July 27, 2024 10:50 AM
LOGO-HBIT

Normalisasi tanda Kiamat sebagai fenomena alam jauhkan umat Islam dari taubat

BERLAKUNYA keadaan matahari terbit dari sebelah barat menandakan ia penutup segala hari, di mana segala amalan tidak lagi dikira pakai, tiada lagi pengampunan untuk segala taubat yang dilakukan.

DALAM sebuah hadith Riwayat Al-Bukhari menyatakan Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Tidaklah akan datang kiamat sehingga matahari terbit dari tempat terbenamnya (dari Barat).”

Rasulullah SAW juga berpesan supaya bersegera berbuat amal sebelum sampai enam perkara, salah satunya sebelum matahari keluar dari barat. Ini kerana apabila telah berlaku peristiwa ini, orang yang hendak beriman tidak dikira imannya lagi, iaitu sudah tidak diterima lagi imannya. Begitu juga bagi mereka yang beriman, sebarang penambahan amal juga tidak dikira lagi pada waktu ini.

Mereka yang mahu bertaubat pula tidak akan diterima lagi taubatnya kerana pada hari itu merupakan penutup segala hari untuk segala amalan hamba.

Tanda yang dapat disaksikan sebelum berlakunya matahari terbit dari sebelah barat ialah manusia akan mengalami malam yang sangat panjang. Hal ini berlaku pada suatu ketika apabila matahari akan naik sebagaimana hari biasa tetapi ditahan oleh Allah.

Menurut Ustaz Jafri Abu Bakar Mahmoodi dalam rancangan Riwayat Akhir Zaman Musim 1 Episod 5, matahari tertahan di bawah Arasy Allah selama dua atau tiga malam mengikut dua riwayat. Waktu tengah hari umpama malam yang pekat dan gelap. Selepas malam-malam itu barulah matahari dibenarkan naik, tetapi di sebelah barat.

Matahari yang muncul dari tempat terbenamnya membawa perasaan gerun yang amat dahsyat, gegak gempita di seluruh pelosok dunia. Selama ini orang yang engkar dan mencabar kuasa Allah akhirnya ranap oleh segunung takbur mereka.

Kajian menunjukkan apabila kita berada dalam keadaan yang gelap berpanjangan akan menyebabkan hati rasa gelisah. Dua atau tiga malam dalam kegelapan itu akan menyebabkan kegelisahan dan kepanikan manusia.

Mereka yang terawal dapat mengesan perubahan ganjil ini dalam kalangan yang sering bangun malam bertahajjud. Mereka solat dan beramal hingga letih kerana malam yang sangat panjang.

Apabila tibanya siang, sekali lagi umat manusia panik apabila melihat matahari terbit dari sebelah barat. Akibat ketakutan semua orang mahu bertaubat dan berbuat amal namun pada masa itu telah terlewat.

Dalam hadith Riwayat Al-Bukhari, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud “Apabila matahari terbit dari barat maka orang ramai melihatnya lantas mereka beriman seluruhnya. Maka itulah saat ketika iman seseorang tidak lagi bermanfaat bagi dirinya yang belum beriman sebelum itu atau belum mengusahakan kebaikan dalam masa imannya.”

Walaupun masing-masing dalam ketakutan dan kepanikan pada masa berlakunya suasana ini, masih kedapatan manusia yang melakukan dosa dan maksiat. Ini kerana telah bermula batas antara orang yang beriman dan mereka yang kufur.

Rancangan Riwayat Akhir Zaman boleh ditonton di aplikasi AlHijrah Plus.

Orang kufur akan tetap berada dalam kekufuran, orang fasik akan tetap berada dalam kefasikan. Orang yang berdosa tetap dengan dosa-dosanya.

Menurut Ustaz Jafri lagi, penerimaan terhadap keadaan ini berbeza mengikut ilmu dan iman masing-masing. Ada yang mengganggap ia fenomena semulajadi dan sesuatu yang menakjubkan lantas diraikan kejanggalan itu dalam sebuah pesta suka ria oleh kerana kejahilan mereka untuk mengenal pasti tanda-tanda hari Kiamat.

“Mungkin ada pula yang keluar di kaca televisyen, yang akan memberikan kepada kita ketenangan, hilang rasa gelisah dengan mengatakan bahawa in fenomena alam sahaja,” kata Ustaz Jafri.

Berbeza dengan umat pada zaman Rasulullah SAW dahulu, para sahabat pucat wajahnya apabila menyaksikan gerhana bulan atau matahari. Mereka solat dalam keadaan gementar hatinya, risau jika turunnya bala dari Allah. Semua tanda-tanda alam diterima dengan penuh kesiapsiagaan dan keinsafan.

Hakikatnya takdir Allah menemukan kita dengan malam-malam yang panjang ini bermaksud Allah masih memberikan peluang untuk hamba-Nya bertaubat.

Tanda-tanda hari Kiamat yang sering dinormalisasi sebagai fenomena alam ini mungkin mengaburi mata umat manusia untuk mengesan tanda sebenar hari Kiamat dan bersiap sedia untuk mendekatkan diri kepada Allah.

Gambar hiasan: Orang ramai mungkin ditenangkan perasaan mereka dengan berita-berita yang menyatakan tanda matahari keluar dari barat pada waktu berlakunya tanda itu sebagai fenomena biasa.