PBAKL, slogan TV AlHijrah dan Malaysia Madani

DALAM buku The Hundred Most Influential Persons In History tulisan Michael Hart meletakkan pencipta kertas, Ts’ai Lun pada zaman Raja Ho Ti tahun 105 Masihi di tangga ketujuh senarai selepas Nabi Muhammad S.A.W, Issac Newton, Nabi Isa a.s dan lain-lain lagi. Tempat ketujuh juga pada perkiraan Hart adalah pencipta mesin cetak, Johan Gutenburg.

Bagaimanapun akhirnya Hart mengekalkan Ts’ai di tempat ketujuh kerana pada keutamaan Hart, penemuan kertas lebih penting berbanding mesin cetak oleh Gutenburg. Dengan adanya kertas, buku masih boleh dihasilkan sekalipun tanpa mesin cetak. Hal yang demikian memungkinkan ilmu dapat disebarkan walaupun dalam lingkaran yang kecil.

Menurunkan kedudukan Gutenberg bukan menafikan peri-pentingnya teknologi percetakan, akan tetapi kertas menjadi lebih utama dalam pembuatan buku secara tradisional; misalnya menyalin sebuah demi sebuah buku.

Hal yang demikian menunjukkan kewujudan dua manusia itu telah mengubah landskap penghasilan buku menggunakan teknologi tinggi, sekaligus telah menyumbang pada percetakan buku dalam kuantiti yang lebih banyak dan pantas.

Apa pun bentuk sumbangan mereka, kedua-dua tokoh itu menjadi penting kerana kedudukan buku yang tinggi dalam kehidupan manusia yang bertamadun dan meletakkan budaya ilmu di tempat yang tinggi.

Untuk menyahut seruan negara ke arah membentuk masyarakat yang bertamadun dan berbudaya tinggi yang mementingkan budaya ilmu, bermula 26 Mei hingga 4 Jun depan, Kuala Lumpur sekali lagi menjadi tumpuan penganjuran Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL 2023) di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur.

Acara bertaraf antarabangsa itu meraikan bukuwan dan budaya membaca yang menyumbang pada pembangunan ilmu dan nilai-nilai kemanusiaan, secara tidak langsung menepati gagasan kerajaan membangunkan Malaysia Madani.

Sepanduk PBAKL 2023 digantung di kawasan masjid dan surau untuk menarik pelbagai latar belakang masyarakat berkunjung ke pesta buku tahun ini. (Gambar: FB Mohd Khair Ngadiron)

Penganjuran kali ke-40 itu menampilkan beberapa pembaharuan dan penambahbaikan, antaranya menampilkan pavilion Negara Tamu (China), Negeri Tamu (Sarawak) dan Kementerian Tamu (Kementerian Pendidikan).

Urus Setia tetap penganjuran PBAKL yang juga Pengarah Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM),  Mohd Khair Ngadiron berkata,  selain peserta tamu itu, acara kali ini disertai oleh 138 pempamer dari dalam dan luar negara. 

Ini merupakan PBAKL  kedua selepas tertunda dua kali pada tahun 2020 dan 2021  akibat pandemik COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).  Penganjuran PBAKL 2022 tahun lalu mendapat sambutan yang sangat hebat dalam kalangan peminat buku dari dalam dan luar negara.

Kuala Lumpur yang menjadi tumpuan ekoran penganjuran PBAKL 2023 adalah kelangsungan keazaman tinggi yang diperlihatkan oleh dua tokoh penting dalam sejarah awal teknologi pembuatan buku di dunia. 

Kedua-dua mereka, Ts’ai dan Gutenberg sangat berjasa kerana buku adalah satu wahana yang membawa serta menyebarkan ilmu, tatacara serta etika kehidupan kepada manusia. Jasa itu diraikan dengan menjadikan semangat dan budaya membaca sebagai satu gaya hidup.

Ini kerana menggali ilmu melalui pembacaan merupakan budaya sejagat yang diutamakan dalam semua agama ini khususnya Islam sememangnya banyak menyumbang kepada ketamadunan negara.

Menyedari hakikat inilah, TV AlHijrah sebagai stesen yang berkonsepkan Islam berjuang menghidupkan budaya ilmu yang menjadi gagasan dan perjuangan dakwah selama lebih sedekad melalui slogan “Satukan Ummah Dengan Ilmu.”

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif, Namanzee Harris, sudah sampai masanya TV AlHijrah tampil agresif dan progresif dalam membangunkan jiwa ilmu yang membolehkan masyarakat madani berkembang seperti yang dituntut oleh ajaran Islam.

Ini kerana sesebuah negara yang bertamadun itu pastinya dicirikan dengan masyarakat yang mampan, sejahtera, berdaya cipta, hormat, berkeyakinan dan mempunyai ihsan sebagaimana digariskan konsep Malaysia Madani; dan untuk mencapai ciri-ciri ini sudah tentu ilmu menjadi jentera yang mengerakkannya.

TV AlHijrah selama lebih sedekad berusaha melorongkan masyarakat kepada kehidupan berteraskan agama dan berbudaya tinggi dalam mencapai negara maju bertamadun.

Dalam usaha membina naratif negara bertamadun, TV AlHijrah merangka pelbagai rancangan sarat ilmu yang mampu membentuk peribadi masyarakat selari dengan ciri-ciri tersebut.

Matlamatnya yang selari dengan gagasan pemerintah untuk melahirkan sebuah negara yang berkebudayaan tinggi mampu memacu negara menghadapi pelbagai duga dan cabaran semasa dan akan datang.

Masyarakat berilmu tidak akan terjebak dengan masalah perpecahan ummah kerana mereka dibekalkan akal waras dan panduan yang cukup dalam setiap tindak-tanduk mereka.

Justeru itu, pelbagai rancangan berbentuk keagamaan dan ilmiah dibariskan untuk menjadi panduan masyarakat mengambil sikap dan tindak supaya tidak hanyut dengan naratif yang dibentuk musuh yang mahu melihat negara porak-peranda dan menjala laba dari keruntuhan itu.

Isu-isu viral yang mampu menjejaskan pertumbuhan negara bertamadun jika tidak ditangani sebaiknya akan merugikan negara di mana pemimpin terpaksa memperuntukkan sejumlah banyak masa menangani pertikaian dan huru-hara hasil dari ledakan perpecahan yang dipromosikan pihak ini.

Maka usaha-usaha pelbagai pihak yang diterjemahkan dalam gerak-kerja seperti penganjuran PBAKL dan misi yang digerakkan oleh stesyen TV AlHijrah dalam membudayakan ilmu melalui slogan Satukan Ummah Dengan Ilmu itu diharap dapat menyuntik kesedaran masyarakat untuk menghayati makna ‘Iqra’ dengan perspektif yang lebih luas dalam mempersiapkan diri kepada suatu masyarakat yang bertamadun.

Ini kerana tanda aras sesebuah negara yang dikelaskan sebagai maju juga berkait rapat dengan kuantiti penerbitan buku dalam negara serta aras membaca yang tinggi dalam kalangan rakyatnya.

Maka acara seumpama PBAKL itu menjadi suatu yang sangat penting dalam mencapai matlamat sebuah negara maju yang tidak terpisah dengan akar agamanya.

(157)

PBAKL, slogan TV AlHijrah dan Malaysia Madani

About The Author
-

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>