Orang kafir berasa terseksa dan keluar cairan dari telinga apabila berlaku Dukhan

BERSUSULAN dengan dua tanda besar Kiamat iaitu naiknya matahari dari barat dan munculnya Dabbatul Ardh, akan menyusul pula asap kabut yang menyelimuti bumi dinamakan Ad-Dukhan. Ia adalah asap yang akan menyelubungi seluruh pelosok bumi.

Ad-Dukhan merupakan satu daripada enam tanda besar sebelum berlakunya Kiamat. Hadis Riwayat Muslim yang bermaksud; “Bersegeralah dalam beramal sebelum datang enam perkara: Terbitnya matahari dari Barat, asap, Dajjal, Al-Dabbah, perkara khusus daripada kalangan kamu (kematian) dan urusan umum (Kiamat).”

Dalam hadis yang lain pula menyebut ia adalah salah satu tanda daripada sepuluh tanda besar Kiamat.

Walaupun ada pendapat mengatakan Ad-Dukhan telah berlaku, pendapat lain yang lebih kuat mengatakan peristiwa ini akan berlaku pada akhir zaman dan berturutan dengan tanda besar Kiamat yang lain seperti munculnya Dajjal, Imam Mahdi, Nabi Isa dan Yakjuj Makjuj.

Menurut Ustaz Jafri Abubakar Mahmoodi dalam rancangan Riwayat Akhir Zaman Musim 1 Episod 12, asap ini akan menyelimuti bumi selama 40 hari dan 40 malam. Seluruh dunia berhadapan kegelapan. Manusia berada dalam keadaan sukar menghirup nafas sehingga memberi kesan buruk kepada kesihatan mereka secara seluruhnya. Asap yang tebal ini menggelapkan pandangan manusia sehingga siangnya seolah-olah berada pada malam hari.

Ulamak membahaskan beberapa kemungkinan yang menyebab keadaan ini berlaku seperti mengaitkannya dengan kebakaran besar akibat kemarau dalam jangka masa panjang dan ada pula menjangka ia adalah letupan bom nuklear atau letusan gunung berapi dalam skala besar.

Ustaz Jafri Abubakar Mahmoodi menerangkan tentang peristiwa Dukhan dalam rancangan Riwayat Akhir Zaman di AlHijrah Plus bertajuk “Asap Kabut Menyelimuti Bumi”.

Terdapat juga pendapat mengatakan punca asap Dukhan itu berpunca dari hentaman asteroid ke muka bumi sebagaimana yang pernah berlaku puluhan juta tahun lalu yang meranapkan sebahagian bumi dan menyebabkan kepupusan beberapa jenis binatang seperti dinasour.

Pendapat ini mengaitkan dengan penjelasan Surah Ad-Dukhan yang menyebut asal keluarnya asap tersebut iaitu dari langit.

Apabila berlaku Dukhan, orang kafir akan berasa gelisah dan terseksa di mana akan keluar cairan daripada telinga mereka, manakala orang mukmin pula berada dalam keadaan seperti ditimpa selesema.

Allah berfirman dalam Surah Ad-Dukhan, Ayat 10-11 yang bermaksud, “Oleh itu tunggulah (wahai Muhammad) semasa langit membawa asap kemarau yang jelas nyata (yang menyebabkan kebuluran yang dahsyat). Yang akan menimpa seluruh keadaan manusia (yang kafir itu, sehingga mereka akan berkata: “Ini adalah azab yang sungguh menyakitkan.”

Menurut ulamak, mereka yang menyaksikan Dukhan ini pasti telah melalui tanda-tanda besar akhir zaman yang lain kerana apabila berlakunya Dukhan, ia bermakna Kiamat sudah sangat hampir.

Maka orang mukmin digesa beramal dengan doa yang diamalkan Nabi Yunus a.s sekiranya sempat melalui zaman ini, ““Tidak ada Tuhan yang sebenarnya disembah melainkan Engkau, ya Allah. Maha Suci Engkau, sesungguhnya aku adalah dari orang yang membuat zalim.” (QS Al-Anbiya’: 87)

Gambar hiasan: Keluarnya asap Dukhan adalah salah satu tanda besar akhir zaman.

(1424)

Orang kafir berasa terseksa dan keluar cairan dari telinga apabila berlaku Dukhan

About The Author
-

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>