Nenek kabur penglihatan gigih pantau dua cucu belajar di rumah guna tablet sumbangan sekolah

FENOMENA ibu bapa membantu kerja sekolah dan mengajar anak di rumah sudah tidak asing lagi sekarang setelah pandemik Covid-19 menyerang negara ini hampir setahun lalu, namun agak jarang kita baca kisah nenek yang mengambil peranan ini.

Namun di Kampung Mempelam, Jalan Bukit Kayu Hitam Kubang Pasu, Kharisun Daud, 58 gigih membantu kedua cucunya meneruskan pelajaran walaupun hidup dalam keadaan daif dan serba kekurangan.

Menurut laporan Sinar Harian semalam, walaupun penglihatannya kabur akibat penyakit kencing manis yang dihidapi sejak lima tahun lalu yang menyukarkan dia melakukan aktiviti seharian termasuk membantu cucunya, Mas Emylia Natasya, 9, dan Mohd Alif Ashraf Hidayat, 8, untuk mengulang kaji pelajaran, Kharisun tetap ambil tahu tentang pembelajaran mereka.

“Sekarang ini pula mereka belajar guna tablet. Saya memang tak nampak tulisan yang ada di skrin itu dan tak tahu langsung cara nak guna.

“Mujur juga selepas sekolah bagi sumbangan tablet, guru sekolah mereka selalu datang ke rumah untuk ajar guna tablet dan menghantar kerja sekolah kepada mereka,” katanya.

“Sekarang ini pula mereka belajar guna tablet. Saya memang tak nampak tulisan yang ada di skrin itu dan tak tahu langsung cara nak guna,” kata Kharisun.

Kharisun berkata, dia sangat berterima kasih kepada pihak Sekolah Kebangsaan (SK) Dato’ Wan Kemara yang sangat prihatin dengan nasib mereka sekeluarga.

Menurut Kharisun lagi, guru-guru sekolah itu yang tidak lokek sering memberi bantuan wang tunai serta barang keperluan lain, selain menjadi tempat beliau mengadu.

“Saya memang tidak mampu untuk menyediakan makanan yang sedap-sedap jauh lagi yang berkhasiat untuk Mas dan Alif. Mujur juga cucu-cucu saya mengerti kesusahan yang dialami dan sudah terbiasa sekiranya perlu menjamah nasi yang hanya digaul dengan minyak ikan goreng,” katanya.

Kharisun berkata, keadaannya yang kurang sihat itu membataskan dirinya untuk bekerja dan hanya bergantung kepada bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 selain rumah yang didiami daripada bantuan Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK).

“Anak-anak saya sudah berkeluarga dan bekerja biasa saja. Ada yang menjadi nelayan, pembantu kedai dan menjual ikan. Pendapatan mereka tidak menentu tapi mereka ada juga hulur duit kepada saya setakat yang termampu,” katanya.

Sementara itu, Guru Besar SK Dato’ Wan Kemara, Mohd Nizam Saidin berkata, cucu kepada Kharisun merupakan antara 20 murid golongan asnaf yang menerima telefon pintar serta talian prabayar hasil sumbangan guru-guru sekolah.

Beliau berkata, pemilihan murid itu dibuat oleh satu jawatankuasa yang dilantik bagi memilih murid yang benar-benar layak menerima peranti berkenaan.

“Semoga dengan keprihatinan warga guru SK Dato’ Wan Kemara dapat membantu murid sekolah ini agar tidak ketinggalan pembelajaran dalam tempoh yang sukar ini,” katanya.

Gambar: Guru sekolah selalu datang ke rumah Kharisun untuk mengajar kedua cucunya menggunakan tablet dan menghantar kerja sekolah kepada mereka. (Sinar Harian)

(0)

Nenek kabur penglihatan gigih pantau dua cucu belajar di rumah guna tablet sumbangan sekolah

About The Author
-

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>