Pemuda OKU kepit meja jualan antara dagu dan leher, akhirnya terpaksa kibar bendera putih akibat terjejas pendapatan semasa PKP

TIDAK mahu status orang kurang upaya (OKU) menghalangnya daripada hidup berdikari, Mohd Nor Abdullah yang dilahirkan tanpa kedua-dua belah tangan ini mula menyara kehidupan dengan menjual nasi lemak yang diambil daripada seorang kenalannya sejak Julai tahun lalu.

Pemuda berusia 29 tahun yang mengusahakan perniagaan kecil-kecilan yang dinamakan Nasi Lemak Bujang Dekk’s Mat yang dijalankan di tingkat bawah bilik sewanya di Cheras akan mengepit meja plastik berwarna merah antara dagu dan leher dari tingkat dua bilik sewa di atas sebuah rumah kedai untuk memulakan perniagaan di laluan pejalan kaki setiap hari.

Meskipun hanya memperoleh RM0.50 bagi setiap bungkus nasi lemak, keuntungan harian antara RM15 hingga RM25 bagi setiap 30 hingga 50 bungkus nasi lemak yang dijual sudah lebih daripada mencukupi bagi menampung kos sara hidup yang tinggi di kota metropolitan ini. 

Mohd Nor melayan pelanggan yang membeli nasi lemak yang dijual di laluan pejalan kaki berhampiran bilik sewanya di Cheras, pada November lalu.

Namun, dia diuji apabila pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) baru-baru ini menyebabkan jualan Nasi Lemak Bujang Dekk’s Mat yang berharga RM1.50 sebungkus yang sebelum itu mendapat sambutan hangat, semakin perlahan.

Kemuncak cabaran yang dihadapinya bermula awal Julai lalu, apabila kenalannya itu tidak dapat menghantar nasi lemak sehingga menyebabkan dia ‘terduduk’ akibat tekanan hidup hingga terpaksa mengibarkan bendera putih demi kelangsungan hidup.

Meskipun terpaksa menebalkan muka mengibarkan bendera putih, tetapi Mohd Nor tidak dapat berfikir cara lain bagi meneruskan kelangsungan hidup pada ketika itu. Sebelum mengambil keputusan mengibarkan bendera putih di bilik sewanya, dia sebenarnya sudah puas meminjam daripada rakan-rakan.

Enggan menjadi beban kepada rakan-rakan yang turut terkesan akibat PKP, membuatkan dia nekad menggantung bendera putih. Mohd Noor memberitahu wang hasil jualan dan bantuan bulanan yang diterima daripada Baitulmal berjumlah RM600 dan elaun orang kurang upaya (OKU) dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berjumlah RM400 cukup untuk menampung kehidupannya, namun ia menjadi cabaran besar sejak dia hilang punca pendapatan berikutan perlu menjelaskan sewa bilik sebanyak RM350 sebulan.

Mohd Nor tinggal di dalam bilik kecil yang disewa di sebuah rumah kedai dengan harga RM350 sebulan di Cheras.

Pemuda berhati waja ini enggan terus meminta, dia memanfaatkan sebahagian wang bantuan yang diterima sebagai modal memulakan perniagaan dalam talian. Dia kini menjual bertih jagung dan biskut kacang melalui Facebooknya, Dekk’s Mat. Segala urusan dengan pelanggan malah mengepos barang jualan, dilakukannya sendiri.

Lebih membanggakan, dia bermurah hati berkongsi bekalan makanan sumbangan orang ramai yang bertali arus sampai ke bilik kecilnya dengan rakan-rakannya selepas kisahnya mengibarkan bendera putih  tular di Facebook, malah turut memberi makan kepada gelandangan di Chow Kit. Meskipun menyifatkan sumbangannya kecil, tetapi itu adalah cara dia berkongsi dengan mereka yang senasib dengannya.

Untuk menderma sila layari https://ybim.org.my/suaraasnaf/ dan tekan Asnaf 48 atau terus menyumbang ke akaun YBIM (566010633490 – Maybank).

Gambar: Mohd Nor membuka pili air dengan menggunakan jari kaki ketika menggunakan dapur yang perlu dikongsi dengan penyewa lain.

(1)

Pemuda OKU kepit meja jualan antara dagu dan leher, akhirnya terpaksa kibar bendera putih akibat terjejas pendapatan semasa PKP

About The Author
-

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>