Peranan ilmu dalam menguruskan ikhtilaf dalam drama Risalah Imam Al-Syafie

“WAHAI sahabatku,

Kita mempunyai ratusan masalah antara kita,

Namun tiada satu masalah pun yang mampu memisahkan kita,

Janganlah mencari kemenangan dalam semua perselisihan,

Kadangkala memenangi hati seseorang itu lebih penting

dari menang mempertahankan pendapat.”

Bait indah dari kata-kata Imam Al-Syafie yang dipersembahkan pada pembukaan siri drama biografi Resalat Al-Imam 2023 cukup menyejukkan hati setiap yang mendengar. Jiwa yang mungkin tengah bergelodak marah pada seseorang boleh terus tenang tatkala menghayati patah demi patah nasihat yang terungkap.

Fitrah manusia yang sering mengalami pertembungan pendapat, perbezaan pemikiran dalam sosiobudaya yang beragam mengikut kedudukan geografi dan bangsa; adab dalam menguruskan segala perbezaan itu patutlah didahulukan. Sebagaimana petikan mutiara kata di atas, hubungan horizontal itu perlu mendahului segala keegoan inginkan kemenangan dalam berhujah.

Itulah intipati drama bersiri 30 episod yang menjadi pilihan TV AlHijrah sempena meraikan Ramadan mulia tahun ini. Ramadan sebagai madrasah untuk merawat rohani sewajarnya dihiasi keindahan beramal, kesucian hati dan keharmonian muamalah sesama makhluk agar keindahan sebenar beragama terhasil.

Menggunakan tajuk Risalah Imam Al-Syafie untuk tayangan, drama sejarah agama ini mengisahkan kehidupan Imam Muhammad Al-Syafie, salah seorang daripada empat imam besar dalam mazhab Sunni.

Watak Imam Al-Syafie ketika dibawa ke muka pengadilan dan akan menerima hukuman pancung sekiranya terbukti sebagai pembelot kerajaan. (Petikan klip video drama Resalat Al-Imam)

Garapan yang sangat memaku mata dan menyentuh hati ini memaparkan bagaimana perjalanan enam tahun terakhir Imam Al-Syafie sewaktu di Mesir dan pengaruhnya pada ketamadunan Mesir yang membawa kesan besar sehingga hari ini.

Dalam menjayakan misi dakwah dan pencerahan dalam bidang usul fiqah kepada masyarakat, pelbagai mehnah dan tribulasi dihadapi beliau dengan penuh keimanan dan keyakinan bahawa Allah itu tempat hamba menyerah semua urusannnya.

Mesej ini dibawa secara sangat baik oleh Imam Al-Syafie; di mana pergantungannya yang sangat tinggi kepada Allah berjaya meloloskan beliau dari kemurkaan pemerintah, sekaligus menyelamatkan beliau dari hukuman pancung kerana disyaki sebagai pembelot.

Sifat tenang tatkala melihat sahabatnya yang lain menjalani hukuman pancung di dalam gua cukup mendebarkan sesiapa sahaja melihat. Namun watak Imam Al-Syafie yang dibawakan pelakon Khaled Nabawy berjaya membuat penonton sama-sama menyerahkan takdir kepada Allah; hidup dan mati hamba yang pada ketentuan Yang Maha Esa.

Watak Imam Al-Syafie yang penuh karisma dan kebijaksanaan dalam meniti pertikaian sosiopolitik dan sifat penyayang terhadap keluarga dan orang sekelilingnya pada masa yang sama mempamerkan contoh ikutan kepada umat Islam untuk dihayati.

Imam Al-Syafie bersama sahabat-sahabatnya yang didakwa sebagai pembelot dalam perjalanan menuju ke tempat pengadilan. (Petikan klip video drama Resalat Al-Imam)

Cinta antara Imam Al-Syafie dan isterinya yang menggambarkan kelembutan dan kesetiaan seorang wanita yang sanggup berkorban untuk suaminya; watak Hend, adik kepada Imam Al-Syafie yang sentiasa menyokong dan menghormati abangnya serta watak protagonis yang ditonjolkan menjadi acuan ikatan yang sangat harmoni untuk dicontohi.

Begitu juga adegan-adegan yang memaparkan interaksi Imam Al-Syafie dengan pelbagai tokoh sejarah seperti Khalifah Harun Al-Rashid, Imam Abu Hanifa, dan Imam Malik memberi gambaran bagaimana pergaulan watak agama pada zaman dahulu yang penuh ketertiban.

Unsur-unsur misteri, konspirasi, dan aksi yang mencemaskan dan digarap secara teratur, mise en scene yang sempurna membuatkan penonton tidak bosan dan jauh sekali berasa mahu berganjak dari terus menonton.

Drama yang memaparkan peringatan “Rujukan daripada Al-Azhar Al-Syarif” ini dirujuk kepada Universiti Al-Azhar sebelum bersiaran ini diharap dapat mengembalikan jiwa insan kepada sifat mahmudah dan menguntungkan agama, menghormati kedudukan ilmu dan  kepentingan adab dalam menguruskan segala perbezaan dan perselisihan pendapat serta menjaga hubungan dengan Pencipta dan sesama manusia.  

Risalah Al-Imam sebanyak 30 episod dapat ditonton bermula 1 Ramadan, pukul 6:00 petang di TV AlHijrah atau boleh strim di aplikasi AlHijrah Plus.

Gambar: Petikan klip video salah satu adegan dalam drama bersiri biografi Risalah Imam Al-Syafie.

(339)

Peranan ilmu dalam menguruskan ikhtilaf dalam drama Risalah Imam Al-Syafie

About The Author
-

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>