Pak Ngah Haji Omar seru Melayu bersatu

OLEH: KHAIRUL DANIEL MOHD ZAINIE

SETIAP tokoh pasti punya cerita. Di Jitra, seorang tokoh tempatan bernama Pak Ngah Haji Omar, merupakan tokoh pejuang yang gigih menentang penjajah. Meskipun namanya tidaklah semahsyur Tok Janggut di Kelantan dan Dato Maharaja Lela di Perak, sejarah adalah sejarah; malar segar dan relevan sifatnya.

Maka penulis akan mengulas satu telefilem bertajuk Pak Ngah Haji Omar yang ditayangkan sekitar tahun 2011 dengan lakonan mantap Eman Manan. Sejujurnya, penulis tidak akan menyentuh perihal jalan cerita dan plot telefilem ini secara menyeluruh, melainkan mengambil beberapa tema dan persoalan yang diangkat secara khusus di dalam telefilem ini sehingga ia dinilai cukup dekat dengan jiwa serta raga masyarakat tempatan.

Maka ayuh kita telusuri tiga aspek penting yang diangkat dalam cerita ini. Pertama, perjuangan tokoh tempatan. Apabila membincangkan soal perjuangan tokoh tempatan, kita tidak akan lari daripada membincangkan soal penjajahan. Tanah Melayu umumnya, telah dijajah selama 446 tahun lamanya. Dari Portugis, Belanda, British, Jepun sehingga kepada British semula. Banyak tokoh tempatan bangkit menentang para penjajah ini.

Dalam telefilem ini, Pak Ngah Haji Omar adalah seorang tokoh yang menentang penjajahan Jepun di negeri Kedah demi membela maruah masyarakat tempatan yang ditindas sewenang-wenangnya oleh kaum penjajah.

Keduanya ialah silat. Umum mengetahui bahawa silat merupakan sebuah seni mempertahankan diri, sepertimana karate mahupun taekwando yang popular bagi masyarakat di Asia Timur; silat cukup dekat di hati masyarakat Melayu di Nusantara.

Silat sebagai seni mempertahankan diri juga diangkat dalam drama Pak Ngah Haji Omar.

Dalam telefilem ini, ketokohan dan karisma Pak Ngah Haji Omar begitu terserlah apabila beliau menentang penjajah dengan mengetuai kumpulan persilatan beliau iaitu Selendang Merah. Pada hemat
beliau, penjajah tidak patut dibiarkan sewenang-wenangnya menjarah hasil bumi negeri Kedah. Maka beliau bangkit menentang dengan sedaya upaya beliau. Di sini silat merupakan bukti wujudnya satu seni mempertahankan diri yang ampuh untuk menentang penjajah di negeri Kedah.

Ketiga, Melayu perlu bersatu. Tidak dapat dinafikan bahawa kelangsungan satu-satu siri penjajahan adalah turut difaktorkan dengan kewujudan masyarakat tali barut yang menyokong penjajah. Bagi sebilangan masyarakat tempatan, mereka menganggap bahawa kedatangan penjajah merupakan satu keadaan yang menguntungkan bagi mereka.

Maka tidak hairanlah terdapat sesetengah orang Melayu yang menyokong pendudukan Jepun di negeri Kedah. Hal ini menyebabkan Pak Ngah Haji Omar dan orang- orangnya meminta orang-orang Melayu untuk bersatu menentang penjajah. Pak Ngah Haji Omar sedar bahawa untuk menang dalam perjuangan melawan penjajah, mereka harus bersatu bersama. Bak kata peribahasa Melayu; bersatu kita teguh, bercerai kita roboh.

Rumusannya, tayangan telefilem Pak Ngah Haji Omar merupakan satu usaha terpuji dalam memperkenalkan semula tokoh-tokoh tempatan yang menentang penjajah sebelum era kemerdekaan dahulu. Pada hemat penulis, kita perlu sentiasa menghidupkan jiwa merdeka dengan memahami betapa
peritnya perjuangan tokoh-tokoh tempatan dalam menentang para penjajah
demi kedaulatan dan keamanan kita pada hari ini.

Sentiasalah belajar daripada sejarah kerana siapa yang tidak mempelajari sejarah, pasti akan mengulanginya semula seperti yang dituturkan oleh George Santayana.

Gambar: Klip dari salah satu adegan dalam telefilem Pak Ngah Haji Omar yang disiarkan di Alhijrah Plus.

* Penulis adalah Pemenang Hadiah Sagu hati Pertandingan Menulis Review Rancangan Alhijrah Plus.

(140)

Pak Ngah Haji Omar seru Melayu bersatu

About The Author
-

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>