July 27, 2024 11:42 AM
LOGO-HBIT

Pengawal keselamatan berhenti kerja demi jaga ‘anak syurga’

‘ANAK SYURGA’ ini mengalami masalah kepala besar, selain masalah kabur penglihatan akibat hydrocephalus atau penyakit lebihan cecair dalam otak (CP) menyebabkan anak ini hanya terlantar dan tidak mampu bergerak bebas seperti kanak-kanak seusianya.

Nur Fikriyah Elias, 4, sudah menjalani dua pembedahan membuang lebihan air di kepala di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian bagi memasukkan wayar dalam kepala untuk membuang lebihan cecair.  Pembedahan itu menunjukkan tanda positif apabila lebihan cecair dalam kepalanya semakin berkurangan.

Nik Ishazalwani Ismail, 38, berkata anak bongsu daripada tiga beradik itu mengalami masalah berkenaan selepas dua bulan dilahirkan. Nur Fikriyah dilahirkan sebagai bayi pramatang dengan berat hanya sekitar 850 gram ketika kandungan ibunya berusia tujuh bulan. Beliau terpaksa dimasukkan ke wad Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu selama empat bulan sebelum dibenarkan pulang ke rumah.

Nik Ishazalwani memangku Nur Fikriyah yang tidak boleh bergerak kerana menghidap masalah kepala besar, kabur penglihatan akibat penyakit lebihan cecair dalam otak.

Keadaan Nur Fikriyah yang terpaksa berulang alik untuk menghadiri temujanji di HRPZII, HUSM dan Klinik Kesihatan Labok hampir setiap bulan untuk mendapatkan rawatan susulan selain sering keluar masuk hospital memaksa bapanya, Elias Zakaria, 45, berhenti kerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah sekolah rendah sejak Mac tahun lalu, ekoran tidak dapat memberi komitmen sebaiknya terhadap tugasan kerja.

Bagi meneruskan kelangsungan hidup serta menampung dua lagi anak yang berusia 7 dan 11 tahun yang masing-masing bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Pangkal Nering, Nik Ishazalwani mengambil tempahan membuat kek, manakala suaminya pula berniaga air balang di Kok Lanas dengan pendapatan yang tidak menentu.

Keluarga ini dihimpit masalah kewangan memandangkan perlu membelanjakan kira-kira RM800 untuk membeli keperluan Nur Fikriyah seperti  susu dan lampin selain kos ulang alik ke hospital hampir setiap bulan.

Disebabkan pendapatan tidak menentu sejak suaminya berhenti kerja, Nik Shazalwani berkata mereka sekeluarga terpaksa menumpang di rumah adik ipar sejak lebih setahun lalu kerana tidak mampu untuk membayar sewa rumah.

Untuk menderma sila layari ybim.org.my/suaraasnaf dan tekan Asnaf 76 atau terus menyumbang ke akaun YBIM (566010633490 – Maybank).

Gambar: Nik Ishazalwani meletak Nur Fikriyah di dalam kerusi roda khas bagi memantau keadaan anak bongsunya ketika melakukan kerja rumah.