Penonton pilih TV AlHijrah untuk ‘cari’ Rasulullah

TARIKH 12 Rabiulawal telah kita lewati seminggu lalu, namun sosok yang membawa sinar dalam hidup manusia ini akan dikenang selamanya. Warisan perjuangan Baginda Rasulullah SAW menyampaikan Kalamullah kepada seluruh umat diteruskan oleh umat dari generasi ke generasi.

Itulah penghayatan sebenar kepada sambutan Maulidur Rasul. Ia bukanlah tugas yang selesai hanya dalam waktu sehari mengingati Nabi. Visi dan misi dakwah Rasulullah SAW disambung dengan pelbagai pendekatan bergantung kepada kemahiran masing-masing.

Sebagai sebuah stesen televisyen, TV AlHijrah menjadikan sambutan Maulidur Rasul sebagai agenda utama dalam susunan program tahunan. Berdakwah dengan teknologi komunikasi yang dapat menjangkau jutaan penduduk tanah air, Stesen ini menjalankan kempen sambutan Maulidur Rasul 1445H selama sebulan bermula 17 September hingga 15 Oktober ini.

Dalam tempoh sebulan ini rancangan khas untuk mengingatkan tarikh keputeraan Baginda SAW diuar-uarkan kepada penonton sebagai penyegaran semula ingatan kepada Baginda, di samping menanam nilai murni ‘qudwah hasanah’ kepada umat Islam dalam melayari kehidupan.

Tugas berdakwah yang berterusan terpikul atas pundak TV AlHijrah terasa manisnya apabila rancangan-rancangan yang menelan tidak sedikit belanja mendapat maklum balas yang baik dari penonton. Ia sekaligus memberi semangat untuk para petugas Stesen terus berbakti kepada agama melalui pelantar televisyen mahupun media sosial ini.

Ini bertepatan dengan janji Allah kepada mereka yang mencintai Rasulullah SAW dengan sentiasa berselawat kepada Baginda, apatah lagi jika terdapat usaha mengajak seluruh umat turut berselawat dan mencintai Rasulullah.

Sebagaimana firman Allah dalam Surah al-Ahzab ayat 56 yang bermaksud, “Sesungguhnya Allah dan malaikat-Nya berselawat (melimpahkan rahmat dan keampunan) ke atas Nabi. Wahai orang-orang yang beriman! Hendaklah kalian berselawat (mendoakan rahmat) baginya dan mengucapkan salam penghormatan kepadanya.”

Mengajak penonton sama-sama memperbanyakkan selawat dan menjiwai peribadi Rasulullah SAW, Stesen ini telah menyiarkan rancangan seputar sirah seperti Hijrah Berselawat, Peristiwa Maulid, Dakwah Live Maulid, Cinta Ilmu Maulid, Assalamualaikum Maulid dan drama bersesuaian untuk santapan mata sepanjang tempoh kempen.

Ternyata rancangan sebegini begitu dihargai penonton apabila terbukti pencapaian TV AlHijrah sepanjang kempen tahun ini menunjukkan peningkatan yang ketara di mana prestasi tontonan meningkat sebanyak 68 peratus berbanding sebelum kempen bermula.

Data bersumberkan Nielsen Media Research ini juga menyebut penonton memperuntukkan malam mereka untuk menonton Stesen ini di mana capaian tertinggi sebanyak 127 peratus diperolehi sepanjang tempoh tersebut; lebih sekali ganda dari tahun lepas.

Rancangan Hijrah Berselawat yang mengumpulkan sebelas pendakwah selebriti yang mengisahkan peribadi dan perjuangan Rasulullah mendapat 607 ribu tontonan, Peristiwa Maulid yang mengupas kisah Taif dengan 484 ribu tontonan serta Dakwah Live yang berjaya menarik 374 ribu tontonan meletakkan stesen televisyen berkonsepkan Islam ini terus menerajui kandungan berbentuk agama yang berjaya menarik minat umat Islam.

Peningkatan penonton Stesen ini membuktikan masyarakat semakin bijak memilih pengisian hiburan mereka dan menjadikan TV AlHijrah rujukan mereka dalam mencari sosok contoh ikutan sepanjang zaman dalam mendepani kehidupan yang semakin mencabar dari segi iman dan amalnya.

(168)

Penonton pilih TV AlHijrah untuk ‘cari’ Rasulullah

About The Author
-

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>