikTok Abidah Mohd Noor sebagaimana laporan Sinar Harian Rabu lalu banyak berlaku dalam masyarakat kita terutama bagi mereka yang tinggal di taman perumahan. Najis kucing serta kerosakan barang peribadi akibat kucing jiran menjadi antara salah satu masalah utama bagi mereka.

Peribahasa ‘ditelan mati emak, diluah mati bapa’, jiran yang menanggung nasib begini dalam dilema sama ada menyerap masalah yang membebankan jiwa itu atau menasihati jiran supaya lebih bertanggungjawab terhadap haiwan peliharaan mereka itu supaya tidak terus diganggu.

Kucing merupakan antara haiwan yang sering dijadikan binatang peliharaan kerana sifat manjanya.

Perkara yang menimpa Abidah tidak berlaku sekiranya masing-masing mengamalkan ajaran agama. Hakikatnya Islam telah menetapkan pelbagai garis panduan dan adab sopan untuk umatnya hidup berjiran. Mereka diwajibkan menjaga hubungan baik sesama mereka serta sesama insan tanpa mengenal batas agama dan budaya.

Selain peraturan agama, pemilik haiwan peliharaan juga perlu mematuhi pengurusan memelihara kucing supaya tidak berlaku kacau ganggu dan ancaman nyawa kucing untuk mengelakkan daripada berlaku permusuhan sesama jiran tetangga yang boleh mengakibatkan kezaliman kucing berlaku.

Menurut Persatuan Haiwan Malaysia, sekiranya kucing pemilik dianiaya dan dizalimi akibat kecuaian kucing, pemilik boleh diheret ke mahkamah atas dakwaan kecuaian yang menyebabkan kucing dizalimi dan mengalami kecederaan atau menyebabkan kematian di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 3 tahun dan denda maksimum RM100,000.00.

20 tahun adalah suatu jangka masa yang relatif lama untuk seseorang itu memendam rasa. Sudah berapa banyak kesabaran yang telah dikumpul Abidah dalam mendepani situasi yang tidak mengembirakan itu.

Mungkin pada sesetengah orang, telah berlaku pergaduhan sesama jiran atau berlakunya kejadian meracun kucingg tersebut kerana hilang kesabaran. Marahkan jiran, haiwan peliharaan jadi tukaran.

Selalunya bertanya kepada jiran apa-apa masalah yang mereka hadapi sekiranya ada perkara yang kita buat mengguris hati mereka. Jiran yang baik adalah mereka yang selalu ambil berat kesihatan mental dan fizikal jiran mereka.

Selain mematuhi ajaran agama dan peraturan undang-undang, pemilik kucing juga perlulah ada ‘common sense’ dalam hidup berjiran. Janganlah kerana alasan mencari pahala menjaga binatang kesayangan Baginda Nabi SAW, kita terlibat dosa kerana mengganggu ketenteraman jiran.